Friday, January 10, 2014

Bayi 14 hari ditinggal di hospital

Bayi 14 hari ditinggal di hospital Muhammad Hakim ditinggalkan ibu kandungnya selepas dilahirkan.

MUAR - Seorang bayi lelaki berusia 14 hari ditinggalkan ibu kandungnya selepas dilahirkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, 23 Disember lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhammed Nadzri Murashid berkata, bayi malang itu kini berada di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HPSF dan menerima maklumat tersebut daripada Unit Kebajikan Sosial hospital berkenaan.

“Bayi seberat 3.3 kilogram itu dilahirkan oleh seorang wanita bernama Lisawati yang dipercayai berasal dari Lombok, Indonesia.

“Usaha mengesannya gagal kerana pasportnya juga sudah lama tamat tempoh iaitu pada 12 Mac 2006, namun alamat terakhirnya di Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, bayi itu diberi nama Muhammad Hakim dan kini ditempatkan sementara di rumah kebajikan sehingga waris keluarga dapat dikesan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu atau bapa kandung bayi itu supaya segera menghubungi balai polis berhampiran ataupun hubungi pegawai bertugas di bahagian Pelindung Kanak-kanak JKM Muar, Surian Shaari di talian,  06-9521454,” katanya.

Sinar Harian
10 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment