Tuesday, January 22, 2013

PPK tidak setuju kaedah undian


Antara yang hadir pada Mesyuarat Agung Khas PPK Muar Selatan, semalam.

MUAR – Kira-kira 200 perwakilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Muar Selatan yang mewakili 6,700 ahlinya sebulat suara menyatakan ketidaksetujuan menggunakan kaedah pengundian dalam menyelesaikan kemelut pertindihan kawasan seliaan PPK berkenaan dengan PPK Bakri.

Pendirian itu dinyatakan selepas cadangan tersebut dikemukakan oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Shammodin Abd Halim, yang turut hadir dalam Mesyuarat Agung Khas PPK Muar Selatan di Dewan Serbaguna Kompleks Penghulu Sungai Balang dekat sini, semalam.

Ahli Jemaah Pengarah PPK Muar Selatan, Omar Idris berkata, ahli-ahlinya tidak bersetuju kerana kawasan yang dituntut oleh PPK Bakri meliputi sebahagian kawasan seliaan PPK Muar Selatan di Mukim Air Hitam dalam kawasan Dun Bukit Naning.

Menurutnya, PPK Muar Selatan mahu kawasan seliaannya bermula dari Batu 14 hingga Batu 20.5, Air Hitam, kekal menjadi milik mereka.

“Kita tetap dengan pendirian tidak akan menyerahkan kawasan seliaan ini  yang mempunyai dua pusat timbang iaitu di Batu 14 Air Hitam dan Kampung Parit Tengah, Air Hitam kepada pihak berkenaan.

“Kawasan seliaan Mukim Air Hitam adalah penyumbang utama ekonomi kepada PPK Muar Selatan,” katanya.

Katanya, jika kemelut itu tidak diselesaikan segera, kawasan berkenaan akan mempunyai dua pengurusan berbeza.

“Untuk jangka masa panjang, ia dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi PPK Muar Selatan,” katanya.

Terdahulu, pada 30 Disember lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 70 ahli PPK Muar Selatan mengadakan demonstrasi aman di Kampung Parit Tengah Air Hitam, menuntut masalah tersebut diselesaikan segera.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan ulasan lanjut daripada Pengerusi PPK Bakri, Datuk Saipolbahri Suib berhubung isu berkenaan gagal.

Sinar Harian
18 Jan 2013


0 comments:

Post a Comment