Friday, January 11, 2013

20 rumah terjejas akibat ribut


Antara rumah penduduk yang dihempap pokok.

Dahan pokok menimpa bumbung garaj kereta milik salah seorang penduduk.

MUAR - Kira-kira 10 rumah di Taman Bukit Mor Baru dan Jalan Mahmod, Kampung Parit Jawa, di sini, mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, hujan lebat diikuti ribut dan petir itu mengakibatkan kesemua rumah terbabit mengalami kerosakan dan dihempap pokok selain 500 penduduk di kawasan terbabit berdepan detik cemas.

Saksi kejadian, Ahmad Gongang, 54, berkata, dia terlihat seperti turunnya salji dari arah rumah jiran sebelum berlakunya kejadian ribut itu.

Bagaimanapun, kira-kira lima minit kemudian angin bertiup lebih kencang sehingga menyebabkan bumbung rumah jirannya tercabut dan terbang ke kediaman bersebelahan.

“Ketika itu, saya sedang berniaga di kedai makan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila angin kencang menghala ke kedai makan saya menyebabkan kuih-muih untuk jualan bertaburan di atas tanah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Ahmad berkata, dia terpaksa menutup premis perniagaannya lebih awal berbanding waktu biasa iaitu sekitar jam 6.30 petang kerana bimbang terhadap keselamatan diri dan isteri.

“Peristiwa ini sangat menakutkan saya kerana saya melihat sendiri dengan jelas apa yang berlaku. Kejadian sama pernah berlaku di kampung ini sekitar 15 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Anwar Mohd Khudzari, 29, berkata, dia menyedari beranda rumahnya dihempap dahan pokok selepas diberitahu oleh bapa saudara yang baru pulang dari kerja.

“Saya tidak sedar kejadian ini berlaku kerana hujan terlalu lebat berserta dengan angin kuat dan petir. Ketika itu saya berada dalam bilik menunaikan solat fardu Zohor dan apabila keluar bilik mendapati bahagian ruang tamu rumah basah.

“Tetapi mujurlah enam kereta milik ayah yang berada di bawah beranda yang dihempap pokok tidak mengalami kerosakan,” katanya.

Penghulu kawasan, Mohd NasirKiman berkata, kesemua nama mangsa ribut terbabit akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Johor (Maij) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk proses permohonan bantuan bencana.

Kejadian ribut juga berlaku di Simpang Renggam, Kluang yang melanda kurang dari tempoh 10 minit petang kelmarin telah mengakibatkan 10 kediaman mengalami kerosakan teruk.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Balai Polis dan Pejabat Giatmara kawasan Simpang Renggam antara yang turut sama mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Sha’ari, Kampung Bukit Batu, Kampung Setia Jaya, kawasan Pekan Simpang Renggam, Taman Berjaya dan Taman Puteri Emas.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 45, berkata, kejadian itu adalah kali pertama melanda rumahnya dan mengakibatkan bahagian bumbung rumah mengalami kerosakan teruk.

"Sewaktu kejadian berlaku, saya sedang membuat roti untuk dijual dan pada masa itu angin sangat kuat. Tidak sampai 10 minit, saya dengar bunyi zink rumah diterbangkan angin seterusnya mengakibatkan rumah dibasahi dengan air hujan.

"Kejadian tersebut berlaku sekelip mata dan menyebabkan saya rasa takut jika berlaku sesuatu yang lebih teruk. Bagaimanapun, saya bersyukur kejadian ribut ini berlaku sekejap sahaja,” katanya, semalam.

Sementara itu, kakitangan Giatmara cawangan Simpang Renggam, Ramlah Ijan berkata, kejadian itu telah menyebabkan tempat letak kereta berbumbung pejabat berkenaan runtuh.

Menurutnya, sewaktu kejadian berlaku, pelajar sedang menjalani pembelajaran di dalam kelas.

“Sehingga kini kerugian dianggarkan hampir RM4,000 dan ia adalah kejadian pertama bagi warga Giatmara,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng berkata, dia sudah memaklumkan kepada JKM berhubung kejadian ribut itu dan pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut.

“Pihak JKM akan datang ke rumah-rumah yang dilanda ribut untuk melakukan penilaian dan kerugian yang dialami oleh mereka. Di peringkat parlimen juga, bantuan segera akan dihulurkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sinar Harian 11 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment