Wednesday, January 30, 2013

Lebih RM1 bilion untuk atasi masalah banjir Muar


DOUGLAS Uggah Embas (tengah) bertanya sesuatu kepada Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Muar, Ir. Mohd. Hayal Atan (kanan) ketika melawat kawasan Rancangan Tebatan Banjir di pintu air Sungai Pagoh, Muar, baru-baru ini. - BERNAMA



MUAR 31 Jan. - Lebih RM1 bilion diperuntukkan untuk fasa pertama dan kedua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Muar, merangkumi daerah Segamat, Muar, Ledang dan Pagoh dalam usaha menangani masalah itu di utara negeri ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan apabila siap kelak akan melindungi 12,500 penduduk di kawasan berisiko banjir yang berkeluasan 123.2 kilometer (km) persegi.

Beliau memberitahu, fasa pertama di Segamat telah dimulakan pada 2011 dan masih dalam pelaksanaan dengan kos RM344 juta manakala fasa kedua melibatkan Muar, Ledang dan Pagoh dimulakan Disember lalu dengan kos RM225 juta.

"Daripada peruntukan RM225 juta itu, kita dapat RM30 juta dulu untuk Pagoh. Setakat ini, pembinaan benteng sungai di Pagoh sepanjang sembilan kilometer (km) melibatkan sembilan pintu air dengan kos RM5 juta sudah 40 peratus siap.

"Selebihnya, 12km lagi sedang dalam proses untuk melancarkan perjalanan air dari Sungai Pagoh terus ke kuala Sungai Muar," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak menaik taraf Sungai Pagoh di sini kelmarin.

Douglas Uggah berkata, dalam fasa kedua selepas ini akan dibina pintasan Tanjung Olak, menaik tarif sungai dan saliran di pekan Pagoh serta pengalihan utiliti dan tanah yang dijangka siap secara keseluruhan pada 2015.

Beliau berkata, fasa pertama dan kedua dengan kos RM569 juta termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) manakala fasa ketiga (RM480 juta).

Tentang fasa pertama, beliau berkata, projek itu membabitkan sungai-sungai di Segamat yang dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan kos RM60 juta, melibatkan kerja-kerja reka bentuk, kerja ukur, pengambilan tanah dan menaik taraf sebahagian Sungai Genuang.

"Peringkat seterusnya melibatkan RM231 juta menerusi kerja-kerja menaik taraf Sungai Chodan dan Sungai Segamat, selain menaik taraf jambatan di Sungai Genuang-Sungai Segamat termasuk membina lencongan banjir Sungai Genuang-Sungai Segamat.

"Bahagian seterusnya dengan kos RM53 juta untuk membina benteng dan menaik taraf Sungai Gemas, selain membina lima buah kolam takungan banjir dan struktur kawalan air serta membekal dan memasang pam," katanya.

Utusan
31 Januari 2013

0 comments:

Post a Comment