Wednesday, January 30, 2013

Bank Rakyat bantu pesakit tak mampu


Abdul Lidzam (dua, kanan) menyerahkan peralatan perubatan kepada salah seorang penerima pada program Sentuhan Kasih CSR Bank Rakyat 2013 di HPSF, di sini, semalam.

MUAR – Bagi meringankan beban pesakit kurang berkemampuan, Bank Rakyat menunaikan tanggungjawab sosialnya dengan menyumbangkan tujuh kerusi roda dan 14 peralatan perubatan.

Sumbangan yang diserahkan melalui program Sentuhan Kasih Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bank Rakyat 2013 itu disampaikan Ketua Bank Rakyat Wilayah Selatan, Abdul Lidzam Muhammad Alias kepada penerima terlibat dan Tabung Kebajikan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang diwakili Dr Norizan Abdullah, di Dewan Saujana HPSF di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengurus Bank Rakyat cawangan Muar, Khadijah Aini Othman dan Ketua Unit Pembiayaan Bank Rakyat cawangan Muar, Nor Azman Mohd  Ali.

Dua kerusi roda dan empat peralatan perubatan diberikan kepada pesakit dan bakinya disumbangkan untuk tabung berkenaan khusus untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan membeli kemudahan tersebut.

Abdul Lidzam berkata, program itu bertujuan membantu pesakit kurang berkemampuan yang dibebani dengan kos  perubatan.

“Program ini adalah pembuka tirai 2013 bagi aktiviti Bank Rakyat di Wilayah Selatan dan selain membantu pesakit, Bank Rakyat juga melakukan penyerahan zakat, membaiki rumah, aktiviti pemuliharaan alam sekitar seta pelbagai lagi," katanya.

Dalam pada itu, Norizan yang juga Timbalan Pengarah Perubatan HPSF menghargai sumbangan tersebut dan berharap kerjasama itu diteruskan lagi pada masa akan datang.

Menurutnya, sumbangan berkenaan tepat pada masanya kerana pada tahun lalu, seramai 1,440 pesakit berdaftar dengan Jabatan Kerja Sosial HPSF dan majoritinya adalah golongan kurang berkemampuan.

“Selain itu, pihak HPSF juga menyediakan rumah kasih atau penginapan sementara untuk waris yang menghantar pesakit ke hospital ini tetapi tidak punya penginapan.

“Rumah kasih di HPSF ini khusus untuk mereka yang tinggal jauh dari daerah ini. Rumah berkenaan baru sahaja beroperasi pada hujung tahun lalu,” katanya.

Seorang penerima, Fatimah Aziz, 38, dari Tanjung Gading Laut bersyukur kerana menerima mesin penyedut kahak untuk anaknya, Norazira Ahmad, 10, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mengidap sakit saraf sejak lahir.

Menurutnya, mesin itu akan meringankan penderitaan anak bongsunya yang tidak boleh berjalan dan mengalami kesukaran bernafas sejak dibedah pada Jun lalu.

Sinar Harian
25 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment