Monday, May 28, 2012

Dua sahabat tak menyesal


Sumrah (kiri) dan Othman bangga menjadi tentera, meskipun kehilangan kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar.

MUAR- Dua sahabat ini tidak pernah menyesal menyertai pasukan keselamatan sebagai tentera, meskipun kehilangan kaki kanan akibat terpijak bom jerangkap samar yang dipasang komunis  semasa bertugas mempertahankan negara, 35 tahun lalu.

Othman Lajis, 65, dan Sumrah Ehwan, 62, yang berkenalan ketika bertugas sebagai Askar Wataniah Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Sikamat, Negeri Sembilan, kini tinggal berjiran di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2, Sungai Abong, Muar.

Bagi pejuang negara ini, darah yang mengalir akibat terpijak bom menjadi saksi perjuangan mereka menentang komunis yang ketika itu masih bermaharajalela dalam hutan, walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan.

Kenangan masih di ingatan

Othman berkata, tanggal 3 September 1977 tidak mungkin dilupakannya kerana tarikh keramat itu, dia kini digelar orang kurang upaya (OKU) setelah menjadi mangsa bom jerangkap samar.

“Walaupun, peristiwa itu berlaku 35 tahun lalu, tetapi kenangan pahit tersebut masih jelas terbayang dalam ingatan hingga ke hari ini.

“Saya tidak menyangka, dua minggu selepas seorang rakan dalam pasukan maut terkena bom jerangkap samar, insiden tersebut berlaku ke atas diri saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika itu dia mengikuti operasi ‘Off Kota Ekor’ di hutan Banding, Jeli, Kelantan, selama tiga bulan. “Ketika itu, saya bersama enam rakan lain hendak menaiki sebuah bukit untuk membuat rondaan di kawasan berkenaan.

“Malangnya, saya yang berada di bahagian belakang telah terpijak jerangkap samar yang terdapat di situ,” katanya.

Othman berkata, akibatnya, dia tercampak beberapa meter dan senjata api melantun bertaburan.

Menurutnya, darah pada kaki kanannya mula mengalir deras dan disertai rasa sakit yang amat sangat, lalu memaksanya menjerit kerana tidak mampu menahan kesakitan.

“Berikutan insiden itu juga, saya terlantar di Hospital Pulau Pinang selama 48 hari dan kembali bertugas di Kem Sikamat, Negeri Sembilan, tanpa membabitkan tugasan operasi dalam hutan,” katanya.

Tabah tinggal isteri, anak

Bapa kepada sembilan anak ini berkata, kesediaannya berkhidmat selama 21 tahun sebagai tentera didorong oleh minat selepas menyaksikan sendiri kekejaman komunis membunuh penduduk kampungnya ketika darurat.

“Dengan sebab itu, saya sanggup melepaskan pekerjaan asal sebagai kelindan lori balak sematamata mahu menyertai pasukan keselamatan negara pada 16 Jun 1972, walaupun gaji kecil.

“Semasa menyertai pasukan ini juga saya sudah mempunyai lima anak dan dengan tabah meninggalkan isteri dan anak-anak selama sembilan bulan kerana menyertai operasi dalam hutan,” katanya.

Othman yang telah 19 tahun bersara, tetap bersemangat dengan darah ketenteraan yang masih membara dalam dirinya sehingga akhir hayat.

Jelasnya, kehilangan kaki kanan hingga paras buku lali tidak menghalangnya untuk melakukan pekerjaan sampingan dengan mengambil upah memasang khemah untuk majlis perkahwinan bagi menampung kehidupan di usia emasnya.

Namun begitu, dia bangga apabila anak sulungnya, Zamri, 46, dan Zulhisham, 43, turut mengikuti jejak langkahnya menjadi tentera.

Tragedi ubah hidup.

Bagi Sumrah pula, dia sangat bersyukur apabila terselamat daripada maut selepas terpijak jerangkap samar, meskipun mengalami kecederaan parah pada kaki kanannya, semasa bertugas di Hutan Dubir, Kedah pada 1978.

Ekoran tragedi itu juga, kaki kanannya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong sehingga paras lutut.

Menurutnya, dia juga tidak dapat melupakan peristiwa itu kerana telah merubah seluruh kehidupannya secara total yang turut menyaksikan sendiri dua rakan dan seorang pegawai terbunuh dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, perasaan marah, dendam dan benci begitu menebal terhadap komunis, tetapi dia tidak berupaya untuk serang balas kerana kecederaan yang saya alami,” katanya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, dia bangga bergelar tentera dan berasa puas apabila dapat membantu berjuang menentang komunis untuk keamanan negara.

Sinar Harian
28 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment