Wednesday, May 9, 2012

Nenek rentung bilik terbakar



ORANG ramai meninjau keadaan rumah yang terbakar di Taman Mahkota, Muar, semalam. 

ANGGOTA polis memeriksa bilik yang terbakar.

Warga tua tinggal sendirian, cucu hantar ibu jalani pemeriksaan kesihatan

MUAR: Jeritan warga tua berusia 96 tahun akibat terperangkap menyelubungi persekitaran rumah cucunya yang sedang musnah dijilat api, sebelum mayat mangsa ditemui rentung atas katil dalam tragedi dekat Parit Raja di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.50 pagi di Taman Mahkota itu, Kalthum Sukaimin, 96, tinggal sendirian apabila cucunya menghantar ibu yang juga anak warga emas terbabit ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mangsa sudah terlantar dan tidak dapat bergerak kerana sakit tua itu, ditinggalkan sebentar oleh cucu dan anaknya yang ke hospital berdekatan tidak sampai satu jam sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.

Pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40, yang juga jiran keluarga itu, menyedari kejadian itu sejurus sampai menghantar cicit mangsa pulang dari sekolah dan terkejut melihat api sedang marak menjulang bahagian belakang rumah berkenaan.

Menyedari mangsa berada di bilik belakang berhampiran dapur, beliau terus memberhentikan van di depan rumah berkenaan sebelum mengambil kunci di bahagian rak kasut untuk masuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya kerana api terlalu marak.

“Api marak dengan asap tebal menyebabkan saya tidak dapat masuk ke dalam bilik nenek. Saya ralat apabila terdengar jeritan nenek meminta tolong beberapa minit sebelum hilang dalam api marak memusnahkan keseluruhan rumah, namun tak berdaya membantunya.

“Dalam keadaan panik dan hilang punca, saya menghubungi bomba apabila api menjadi terlalu marak,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini, semalam.

Cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, neneknya ditinggalkan sendirian di rumah untuk seketika kerana beliau membawa ibunya mengambil ubat kira-kira jam 10.40 pagi.

Beliau yang juga doktor di hospital berkenaan berkata, sebelum kejadian beliau memaklumkan kepada neneknya mereka keluar ke hospital.

“Nenek tinggal bersama saya, suami, ibu serta lima anak saya tetapi ketika kejadian kami semua tiada di rumah. Saya terkejut apabila diberitahu jiran kira-kira jam 12 tengah hari mengenai kebakaran dan bergegas pulang bersama ibu," katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Mohd. Juhar Tumin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan jam 11.58 pagi.

Berita Harian
9 Mei 2012


Nenek rentung atas katil

MUAR – Seorang warga emas menemui ajal dalam keadaan tragis dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Temenggung Ahmad, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi itu, mayat Kalthum Sukaimin, 96, ditemui rentung di atas katil di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Saksi kejadian yang merupakan seorang pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40-an berkata, dia menyedari kejadian tersebut berlaku ketika menghantar cicit mangsa pulang.

Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang rumah mangsa sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.

“Cicit mangsa menjerit memberitahu yang neneknya ada dalam bilik dan meminta saya menyelamatkannya. Dalam keadaan kelam kabut mengambil kunci yang diletakkan di atas rak kasut depan rumah, saya juga terdengar jeritan meminta tolong.

“Saya cuba menyelamatkan mangsa dalam bilik itu bagaimanapun tidak berjaya kerana ketika itu keadaan api terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar ibunya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Arwah nenek tidak boleh berjalan kerana menghidap sakit tua sejak beberapa tahun lalu dan ditempatkan dalam bilik itu.

“Saya tinggalkan arwah nenek sendirian di rumah seketika sementara menunggu anak pulang dari sekolah pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai seorang doktor di HPSF memberitahu berita sedih itu diterima pada jam 11.50 pagi selepas dihubungi oleh jiran.

“Saya berasa sangat sedih kerana nenek meninggal dunia dalam keadaan yang cukup menyayat hati,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 14 anggota termasuk unit forensik.

“Sewaktu kami tiba, api sedang marak di bilik yang menempatkan mangsa dan ruang dapur, manakala sebahagian bumbung rumah telah runtuh.

“Pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan menemui mangsa dalam keadaan rentung,” katanya.

Mohd Johar berkata, bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat.

Sinar Harian
9 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment