PERIKSA...anggota Unit Forensik polis memeriksa rumah mangsa.
MUAR: “Dia (suspek) bagaikan dirasuk. Walaupun melihat suami tidak berdaya dan berlumuran darah, dia terus menetak hingga kakaknya dan beberapa jiran datang menghalangnya.
“Ketika itu, mak cik tak dapat buat apa-apa kerana ditetak di kepala dan badan menyebabkan mak cik merangkak ke depan pintu dan menjerit minta tolong,” kata warga emas, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, menceritakan kejadian menyayat hati di rumahnya di Kampung Parit Kerinchi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.41 pagi itu, Juriah dan suaminya, Revuan@Reduan Harun, 73, hanya berdua di rumah sebelum tiba-tiba pintu depan rumah mereka ditendang suspek, wanita berusia 22 tahun yang juga jiran mangsa.
“Ketika itu, mak cik sibuk menyiapkan bahan untuk memasak di dapur, manakala arwah (suami) berehat di ruang depan sebelum kami terdengar pintu depan ditendang kuat.
“Sejurus kemudian, seorang wanita dalam keadaan tidak terurus meluru masuk dan menjerit meminta tolong.
“Saya dan suami memarahi kelakuannya kerana menyebabkan kami terkejut, namun dia tidak mengendahkannya lalu mencapai parang di kawasan berhampiran dan menyerang kami bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui selepas mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.
myMetro
30 Mei 2012
30 Mei 2012
LEDANG: Wanita berusia 22 tahun yang mengamuk dan menetak pasangan warga emas, Revuan@Reduan Harun, 73, dan isterinya, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, di Kampung Parit Kerinchi di sini, pagi semalam, tidak mempunyai rekod pesakit mental.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod berkaitan penyakit mental dan tidak pernah mendapatkan rawatan penyakit berkaitan.
Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Sawah Ring itu dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu.
myMetro 30 Mei 2012
Nyawa-nyawa ikan minta bantuan
LEDANG: “Sebaik tiba di rumah mangsa, saya melihat mak cik Juriah di depan pintu dengan darah terpancut keluar dari kepalanya sambil menunjukkan pak cik Reduan di dinding dapur yang meminta tolong dan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” kata saksi kejadian amuk, Siti Aminah Wahab, 34.
Dalam kejadian pada jam 10.41 pagi itu, seorang warga emas, Revuan@Reduan Harun, 73, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditetak bertubi-tubi di badan dan kepala oleh seorang gadis berusia 22 tahun di rumahnya di Kampung Parit Kerinci di sini, semalam.
Isteri mangsa, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, parah selepas ditetak di kepala oleh gadis terbabit yang tiba-tiba datang ke rumah warga emas itu.
Siti Aminah berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur rumahnya kira-kira 200 meter dari rumah mangsa dan mendengar suara orang meminta tolong.
Menurutnya, jeritan meminta tolong itu berlarutan hampir 10 minit sebelum ibu saudaranya meminta dia melihat apa yang berlaku. Katanya, dia menunggang motosikal dan berhenti di depan rumah mangsa sebelum melihat Juriah berlumuran darah.
“Ketika itu, tiada orang lain di rumah melainkan pasangan warga emas itu dan pintu rumahnya terbuka.
“Saya melihat mak cik Juriah cuba berjalan ke pintu depan, namun keadaannya amat lemah.
“Mulutnya bergerak dan cuba berkata sesuatu, tetapi suaranya serak mungkin kerana terlalu lama menjerit meminta tolong,” katanya.
Siti Aminah berkata, terkejut dengan kejadian itu dia menghubungi ambulans yang tiba 40 minit kemudian.
myMetro
30 Mei 2012
Mangsa tetak tunjuk sikap aneh
Juriah menerima 40 jahitan di kepala selepas diserang kelmarin.
Juriah disamping cucunya, Mohd Aikal Aniq dan Mohd Aiman Irfan.
LEDANG – “Tiga hari sebelum kejadian, arwah beritahu kakak sulungnya yang sudah meninggal dunia Januari lalu, mengajaknya datang ke rumah. Saya anggap ia hanya gurauan, namun tidak menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan."
Demikian luahan pilu mangsa tetak seorang gadis kurang siuman, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, yang turut kehilangan suaminya, Allahyarham Mohd Revuan @ Mohd Reduan Harun 73, dalam tragedi berdarah itu, kelmarin.
Menurut Juriah, paling tidak boleh dilupakannya juga apabila arwah suaminya turut menyatakan hasrat bermain buaian di funfair yang diadakan di Bukit Gambir ketika mereka dalam perjalanan pulang menaiki motor selepas menikmati mi bandung di restoran berhampiran kawasan itu.
“Bagaimanapun saya menolak permintaan arwah secara baik dan memberitahunya tidak sesuai untuk ke sana kerana sudah tua. Arwah pula hanya mendiamkan diri sahaja selepas saya berkata begitu dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.
Dalam insiden itu, Juriah yang turut menjadi sasaran serangan wanita berkenaan mengalami kecederaan parah dengan tiga tetakan di kepala dan terpaksa menerima 40 jahitan ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, kelmarin.
Dia yang masih trauma memberitahu Sinar Harian, di matanya masih terbayang-bayang tubuh kurus suaminya berlumuran darah dan tersandar lemah pada dinding bersebelahan bilik mandi.
“Pada mulanya, arwah cuba lari untuk selamatkan diri, tetapi gagal kerana terjatuh disebabkan lantai licin dipenuhi darahnya. Di situlah arwah diserang, ditetak bertalu-talu oleh suspek dan saya dengar dengan jelas tetakan itu seperti orang sedang mencencang ayam.
“Dalam hati, saya hanya mampu berdoa agar suami selamat,” katanya sambil menahan sebak.
Juriah berkata, dia tidak dapat membantu menyelamatkan arwah suaminya kerana keadaan suspek terlalu agresif.
"Saya hanya mampu merangkak ke hadapan rumah untuk meminta pertolongan jiran," katanya.
Bagaimanapun, Juriah bersyukur kerana ketika kejadian, dua cucu yang tinggal bersamanya tiada di rumah kerana mengikut ibu bapa mereka ke bandar Muar.
Sementara itu, anak tunggal Juriah, Mohd Tukiran, 37, berkata, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga suspek berikutan insiden yang menimpa bapanya itu.
“Buat sementara waktu, ibu akan tinggal bersama saya di Bakri selepas selesai hari ketiga kenduri tahlil arwah ayah. Kami akan pulang semula ke sini apabila cuti persekolahan tamat kerana anak-anak sekolah di sini.
“Keluarga suspek ada datang berjumpa dengan saya dan mohon maaf dengan insiden yang berlaku,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas maut apabila menjadi mangsa tetakan wanita dipercayai kurang siuman menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.41 pagi itu, mangsa, Mohd Revuan yang cedera parah pada bahagian kepala, badan serta putus satu jari tangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF Muar.
Isterinya, Juriah cedera di bahagian kepala.
Manakala suspek, seorang wanita berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir yang mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Allahyarham Mohd Revuan telah selamat dikebumikan malam kelmarin selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir.
Sinar Harian
31 Mei 2011
Mangsa tetak tidak bersemangat sambut Aidilfitri tanpa suami
LEDANG - “Syawal tahun ini sangat tidak bermakna dan saya tidak bersemangat menyambutnya tanpa suami di sisi,” demikian luahan Juriah Dimiyati@Demyati, 61.
Juriah adalah mangsa tetak yang terselamat dalam kejadian diserang seorang wanita dipercayai kurang siuman menggunakan parang sehingga meragut nyawa suaminya, Mohd Revuan@Mohd Reduan, 73, di Kampung Parit Kerinchi Bukit Gambir, 29 Mei lalu.
Meskipun tragedi berdarah itu sudah berlalu hampir tiga bulan, tetapi Juriah merasakan ia seperti baru berlaku semalam.
Menurutnya, peristiwa tersebut tidak mungkin dapat dilupakan dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila dia sendiri menjadi saksi arwah suaminya ditetak menggunakan dua parang oleh wanita kurang siuman yang secara tiba-tiba memasuki rumah mereka.
“Setiap kali potong tulang ayam, pasti akan teringat bunyi yang sama didengar ketika suami ditetak bertalu-talu oleh wanita itu.
“Semua yang berlaku masih segar dalam ingatan ini dan pastinya saya akan mengalirkan air mata setiap kali teringatkan arwah,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya, semalam.
Suka duka 40 tahun bersama
Juriah berkata, sepanjang 40 tahun berkongsi hidup, terlalu banyak kenangan manis, suka dan duka yang mereka lalui bersama.
Katanya, apabila arwah meninggal dunia, separuh daripada jiwa dan hidupnya turut hilang sama, serta merasakan kehidupannya hari ini tidak seindah seperti ketika arwah masih hidup.
Lebih-lebih lagi apabila Aidilfitri bakal disambut esok, pastinya akan membuatkan dirinya bertambah sedih apabila mengenangkan arwah juga makanan kegemarannya pada pagi hari raya iaitu ayam masak kari dan kuah lodeh.
Walaupun Aidilfitri nanti akan disambut bersama anak tunggalnya, Mohd Tukiran, 38, menantu dan dua cucunya, tetapi keseronokan itu pastinya tidak sama seperti ketika arwah masih hidup.
Sambil menahan sebak, Juriah berkata, setiap kali Ramadan, arwah orang yang paling gembira mahu menyambut Aidilfitri mengalahkan dua cucu yang tinggal bersama mereka iaitu Mohd Aiman, 9, dan Mohd Aikal Aneq, 8.“Arwah memang suka beli keperluan untuk menyambut hari raya lebih awal secara sedikit demi sedikit. Seminggu sebelum meninggal dunia, arwah sempat beli selipar di pasar lambak yang katanya untuk digunakan pada Aidilfitri nanti.
“Tapi, semuanya ini tinggal kenangan dan anggap ia sebagai kenangan terindah, walaupun terlalu pahit untuk menerima kehilangan arwah,” katanya akan menatap gambar kenangan arwah setiap kali merinduinya.
Mahu main buai funfair
Katanya, sebolehnya setiap hujung minggu, dia yang ditemani anak dan cucunya akan meluangkan masa menziarahi kubur arwah di Sengkang, Bukit Gambir, dekat sini.
Mengimbau tragedi sedih itu, Juriah berkata, paling tidak boleh dilupakan adalah perlakuan pelik suaminya tiga hari sebelum kejadian, apabila arwah menyatakan hasrat untuk bermain buaian di funfair di Bukit Gambir, ketika dalam perjalanan pulang selepas menikmati mi Bandung kegemarannya di sebuah restoran berhampiran.
“Saya menolak permintaan arwah secara baik dan memberitahunya berasa malu kerana sudah tua serta tidak sesuai untuk bermain buaian di funfair.
“Sebaliknya arwah hanya mendiamkan diri sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah,” katanya.
Tragedi pulang menoreh getah
Juriah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.41 pagi pada 29 Mei lalu, dia dan suami baru sahaja pulang daripada menoreh getah.
Menurutnya, dia berada di dapur kerana menyiapkan keperluan untuk memasak hidangan tengah hari, manakala suaminya sedang berehat di ruang tamu.
“Kemudian saya dengar bunyi pintu depan rumah ditendang dengan kuat sehingga terbuka.
“Saya terkejut lalu ke ruang tamu dan melihat wanita itu sudah berada dalam rumah sambil menjerit meminta tolong,” katanya.
Jelasnya, tiba-tiba wanita itu berlari ke dapur dan mencapai dua parang sebelum menetak bertubi-tubi di badan dan bahu kiri suami serta darah membuak-buak keluar.
Tambahnya, dia turut terkena tetakan di bahagian kepala ketika cuba membantu menyelamatkan suaminya.
“Melihat keadaan wanita itu yang semakin agresif, saya nekad merangkak ke luar dan menjerit meminta pertolongan daripada jiran,” katanya.
Menurutnya, suaminya meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF Muar akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan serta putus satu jari tangan.
Berikutan itu, Juriah yang mengalami kecederaan parah dengan tiga tetakan di kepala dan menerima 40 jahitan ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Sinar Harian
18 Ogos 2012
0 comments:
Post a Comment