MUAR – Waris kepada pemilik sebuah kubur lama
berhampiran Dataran Tanjung Emas diminta tampil ke Pejabat Agama
Islam Muar untuk membantu kerja pemindahan kubur berkenaan.
Penyelia Tanah Perkuburan, Zulman Sapran
berkata, kubur tersebut tidak mempunyai sebarang maklumat dan
dipercayai sudah berusia hampir 100 tahun terletak di bawah sebuah
pokok besar yang dikenali sebagai pokok hujan-hujan atau nama
saintifiknya, Samanea Saman.
Menurutnya, kewujudan kubur lama itu disedari
oleh sekumpulan kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika
membersihkan semak di kawasan berhampiran sekitar tahun 2009.
“Ia
dikenal pasti selepas menemui satu batu nisan dan kubur ini
dipercayai milik orang lelaki.
“Sejak
itu, pihak MPM pelihara kawasan ini termasuk memasang pagar supaya
orang ramai sedar kewujudan kubur ini,” katanya kepada Sinar
Harian.
Beliau berkata, kami tidak pasti kemungkinan
ada kubur lain di sini kerana tidak ada sebarang petunjuk seperti
batu nisan dan sebagainya.
Zulman berkata, cadangan kubur itu dipindahkan
ke tempat lain telah dibuat setelah mendapati kedudukannya tidak
sesuai lebih-lebih lagi selepas kawasan tersebut dibangunkan sebagai
tempat awam.
“Kawasan
ini sering menjadi tumpuan jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti pada hujung minggu.
“Untuk
kebaikan dan kemudahan semua pihak, sewajarnya kubur ini dialihkan ke
kawasan yang sepatutnya,” katanya.
Tambahnya, beliau sudah berbincang dengan pihak
pengurusan MPM mengenai cadangan itu dan akan memindahkan kubur
berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri.
Jelasnya, cuma halangannya ialah untuk mengenal
pasti waris kepada pemilik kubur terbabit supaya kerja pemindahan
dapat dilakukan dengan lancar dan mudah.
Selain itu, Pejabat Agama Islam daerah Muar
turut menemui sembilan kubur lama yang dipercayai berusia lebih 100
di kawasan kediaman rasmi ketua penolong pegawai daerah Muar di Jalan
Majidi, di sini dan sehingga kini masih tidak dapat mengenal pasti
warisnya.
Sinar Harian 5 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment