Tai Chuan cedera dada kiri akibat terkena tembakan rakan sendiri semasa memburu babi hutan dalam kebun Kelapa Sawit di Tanjung Olak, Bukit Pasir dekat sini, kelmarin.
MUAR – Keseronokan empat sahabat memburu haiwan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka nyaris maut dipercayai terkena tembakan rakannya sendiri.
Tea Soy @ Ting Tai Chuan, 77, mengalami kecederaan di bahagian dada kiri selepas terkena tembakan rakannya semasa memburu babi hutan di sebuah kebun Kelapa Sawit di Tanjung Olak, Bukit Pasir, dekat sini, kelmarin.
Pengusaha ladang sayuran dari Bukit Pasir itu sudah lebih 10 tahun mempunyai lesen senapang dan melakukan aktiviti memburu haiwan bagi mengisi masa lapang.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rakan mangsa dikenali sebagai Chua, 46, berkata tidak menyangka tembakan yang disasarkan ke arah objek yang menyerupai babi hutan yang dilihatnya pada jarak 120 meter di hadapan adalah rakannya sendiri.
Menurutnya, setibanya di kawasan kebun berkenaan, dia tidak menyedari Tai Chuan terlebih dahulu berjalan ke arah hadapan kerana menyangka rakannya itu pergi ke arah lain.
“Semasa berada di tengah kebun, saya ternampak objek seperti babi hutan melintas dan melepaskan tembakan.
“Saya hanya mengetahui tertembak rakan selepas mendengar Tai Chuan menjerit kesakitan selain dadanya berdarah,” katanya.
Katanya, dia mahu menghantar Tai Chuan ke hospital tetapi rakannya itu enggan, sebaliknya hanya mahu pulang ke rumah.
Salah seorang anak mangsa, Ting Kah Peng, 40-an, berkata, dia mengetahui insiden yang menimpa bapanya itu selepas dihubungi anaknya.
“Ketika itu anak saya baru pulang dari sekolah dan lihat baju yang dipakai bapa berdarah di bahagian kiri dada.
“Saya segera pulang dan terkejut lihat bapa duduk di kerusi dalam keadaan lemah seperti menahan sakit,” katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan itu, dia segera menghantar bapanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafarketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Senjata Api 1960.
Sinar Harian 27 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment