MUAR – Gara-gara tidak sempat mengelak, seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah bas di Jalan Bukit Pasir- Pagoh, dekat sini, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Wong, 40-an dipercayai dalam perjalanan pulang berehat ke rumahnya di Pagoh dari tempat kerja.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Wong dikatakan gagal mengelak sebuah bas yang berhenti untuk menurunkan penumpang. Akibat rempuhan itu, dia tercampak ke atas jalan dan motorsikalnya terperosok di bawah bas.
Pemandu bas berkenaan, Jaafar Osman, 50, berkata, ketika dia memberhentikan bas untuk menurunkan penumpang, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang basnya.
“Saya segera turun bas untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati seorang lelaki terbaring di belakang bas dengan keadaan berlumuran darah di bahagian muka.
“Saya pandu bas dalam perjalanan dari Muar menuju pekan Pagoh dan kemudiannya segera hubungi ambulan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, mangsa yang cedera di bahagian muka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sinar Harian
12 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment