PAGOH: “Jika arwah bapa masih hidup pastinya dia gembira kerana jasanya menjaga keselamatan negara suatu ketika dulu dihargai kerajaan.
“Pemberian sumbangan ini amat bermakna kerana ia dapat meringankan beban kami sekeluarga,” kata Safiah Atan, 42.
Menurutnya, arwah bapanya, Hassan Abdullah bekas konstabel polis tambahan di zaman darurat.
Katanya, selepas bapanya meninggal dunia pada 2000, ibunya, Gayah Ahmad, 88, hilang tempat bergantung serta tidak mendapat pencen dan kini tinggal bersamanya.
“Ibu tidak mampu bergerak kerana sakit tua dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan keluarga.
“Jadi, menerusi bantuan yang diterima ini dapatlah kami gunakannya untuk menyediakan keperluan harian seperti susu dan lampin pakai buang.
“Saya mewakili ibu dan ahli keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan dan ingatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada pesara polis daerah Muar di Kompleks Sri Pekembar di sini, semalam.
Hoo Swee Eng, 79, berkata, sumbangan itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan nasib pesara polis meskipun menamatkan perkhidmatan sejak berpuluh tahun lalu.
“Walaupun sumbangan saya tidak sebesar mana jika dibandingkan anggota keselamatan lain, saya bangga menjadi konstabel tambahan kerana dapat membantu melindungi negara,” katanya yang begitu gembira dapat bertemu Timbalan Perdana Menteri pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu, seramai 120 pesara polis daerah Muar menerima sumbangan RM3,000 seorang disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Adun Bukit Serampang, Tahir Taat.
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapan pada mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh selepas majlis itu, menggesa semua ahli tidak memikirkan perkara lain kecuali bagaimana memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan bila-bila masa.
Beliau berkata, keadaan politik semasa sudah jauh berbeza jika dibandingkan situasi sebelum ini.
myMetro
7 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment