Saturday, April 21, 2012

Kes HFMD membimbangkan


MUAR – Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor, membimbangkan apabila kes itu meningkat sebanyak 578.1 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai.

Menurutnya, sehingga minggu ke-14 yang berakhir 7 April tahun ini, sebanyak 651 kes dicatatkan berbanding hanya 96 kes HFMD dalam tempoh yang sama, tahun lalu.

“Daerah yang paling banyak mencatatkan HFMD tahun ini ialah Johor Bahru dengan 193 kes; Batu Pahat (123); Ledang (100); Kluang (67); Kota Tinggi (55); Muar (48); Kulaijaya (37); Pontian (19); Segamat (lapan); dan Mersing (satu kes).

“Peningkatan HFMD di negeri ini melepasi paras wabak dicatatkan bermula pada minggu kesembilan bermula 26 Februari 2012 iaitu dua minggu selepas Singapura mencatatkan HFMD melepasi paras wabak iaitu pada minggu ketujuh bermula 12 Februari 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Muar, semalam.

Katanya, sejak minggu kesembilan, sebanyak 18 kluster HFMD dikesan di Johor melibatkan 14 tabika dan empat rumah persendirian.

“Kesemua tabika terlibat diarahkan tutup sementara antara 10 hingga 14 hari bagi memutuskan rantaian jangkitan serta melakukan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi di premis terbabit.

“Virus utama HFMD yang dikesan di Johor adalah Coxsackie A16, merupakan kuman HFMD yang kurang bahaya,” katanya.

Dr Robia berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, tiada kematian HFMD dicatatkan di Johor.

HFMD merupakan penyakit berjangkit disebabkan virus dari usus (enteroviruses) terdiri daripada kumpulan Picornaviridae.

“Enteroviruses yang lazim menyebabkan HFMD adalah Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV-71).

“Penyakit ini mudah menyerang bayi dan kanak-kanak yang mempunyai tahap imuniti yang rendah,” katanya.

Dr Robia berkata, walaupun HFMD tidak merbahaya, tetapi kadangkala ianya boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang otak dan radang jantung sehingga membawa kematian.

Menurutnya, simptom utama HFMD ialah demam, ulser pada mulut/bibir/lidah dalam pipi, ruam dengan melepuh, gelembung tapak tangan dan kawasan lampin.

Jelasnya, kuman itu merebak secara langsung melalui sentuhan pada lepuh atau najis ke mulut (Faeco-oral) atau secara tidak langsung dari tangan yang tercemar atau air liur ke atas permukaan seterusnya disentuh oleh orang lain lalu masuk ke dalam badan melalui mulut.

Sinar Harian
21 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment