Friday, April 6, 2012

Ikan belanak mabuk air tawar

IKAN belanak mati terapung di kawasan parit Kampung Benteng Tengah dan Benteng Laut, Parit Jawa, Muar semalam. Ribuan spesies laut masuk parit selepas hujan lebat ditemui mati terapung   

MUAR: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan ribuan ikan belanak ditemui mati terapung dalam parit sekitar Kampung Benteng Laut dan Benteng Tengah dekat Parit Jawa di sini, dipercayai akibat mabuk air tawar.

Kejadian itu disedari seorang wanita kira-kira jam 8 pagi semalam, ketika beliau mahu membuka warung di Kampung Benteng Laut. 

Penjaga pintu air Parit Jawa, Mohd Zainul Ayub, 38, berkata kejadian itu disebabkan ikan terbabit yang juga spesies ikan laut tidak mampu bertahan dalam air tawar menyebabkannya mati hingga memenuhi parit sekitar kampung berkenaan hingga ke jeti nelayan. 

Katanya, sekitar kawasan terbabit mengalami kemarau sejak Januari lalu menyebabkan beliau menyekat laluan air daripada parit untuk menakung air sebelum dilepaskan ke laut bagi kemudahan nelayan yang perlu berulang alik ke laut. 

Berikutan itu katanya, ikan belanak memasuki parit berkenaan tetapi disebabkan air hujan mula memenuhi kawasan itu sejak beberapa hari lalu, ikan berkenaan dipercayai mula mati kerana tidak mampu hidup dalam air tawar. 

“Berikutan itu, kita lihat hanya ikan air masin mati, manakala ikan lain seperti haruan dan tilapia yang hidup dalam air tawar tidak menghadapi masalah,” katanya. 

Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian mendapati ribuan ikan berkenaan terapung dan memenuhi sekitar tebing Kampung Benteng Laut dan Kampung Benteng Tengah hingga ke jeti nelayan. 

Mohd Zainul berkata, beliau terpaksa menyekat dua pintu air di kawasan berkenaan sebelum melepaskannya beberapa kali bagi memudahkan nelayan keluar masuk berikutan paras air begitu cetek.  

Selain itu katanya, air yang ditakung sebelum dilepaskan boleh menolak lumpur serta kayu yang memasuki parit berkenaan terus ke laut seterusnya boleh mengurangkan kerosakan pada bot nelayan. 

“Kebiasaannya ikan belanak ini memasuki parit apabila air pasang dan tidak kembali semula ke laut kerana parit dipenuhi air masin. Cuma kali ini apabila hujan lebat dan kandungan air berubah, ia tidak boleh bertahan dan mati," katanya. 

Berita Harian
5 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment