MUAR – Salakan anjing peliharaan pada waktu awal pagi telah menyelamatkan seorang warga emas daripada menjadi mangsa kebakaran yang melibatkan dua rumah di Kampung Paya Redan Pagoh dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi, mangsa Foo Ah May, 73, mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan tangan ketika cuba menyelamatkan barangan berharga miliknya.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila mendengar salakan kuat anjing peliharaannya.
“Saya berasa tidak sedap hati kerana anjing peliharaan jarang menyalak sedemikian pada waktu malam.
“Apabila keluar bilik, saya terkejut melihat api sedang marak di bahagian tengah rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia masuk semula dalam bilik untuk menyelamatkan barangan berharga tetapi api terlalu marak menyebabkannya cedera pada badan dan tangan.
Difahamkan, Ah May tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suami beberapa tahun lalu, manakala anak-anaknya bekerja di luar negara.
Sementara itu,Pegawai Bomba Kanan 11, Nor Al-Fatah Omar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2 pagi.
Menurutnya, dua jentera dan satu kenderaan pacuan empat roda bersama 11 anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Semasa tiba, 80 peratus bahagian rumah ini sudah terbakar kerana strukur rumah papan lama memudahkan api marak dengan cepat.
“Pihak bomba bertindak pantas mengawal api bagi mengelakknya merebak ke rumah berhampiran,”katanya.
Katanya lagi, pihak bomba mengambil masa lebih kurang satu setengah jam untuk memadam kebakaran.
“Sebuah kereta jenis Proton Wira milik jiran turut hangus dan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Warga emas itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sinar Harian
28 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment