SHAHROM menunjukkan cermin tingkap rumahnya yang pecah akibat kejadian ribut di Muar semalam.
MUAR - Penduduk di Taman Sri Jeram 3, Bakri di sini terkejut apabila ternampak pusaran angin setinggi bumbung semasa kejadian ribut yang menyebabkan 16 buah rumah rosak teruk awal pagi semalam.
Seorang mangsa, Md. Saat Ali, 49, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi, lebih kurang 15 minit selepas angin kuat dan hujan lebat.
Menurutnya, pada mulanya, dia terdengar bunyi angin kuat dari luar rumah yang berhampiran kebun kelapa sawit.
Bapa kepada dua anak itu terkejut apabila ternampak satu pusaran setinggi bumbung sedang melalui depan rumahnya dan terus bertindak menyelamatkan diri.
"Saya bersyukur kami sekeluarga selamat dan selepas ribut hilang saya dapati beberapa bahagian atap rumah saya musnah dan juga barangan dalam rumah rosak.
"Kejadian ini dirasakan begitu pantas sekali. Kerugian yang kami alami dianggarkan lebih RM3,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Mohd. Nazri Mohd. Robak, 42, pula masih terbayang-bayang pusaran ribut tersebut yang menakutkan itu.
"Ribut tersebut berbentuk pusaran angin dengan campuran air dan desiran kuat yang pada mulanya saya sangka bunyi orang bergaduh di luar rumah kira-kira pukul 6.30 pagi.
"Melihat keadaan itu, saya, isteri, seorang anak dan ibu yang berkerusi roda hanya berlindung dalam rumah serta berdoa tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.
Kosmo 29 Apr 2012
Ribut di kala Subuh, 28 rumah alami kerosakan
MUAR – Kira-kira 200 penduduk di Taman Seri Jeram 2 dan Taman Seri Jeram 3 berhadapan detik cemas kira-kira 20 minit berikutan kejadian ribut yang melanda kawasan tersebut, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi itu telah menyebabkan 28 rumah mengalami kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung.
Salah seorang penduduk, Zaleha Jaafar, 44, berkata, sebelum kejadian dia mendengar bunyi petir kuat disusuli dengan tiupan angin kencang.
Menurutnya, ketika itu dia berada di dapur kerana menyiapkan makanan untuk dijual di warung miliknya di Batu 7 ½ Bakri.
“Lima minit kemudian, hujan turun dengan lebat dan saya dengar ada objek jatuh di tingkat atas bahagian rumah.
“Tiba-tiba, air turun dari tingkat atas dan membasahi bahagian dapur rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Katanya, pelik dengan kejadian itu, dia segera naik tingkat atas dan terkejut melihat siling pecah dan keseluruhan bumbung rumah tercabut.
“Mujur semasa kejadian anak-anak tiada dalam bilik kerana tidur di ruang tamu bahagian tingkat bawah.
“Jika tidak, pasti mereka akan tercedera kerana banyak siling yang pecah dan berteraburan memenuhi ruang bilik,” katanya.
Ibu kepada lima anak berkata, berikutan kejadian itu juga dia tidak dapat berniaga dan berasa sedih kerana sedikit terbeban untuk membaiki semula bumbung yang rosak.
“Pendapatan dengan berniaga warung tidak tetap dan hari ini saya tidak dapat berniaga sedangkan semua makanan sudah siap dimasak.
“Namun saya tetap bersyukur kerana anak saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Bakri, Ishak Khalil berkata, beliau meminta semua mangsa ribut supaya membuat laporan polis dengan segera.
“Senarai mangsa ribut akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk bantuan selanjutnya.
“Bagaimanapun, hari ini (semalam) semua mangsa ribut telah menerima bantuan kilat daripada Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bakri, Mohd Fuad Tukirin berupa wang tunai dan sumbangan atap asbestos,” katanya.
Sinar Harian
29 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment