Saturday, May 3, 2014

Teknologi pertanian diperluas

Ismail (tengah) diiringi Rohaizah menyampaikan cenderhati kepada Mutalib selepas merasmikan Kursus Pra-Perkahwian Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, kelmarin.

MUAR – Amalan pertanian baik di negara China yang menggunakan teknologi moden seperti fertigasi dan hidroponik akan diperluas di negeri ini bagi menyumbang peningkatan pengeluaran dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri dan Asas Tani, Ismail Mohamed berkata, teknologi negara itu  yang sentiasa dikemaskini terbukti telah  menjadikan pertanian di China lebih maju mengatasi negara  lain.

“Kaedah hidroponik ialah penggunaan air dengan campuran baja manakala fertigasi pula campuran baja serta sabut kelapa dan kedua-dua kaedah itu tidak menggunakan tanah yang banyak.

“Teknik tersebut yang menggunakan konsep rumah teduhan  sesuai di negara ini termasuk jika berlaku kemarau atau hujan kerana tidak memberi kesan terhadap pengeluaran sebaliknya produktiviti berterusan,”katanya pada sidang media selepas
merasmikan Kursus Pra-Perkahwian Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim; Adun Jorak, Datuk Dr Saharudin Md Salleh dan Ketua Puteri Umno Johor, Rohaizah Ahmad.

Beliau yang baru pulang  lawatan pertanian dari China memberitahu, teknologi itu yang   mengunakan kaedah pengawalan baja menjadikan pengeluaran hasil yang lebih banyak dengan penggunaan tanah yang terhad.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan bantuan RM1 juta tahun ini kepada petani  yang berminat mengamalkan kaedah pertanian moden negara  China itu.

“Kita mahu koperasi pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membantu  memperkenal tanaman cara itu kepada  petani.

“Kaedah tersebut amat sesuai dipraktikkan dan tumpuan pihaknya adalah di kawasan pinggir-pinggir bandar dan kampung-kampung berikutan keluasan tanah yang semakin terhad ketika ini,”katanya.

Ismail berkata, sebagai contoh  petani di China boleh  menanam  lima jenis tanaman di atas tanah berkeluasan kurang 0.5 hektar dengan pengeluaran yang berkualiti dan lebih  tinggi termasuk keledek yang menggunakan beg khas.

“Kita mahu manfaatkan teknologi ini dikesemua daerah  di negeri ini dengan lima petani disetiap daerah.  Namun kita akan menetapkan jenis tanaman kepada petani berlainan daerah untuk menggelakkan  lambakan terhadap sesuatu produktiviti.

“Antara tanaman yang dicadangkan ialah   sayuran daun, terung, keledek, kacang panjang, lada, bende, kentang, tomato dan labu dengan keluasan tanah tidak sampai  satu hektar,”katanya.

Sinar Harian
30 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment