Saturday, May 3, 2014

Mohon kepemimpinan baharu di Mukim Bandar, Bakri

MUAR 2 Mei - Sebahagian besar daripada 2,200 penduduk Mukim Bandar di Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri di sini mahukan satu kepemimpinan baharu kerana teraju sedia ada didakwa gagal dan tidak lagi proaktif dalam menangani permasalahan serta kebajikan mereka.

Pesara guru, Abdul Samad Awang, 65, dari Parit Keroma Darat, mendakwa, kebajikan mereka di mukim itu yang melibatkan Parit Keroma, Parit Keroma Darat, Parit Sakai, Parit Sakai Darat, Parit Besar, Parit dan Parit Perupok termasuk enam taman di situ terabai.

“Sebagai contoh masalah surau di kampung saya perlu dibaiki segera khususnya bahagian tandas tetapi sehingga kini dibiarkan begitu sahaja. Masalah parit di kawasan surau itu juga ditangani sendiri de­ngan berjumpa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana salurannya tersumbat dan terlalu kecil.

“Begitu juga dengan masalah lorong-lorong kampung tidak berturap dan dalam satu kes itu, permohonan dilakukan untuk Lorong Saring tetapi projek turap jalan dibuat di Lorong Yusof," katanya yang juga Pengerusi Surau Parit Keroma Darat ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Azizan Dulani, 42, penduduk Parit Sakai Darat pula berkata, masalah perparitan terutama di kawasannya tidak diselenggara dan boleh dilihat daripada keadaan semak dalam kawasan parit sama tinggi dengan rumput di tebing­nya, begitu juga pokok-pokok besar di tepi jalan yang merimbun sehingga menyentuh wayar tiang elektrik.

Zainal Mohd. Dah, 65, dari Parit Sakai berkata, penduduk sudah mempelawa ke­pemimpinan sedia ada untuk turun di peringkat akar umbi sekali gus berdialog dengan penduduk di enam kampung tersebut bagi mengetahui masalah mereka, namun ia tidak diendahkan.

Katanya, masalah di kampung-kampung terbabit terus berbangkit dan penduduk buntu kerana tiada saluran untuk mengemuka masalah tersebut walaupun hampir ke­semuanya penyokong tegar kerajaan.

Ali Abas, 70, dari Parit Besar, berkata, masalah itu berpunca daripada terdapat ketua kampung yang merupakan pemimpin terlalu lama di mukim tersebut sejak 1990 dilihat tidak lagi relevan untuk berkhidmat kepada penduduk setempat.

“Justeru kami mendesak kerajaan supaya kepemimpinan di mukim ini yang di­terajuinya ditukar kerana perkhidmatannya tamat tidak lama lagi. Perkara ini dipersetujui hampir semua pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menurunkan tandatangan persetujuan supaya perkhidmatannya ditamatkan," katanya.

Antara sebabnya, kata Ali yang juga Imam di Surau Parit Sakai, umur ketua kampung itu yang sudah lanjut dan faktor kesihatan menyebabkan segala aduan serta la­poran penduduk bermasalah tidak diberikan perhatian dan tindakan yang memakan masa.

Utusan
3 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment