Tuesday, May 13, 2014

Bakal pengantin cari wali nikah

Norsyahadah Aida menunjukkan gambar bapanya yang masih dalam simpanan.

MUAR - Seorang bakal pengantin buntu apabila usaha mencari bapanya sejak beberapa bulan lalu gagal yang memungkinkan dia tidak dapat bernikah pada 31 Mei ini.

Norsyahadah Aida Zainal Abidin, 26, dari Sungai Sudah, Sungai Balang, dekat sini, berkata, dia dan bakal suami, Mat Salleh Omar, 21, memerlukan kehadiran bapanya, Zainal Abidin Saad, 60an, sebagai wali.

“Saya percaya ayah masih hidup tetapi tidak mempunyai maklumat terkini di mana dia berada ketika ini menyebabkan usaha menjejakinya tidak berhasil.

“Saya juga ada mencari di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, dengan bertemu saudara mara dan rakannya tetapi malangnya mereka juga tidak mengetahui lokasi sebenar ayah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia yang bekerja sendiri berkata, usahanya tidak terhenti setakat itu apabila turut menggunakan laman media sosial namun hasilnya masih sama.

Selain itu katanya, dia begitu teringin bertemu bapa kandungnya yang tidak pernah ditemui sejak dilahirkan kerana bapanya menghilangkan diri ketika dia masih dalam kandungan.

“Bapa berasal dari Kuala Nerang dan berkahwin dengan ibu, Saripah Dasuki di daerah ini. Tetapi apabila ibu mengandung ayah meninggalkan rumah dan tidak pulang sehingga ke hari ini.

“Sejak itu, ibu tidak berkahwin lagi dan sendirian membesarkan saya sebagai anak tunggal,” katanya.

Katanya lagi, dia bukan sahaja mahu kehadiran bapa pada hari bersejarah dalam hidupnya itu tetapi juga mahu bersatu semula sebagai sebuah keluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Zainal Abidin Saad, boleh membantu Norsyahadah Aida dengan menghubunginya di talian 017-7091390.

Sinar Harian
13 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment