Saturday, June 14, 2014

Ikhtiar buka kedai runcit sejak hidap tulang reput

Abdul Wahab Yasin (dua, kanan) menunjukkan ubat-ubatannya kepada Ketua Puteri Wanita Pogoh, Rohaizah Ahmad.

MUAR - Kehadiran rombongan Jelajah Sinar Harian edisi Johor yang singgah ke rumah kedai didiami seorang pesakit kronik, di Pekan Pagoh memberi kegembiraan buatnya sekeluarga.

Abdul Wahab Yaasin, 62, berkata, sejak disahkan menghadapi masalah tulang reput akibat komplikasi buah pinggang, dia dan isteri, Mudah Wagiman, 48, berniaga kedai runcit secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan harian.

Katanya, walaupun menderita penyakit buah pinggang sejak 22 tahun lalu, dia masih bekerja di kebun kelapa sawit, namun sejak Mac lalu dia langsung tidak mampu melakukan kerja berat.

“Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab mencari nafkah kepada isteri, selagi terdaya saya mahu membantunya mencari rezeki kerana masih ada empat daripada tujuh anak masih belajar.

“Keuntungan berniaga runcit tidak besar, namun ini sahaja saya mampu lakukan. Dengan pendapatan ini kami menanggung keluarga selain membiayai perbelanjaan perubatan saya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, keluarga ini tidak menerima sebarang bantuan kewangan selain tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihak bertanggungjawab.

Selain kediaman Abdul Wahab, rombongan Jelajah Mesra Sinar Harian edisi Johor bersama Pergerakan Puteri Umno Pagoh, CIMB dan Biro Aduan Pemuda Umno Malaysia turut melawat empat kediaman lain sambil
menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Pergerakan Puteri Umno Pagoh diketuai ketuanya, Rohaizah Ahmad merangkap Ketua Puteri Umno Johor.

Rohaizah berkata, pihaknya akan berusaha mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan.

Jelajah hari kedua di Muar dimeriahkan lagi perlawanan badminton membabitkan Puteri Umno Pagoh, CIMB dan warga kerja Sinar Harian edisi Johor.

Sinar Harian
14 Jun 2014

0 comments:

Post a Comment