Thursday, June 19, 2014

PR1MA di pinggir bandar Muar

MUAR 18 Jun - Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibina di kawasan seluas lapan hektar di Jalan Junid di sini tidak lama lagi dalam usaha memastikan rakyat berpendapatan rendah di daerah ini memiliki rumah sendiri.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, pangsapuri empat tingkat akan didirikan di kawasan seluas dua hektar manakala rumah setingkat mengikut dua kategori pula dibina di baki tanah seluas enam hektar.

"Kawasan perumahan ini dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk surau, taman permainan kanak-kanak dan tadika. Ini semua merupakan perancangan awal pihak kami.

"Jenis rumah adalah mengikut spesifikasi Perbadanan PR1MA Malaysia kerana kami mahu orang ramai membeli rumah berkualiti tinggi dan selesa dengan reka bentuk terkini dan harga berpatutan," katanya yang ditemui selepas majlis Perasmian Mini Karnival Koperasi Parlimen Muar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Yusof, Parit Bugis dekat sini baru-baru ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, projek tersebut turut mendapat persetujuan kerajaan negeri serta pejabat tanah namun semuanya perlu mengikut proses ditetapkan dan orang ramai diminta bersabar kerana keperluan penduduk Muar sedang diusahakan.

Katanya, apabila mendapat kelulusan, semua pihak akan dimaklumkan dan mereka boleh membuat permohonan membeli PR1MA di pinggir bandar Muar itu dengan keutamaan diberikan kepada penduduk berpendapatan sederhana dan pasangan baharu berkahwin yang tidak berpeluang membeli rumah sendiri.

"Berlaku peningkatan mendadak harga tanah dan rumah di sini sejak beberapa tahun lalu. Kami sedar keluhan rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah tersebut yang punca utamanya disebabkan kebanyakan tanah di kawasan bandar dimiliki syarikat atau milik persendirian.

"Keadaan itu menyebabkan kami mengambil masa agak lama sebelum mengenal pasti tanah seluas lebih lapan hektar di Jalan Junid untuk mendirikan rumah rakyat," katanya.

Utusan
19 Jun 2014

0 comments:

Post a Comment