REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, September 30, 2013

Kem PLKN bukan tempat cari musuh

Ismail (kiri) mengetuai pertandingan tarik tali pada program Khidmat Komuniti PLKN di Dewan GDW Felcra Bukit Kepong, semalam.

MUAR - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dinasihatkan supaya  tidak menjadikan pusat latihan itu sebagai tempat mencari musuh sebaliknya platform menimba ilmu pengetahuan dan meluaskan hubungan persahabatan.

Adun Bukit Serampang, Ismail Mohamad berkata, insiden kematian seorang pelatih lelaki di sebuah kem PLKN di Pahang, baru-baru ini, amat mengejutkan dan mungkin ia dapat dielakkan jika masing-masing bertolak ansur.

“Kita harap kejadian tersebut tidak akan berulang dan semua pelatih harus mempraktikkan sepenuhnya disiplin yang diterapkan di kem berkenaan sepanjang mengikuti latihan.

“Ada juga bekas pelatih menubuhkan Persatuan Alumni untuk memastikan hubungan mereka tidak terputus meskipun telah berpisah selepas menamatkan latihan,” katanya berucap merasmikan program Khidmat Komuniti PLKN di Dewan GDW Felcra Bukit Kepong dekat sini, semalam.

Hadir sama, Komanden Kem PLKN Nasuha Pagoh, Leftenen Kolonel Razali Basri; Pengurus Felcra Bukit Kepong, Mohd Noor Taib dan wakil Pegawai Penerangan Muar, Juraimi Ali.

Ismail berkata, beliau amat berharap tempoh tiga bulan sepanjang mengikuti latihan dapat mematangkan peserta dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, sekaligus menjadikan mereka belia berketerampilan serta mempunyai jati diri tinggi.

“Mereka boleh main peranan untuk bimbing rakan lain yang tidak berpeluang mengikuti latihan tersebut melalui ilmu yang diperoleh dalam PLKN.

“Menyumbangkan bakti  kepada masyaralat juga adalah sebahagian tanggungjawab bekas pelatih sebagai menghargai jasa kerajaan memilih mereka menyertai latihan itu,” katanya.

Sementara itu, mengenai program tersebut, Razali berkata, lebih 200 pelatih PLKN Kem Nasuha Pagoh siri 10 kumpulan tiga, tahun 2013 menyertai program itu adalah salah satu modul wajib yang perlu diikuti setiap pelatih.

Menurutnya, selain didedahkan dengan kehidupan masyarakat Felcra, pelatih turut terlibat dalam beberapa acara sukan rakyat seperti bola api, boling padang, tarik tali, si buta mencari anak dan tarik tali bersama penduduk.

Utusan 30 Sep 2013

Saturday, September 28, 2013

50 pelajar MRSM Muar histeria

MRSM Muar di Bakri, Muar, Johor. - Foto NST

MUAR 28 Sept. - Kira-kira 50 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Batu 6, Bakri di sini, diserang histeria sejak Rabu lalu sehingga memaksa pengurusan sekolah membenarkan pelajarnya pulang ke rumah sejak pagi semalam.

Kejadian berlaku bukan sahaja semasa berada di asrama pada waktu malam tetapi juga di dalam kelas di waktu pagi dan tengah hari.

Tinjauan Mingguan Malaysia di sekolah itu hari ini mendapati sebahagian besar ibu bapa telah mengambil anak masing-masing tetapi pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan terbabit.

Difahamkan hanya pelajar Tingkatan 3 dan 5 tinggal di asrama kerana akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula Selasa ini dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Seorang pelajar lelaki yang enggan dikenali mendakwa, sebelum kejadian ramai rakannya ternampak makhluk halus di sekitar asrama dan kelas menyebabkan mereka takut dan mengalami histeria.

"Ramai yang meracau dan berkelakuan seperti dirasuk. Guru-guru menempatkan mereka di surau dan mendapatkan rawatan tradisional daripada seorang ustaz yang dahulunya pernah bekerja di MRSM ini bagi memulihkan keadaan," katanya.

Dia percaya, kejadian itu mempunyai hubung kait dengan insiden pelajar lelaki membaling batu di sebuah tangki air di sekolah berkenaan baru-baru ini kerana sejak itu mereka diganggu makhluk halus.

Seorang lagi pelajar mendakwa, gangguan makhluk halus berkenaan berterusan selama tiga hari menyebabkan keadaan panik di asrama.

"Bagaimanapun, semalam saya diberitahu seorang bekas imam serta ustaz dari Batu Pahat sudah dipanggil oleh pengurusan sekolah. Mereka menabur garam di sekitar asrama mungkin untuk menghalau makhluk itu dan keadaan sudah semakin pulih sejak malam tadi," katanya.

Sementara itu, seorang bapa yang menjemput anaknya pulang memberitahu, dia hanya mengetahui tentang kejadian tersebut petang semalam apabila anak perempuannya menghubunginya untuk membawanya pulang.

"Saya diberitahu ramai pelajar terkena histeria mungkin akibat gangguan makhluk halus dan semalam pihak sekolah membenarkan ibu bapa mengambil anak mereka," katanya yang bekerja sebagai kerani di bandar ini.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan kenyataan daripada pihak pengurusan sekolah termasuk pengetuanya gagal.

Pegawai Pelajaran Muar, Ahmad Othman ketika dihubungi meminta ibu bapa bersabar dan memahami situasi itu kerana berlaku tanpa dijangka.

"Pihak sekolah telah mengambil tindakan sewajarnya dan keadaan di sekolah itu adalah terkawal," ujarnya.

Utusan 
28 Sep 2013


Lebih 50 pelajar MRSM Muar alami histeria dibenarkan pulang

MUAR: Lebih 50 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Batu 6 Bakri, di sini, mengalami histeria sejak malam Rabu lalu hingga memaksa pengurusan sekolah membenarkan pelajarnya pulang ke rumah sejak kelmarin.

Kejadian difahamkan berlaku apabila pelajar mula mengalami gangguan dan menjerit serta meracau-racau hingga gagal dikawal.

Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu petang kelmarin apabila anak perempuannya menghubungi meminta beliau segera datang untuk membawanya pulang.

"Saya diberitahu ramai pelajar terkena histeria mungkin akibat gangguan makhluk halus sejak Rabu lalu dan semalam pihak sekolah membenarkan ibu bapa mengambil anak mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berita Harian
28 Sep 2013

Friday, September 27, 2013

PBTM bina 350 rumah


MUAR 26 Sept. - Sebuah perkampungan bekas tentera akan diwujudkan di Batu 11, Pagoh dekat sini bagi menyediakan kediaman kepada 350 golongan berkenaan yang masih belum mempunyai rumah sendiri.

Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar, Shamsudin Rais (gambar) berkata, cadangan itu dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bagi membantu pesara yang tidak berpencen di daerah ini.

"Rumah bekas tentera itu akan dibangunkan di kawasan tanah seluas 54 hektar oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan akan dijual dengan harga berpatutan bagi membantu ahli PBTM memiliki kediaman.

"Usaha ini dibuat kerana seramai 350 pesara itu masih tidak mempunyai kediaman sendiri dan ketika ini mereka menumpang di rumah keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Bagaimanapun, ahli PBTM tersebut yang terpilih perlu membuat aku janji untuk terus menyokong kerajaan sebelum layak mendapat rumah tersebut kerana tidak mahu golongan yang tidak mengenang budi mendapat kelebihan berkenaan kerana kerajaan sentiasa menjaga kebajikan serta membantu mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pejabat PBTM di Jalan Sulaiman kini sudah berubah wajah selepas dinaik taraf dengan kos RM60,000 yang disumbangkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman Jun lalu.

Shamsudin berkata, kerja-kerja menaik taraf dilakukan selepas persatuan itu berjaya mendapatkan status hak milik tanah tersebut daripada Pejabat Tanah Daerah, September lalu.

Kerja menaik taraf itu melibatkan penggantian dinding papan kepada batu, lantai jubin, membina tembok, mengganti papan tanda persatuan, membaiki sistem perparitan, mengecat bangunan dan menggantikan bumbung yang bocor.

"Bangunan asal pejabat ini ialah kuarters Jabatan Kerja Raya yang sudah lama terbiar. Ruang bangunan baharu pejabat ini boleh menampung 300 ahli dan jauh lebih selesa," katanya.

Shamsudin memberitahu, pihaknya juga merancang untuk membina sebuah stor bagi menempatkan peralatan.

Setakat ini persatuan itu mempunyai seramai 3,383 ahli termasuk dari Bakri, Ledang dan Pagoh.

Utusan 27 Sep 2013

Saturday, September 21, 2013

Wanita maut rempuh belakang lori

Man Yee

JASIN - Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ, Sungai Rambai-Parit Putat, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi, Lee Man Yee, 27, dari Taman Mawar Muar, Johor dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari bandar Melaka.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa dipercayai merempuh belakang lori yang sedang bergerak di susur keluar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai.

“Lori berkenaan yang bergerak secara perlahan dari R&R itu terhenti apabila dikejutkan dengan dentuman di bahagian belakang.

“Akibat rempuhan, kereta jenis Honda dipandu mangsa remuk dan mangsa yang parah tersepit di tempat duduk sebelum disahkan meninggal di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
21 Sep 2013

Asrama warga Nepal terbakar, 200 tinggal sehelai sepinggang

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan sisa kebakaran di asrama Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, petang kelmarin.

MUAR - Lebih 200 pekerja asing warga Nepal yang menghuni asrama Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, dekat sini, kehilangan tempat tinggal apabila asrama berkenaan musnah  dalam kebakaran, petang kelmarin.

Kejadian pukul 5.30 petang itu, dipercayai berpunca daripada litar pintas menyebabkan  asrama dua tingkat daripada batu dan berdindingkan zink hangus dalam tempoh singkat.

Ketika kejadian, hampir semua penghuni tiada di asrama itu kerana sedang bekerja di kilang perabot yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan tersebut.

Seorang pengawal keselamatan, 40-an, yang enggan dikenali berkata, dia terdengar pekikan yang disangkanya pergaduhan antara pekerja.

Menurutnya, pihak pengurusan membuat pemeriksaan dan mendapati keriuhan itu adalah jeritan mereka meminta pertolongan kerana asrama terbakar.

“Sekumpulan pekerja terbabit cuba memadamkan api tetapi gagal kerana keadaan api yang marak terlalu cepat.

“Ada lima hingga enam penghuni di tingkat atas melihat percikan api dari wayar pendawaian sebelum meletup serta disusuli bau hangit dan terbakar,” katanya kepada  Sinar Harian.

Tambahnya, keadaan menjadi kelam kabut apabila usaha memadamkan kebakaran gagal dan pekerja terlibat berlari menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seramai 20 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.57 petang.

Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran agak sukar kerana laluan di asrama itu sempit menyukarkan jentera masuk ke kawasan berkenaan selain terpaksa menarik hos sejauh kira-kira 65 meter dari pili bomba tepi jalan utama.

“Kerja memadam sisa kebakaran diteruskan sehingga jam 9 malam dan nilai kerugian serta punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
22 Sep 2013

Tuesday, September 17, 2013

Pasangan kekasih maut digilis treler

PIHAK polis mengangkat bungkusan berisi cebisan mayat selepas kejadian kemalangan ngeri yang meragut nyawa sepasang kekasih di Kampung Parit Buah Keras 2, Jalan Temenggong Ahmad, Muar malam tadi. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD

ANGGOTA polis mengangkat jenazah mangsa. - Foto myMetro

TRELER yang terbabit dalam kejadian. - Foto myMetro

MUAR 17 Sept. - Hajat sepasang kekasih bertunang pada hujung tahun ini tidak kesampaian selepas kedua-duanya maut digilis sebuah treler sejauh kira-kira 40 meter di Kampung Parit Buah Keras 2, Jalan Temenggong Ahmad sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.05 malam semasa pasangan itu yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 sedang memotong treler itu tetapi malangnya bertembung dengan beberapa motosikal dinaiki sekumpulan remaja di laluan bertentangan yang sedang merempit.

Difahamkan, terdapat lima hingga tujuh buah motosikal kumpulan remaja itu yang melakukan aksi berbahaya termasuk mengangkat tayar hadapan.

Insiden itu menyebabkan kenderaan mangsa terjatuh lalu kedua-duanya, Mohd. Azamudin Ahmad, 18, dari Parit Limbung dan Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Parit Bakar digilis treler tersebut manakala beberapa remaja berkenaan terbabas dan terhumban ke dalam parit bersebelahan kebun kelapa sawit.

Difahamkan, penunggang remaja yang terbabas ke tepi jalan dilarikan rakan mereka kerana cedera ringan dan yang terhumban ke dalam parit dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini kerana patah kaki.

Lebih menyedihkan cebisan daging kedua-dua mangsa turut bertaburan di atas jalan dalam jarak lima meter selain ada beberapa anggota badan yang putus akibat digilis treler 28 tayar berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku semasa Mohd. Azamudin dalam perjalanan menghantar pulang Wan Hs Norfatihah yang bekerja sebagai jurujual di Pasar Raya Econsave.

Saksi, Faiz Ali, 20, yang berada di belakang kumpulan motosikal remaja itu berkata, semasa kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk menjemput kakaknya pulang bekerja lalu berhenti membantu penunggang motosikal yang terjatuh dalam parit.

"Semasa dipapah remaja belasan tahun itu tidak dapat berjalan dan terdapat lima hingga tujuh motosikal dalam kumpulan itu. Walaupun tidak dengar hentaman kuat tetapi bunyi mangsa di lenyek begitu jelas," katanya.

Pemandu treler itu, Mohd. Isa Hamid, 52, berkata, semasa kejadian dia bersama kelendannya, Musa Muhamad, 45, dalam perjalanan menghantar makanan ayam dari Pelabuhan Klang ke Semerah, Batu Pahat.

"Selepas berlaku pelanggaran, saya lihat di cermin sisi motosikal mangsa terseret jauh tetapi tidak nampak penunggang serta pemboncengnya.

"Kami ingatkan tiada apa-apa yang serius dan saya memberhentikan treler pada jarak kira-kira 40 meter kerana mahu melihat apa yang berlaku.

"Apabila turun, alangkah terkejutnya ternampak dua mangsa bergelimpangan dalam keadaan putus dan hancur anggota badan di atas jalan raya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, bapa Mohd. Azamudin, Ahmad Semi, 50, berkata, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Parit Limbung.

"Anak sulung saya sudah setahun berkenalan dengan teman wanitanya dan merancang bertunang hujung tahun ini tetapi apakan daya, tidak kesampaian," katanya yang mempunyai lima orang anak.

Utusan
18 Sep 2013

Sunday, September 15, 2013

Hajat dimakbul, 7 tahun tunggu giliran tunai haji

MOHD HAIRI

MUAR - Penantian seorang warga emas selama tujuh tahun menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji berakhir apabila dia terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Mohd Hairi Md Kasan, 72, gembira sehingga menitiskan air mata ketika mendapat berita bakal menjadi tetamu ALLAH, setelah beberapa kali berusaha membuat rayuan di Pejabat Tabung Haji.

“Wang simpanan sudah cukup sejak tujuh tahun lalu tetapi mungkin kerana  daftar lewat menyebabkan saya terpaksa tunggu (giliran) lama.

“Alhamdulillah, rayuan kali ini diterima dan saya akan berangkat ke Mekah pada 25 September ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar di Jalan Sulaiman.

Veteran tentera itu berkata, dalam kegembiraan dia turut sedih kerana tidak dapat melaksanakan haji  bersama isteri yang meninggal dunia empat tahun lalu.

“Ini (tunai haji) juga adalah impian arwah isteri yang begitu teringin ke Mekah, tetapi umurnya tidak panjang.

“Persiapan menunaikan ibadah itu telah pun siap 80 peratus dan saya akan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Bapa tujuh anak itu berkata, walaupun tidak mempunyai sebarang penyakit, namun dia menitikberatkan penjagaan kesihatan untuk mengelakkan sakit sepanjang 48 hari berada di tanah suci.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya mendengar cerita daripada rakan yang   berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah haji, bagaimanapun  kali ini dia berpeluang merasainya sendiri.

“Saya amat teruja untuk menunaikan haji dan berharap dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna serta selamat pulang semula ke tanah air 12 November ini,” katanya.

Sinar Harian
15 Sep 2013

Friday, September 13, 2013

Meninggal lepas berasmara


Muar: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung selepas mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita yang baru dikenalinya di sebuah hotel bajet di Jalan Meriam di sini, semalam.

Lelaki berusia 66 tahun itu yang juga seorang pekebun dikatakan tidak sedarkan diri di bilik di hotel bajet terbabit pada kira-kira jam 10.20 pagi.

Sumber memberitahu, mangsa sebelum ini kerap mengunjungi hotel bajet itu untuk tujuan sama.

Katanya, sekitar jam 10 pagi, warga emas itu dilihat memasuki sebuah bilik di situ untuk bertemu seorang wanita.

“Bagaimanapun, kira-kira 20 minit kemudian, warga emas itu pengsan sebaik selesai mengadakan hubungan seks dengan wanita terbabit.

“Wanita terbabit yang panik segera memaklumkan majikannya yang kemudiannya menghubungi ambulans untuk bantuan kecemasan,” katanya.

Mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia ketika diperiksa kakitangan perubatan.

Difahamkan, lelaki itu yang berasal dari Kampung Baru Estet Kim Kee, Bukit Pasir, dekat sini, itu masih bujang dan tinggal sendirian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian terbabit.

“Mangsa disahkan mati di hotel berkenaan dan mayatnya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat.

“Siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

myMetro
13 Sep 2013


Mati selepas langgan pelacur

Anggota polis mengangkat mayat lelaki terbabit sebelum dibawa ke HPSF untuk bedah siasat.

MUAR – Seorang warga emas ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung selepas melanggan pelacur di sebuah hotel bajet di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi, lelaki berkenaan yang berumur 66 tahun, dilihat sendirian memasuki perkarangan hotel berkenaan pada jam 10 pagi.

Lelaki terbabit yang masih bujang diberitahu mendaftar masuk sebuah bilik yang terdapat lima pelacur, namun pengsan sebaik sahaja selesai melakukan hubungan seks bersama salah seorang daripada wanita terbabit.

Kesemua wanita terbabit yang panik melihat keadaan lelaki terbabit bertindak memanggil pemilik hotel berkenaan untuk memaklumkan insiden berkenaan sebelum menghubungi ambulans.

Hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini mendapati warga emas berkenaan sudah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasat dan kematiannya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sinar Harian
13 Sep 2013

Thursday, September 12, 2013

Tong gas meletup, 4 melecur disambar api

Sebanyak 15 tong gas meletup dipercayai disambar percikan api ketika kerja-kerja pemindahan gas dilakukan.

Mangsa yang tercedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke HPSF.

MUAR – Empat pekerja warga Myanmar melecur pada bahagian anggota badan akibat disambar api selepas tong gas di tempat mereka bekerja meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di sebuah kilang di Parit Bakar Darat di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.52 malam itu berlaku ketika enam pekerja kilang berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pemindahan gas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada percikan api ke gas berkenaan lalu meletup sebelum api menyambar ke arah empat daripada enam pekerja terbabit sehingga melecur.

Menurutnya, sebanyak 15 daripada kira-kira 300 tong gas stor berkenaan dipercayai meletup mengakibatkan kerosakan teruk di dua bangunan kilang tersebut.

“Enam pekerja terbabit bertindak melarikan diri ke kebun berhampiran tempat kejadian, sebelum dua daripada mereka yang terselamat menghubungi pihak polis dan bomba," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihak bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 18 anggota tiba di lokasi pada jam 9.12 malam, dan berjaya memadam keseluruhan kebakaran dua jam kemudiannya.

“Pihak polis turut membantu mencari enam pekerja berkenaan di dalam kebun itu dan mendapati empat daripada mereka mengalami kecederaan, lalu di hantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Siasatan awal mendapati kerugian dianggarkan RM300,000 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa berusia antara 20an hingga 30an mengalami kecederaan melecur lebih 50 peratus pada bahagian anggota badan.

“Keadaan mereka kritikal dan ditempatkan  dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Kita masih tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar mereka kerana tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa,” katanya.

Sinar Harian
12 Sep 2013

Sunday, September 8, 2013

9 rumah musnah terbakar di Muar

MUAR - Kira-kira 50 penduduk di Lorong Serkam 1, Jalan Dato' Hj Hassan, dekat sini, hilang tempat tinggal selepas sembilan rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Kejadian jam 2 petang itu membabitkan sederet 10 rumah teres dua tingkat di lorong berkenaan, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Saksi kejadian, Goh Chia Yuen, 21, berkata, kejadian itu disedarinya selepas terdengar bunyi letupan seakan mercun sebelum melihat api membakar sebuah rumah terlibat.

“Saya bersama penduduk cuba padam api dengan alat pemadam api dengan sumber air yang ada, tetapi tidak berjaya kerana api membakar dengan cepat.

“Penduduk segera menghubungi pihak bomba untuk bantuan kecemasan apabila api mula merebak ke bahagian rumah lain,” katanya.

Mangsa kebakaran, Tan Mui Kiaw, 61, berkata, dia cuma menyedari kejadian apabila mendengar bunyi bising dari rumah jiran kerana tiga rumah di bahagian depan deretan berkenaan sudah terbakar.

“Api marak terlalu cepat dan kesemua barangan berharga gagal diselamatkan. Nasib baik sebahagian besar rumah lain tidak berpenghuni kerana ramai yang keluar bekerja,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 petang dan menghantar tiga jentera bersama 17 anggota bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

“Kita mengambil masa lebih satu jam untuk mengawal dan seterusnya berjaya padam kebakaran pada jam 4.30 petang.

“Nilai kerugian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan kebakaran merebak dengan pantas berikutan rumah berkenaan banyak menyimpan barangan kitar semula seperti akhbar lama dan perabot,” katanya.

Sinar Harian
8 Sep 2013

Saturday, September 7, 2013

Gadis sunti pecah rumah dicekup

AZMAN (dua dari kiri) dan pegawainya menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada tiga individu pada sidang akhbar di Muar, Johor semalam.

MUAR – Tindakan pantas polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan mengenai cubaan memecah masuk rumah dapat membongkar kegiatan jahat yang dilakukan oleh tiga individu termasuk seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) dan pelajar perempuan berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayub berkata, ketika-tiga suspek berusia antara 16 hingga 24 tahun itu diberkas pada pukul 4 pagi sebaik mendaftar masuk di sebuah hotel di Sungai Abong dekat sini pada 30 Ogos lalu.

Katanya, mangsa berusia 33 tahun itu membuat laporan mengatakan pintu rumahnya cuba dipecah sebelum polis menjalankan siasatan.

Kosmo
7 Sep 2013

Friday, September 6, 2013

Generasi terakhir si penarik beca

Jaafar setia menanti pelanggannya di Pasar Awam Maharani, di sini.

MUAR – Keupayaan seorang warga emas mencari punca rezeki sebagai penarik beca pada usia senja amat mengagumkan, meskipun pernah melalui liku kehidupan mencabar akibat terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya lima tahun lalu.

Kelibat Jaafar Abu, 72, dari Lorong Mat Tab Abu, Jalan Sungai Abong, bukanlah asing terutamanya kepada pengunjung di sekitar Pasar Awam Maharani kerana dia akan bekerja bermula dari jam 7 pagi sehingga 11 pagi.

Mengimbau kembali insiden itu, Jaafar menceritakan dia dilanggar sebuah motosikal ketika mengayuh beca di Jalan Maharani sehingga menyebabkan dia terlantar koma di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama dua minggu akibat kecederaan parah di kepala.

“Saya sekali lagi diuji tiga bulan hilang ingatan sehingga saya tidak kenal seluruh ahli keluarga termasuk isteri sendiri.

“Dalam tempoh itu juga, emosi selalu terganggu dan mula jadi seorang yang sensitif serta pemarah.

Kasihan isteri, dia sering menahan sabar dengan karenah saya ketika itu,” katanya sambil tersenyum.

Jaafar berkata, akibat pelanggaran itu dirinya mengalami kecacatan kekal iaitu masalah kurang pendengaran.

Biarpun  begitu, dia tidak pernah berasa serik  dan kembali mengayuh beca setelah hampir setahun berehat kerana tidak betah meninggalkan pekerjaan itu yang sudah sebati dalam dirinya sejak 53 tahun lalu.

Jaafar berkata, aktiviti itu sudah dikurangkan berikutan permintaan terhadap perkhidmatan beca di daerah ini semakin berkurangan bermula sejak lebih 10 tahun lalu.

“Sehari nak dapat RM10 pun susah.  Tak macam dulu (sekitar 1970 hingga 1980an), beca menjadi pengangkutan utama di sini.

“Dulu  daerah ini ada lebih 300 penarik beca.  Tapi sekarang tinggal empat penarik beca saja. Kami semakin dilupakan,” katanya.

Kata Jaafar lagi, kini tumpuannya lebih kepada beca yang membawa bahan basah peniaga kedai makan sekitar bandar ini. Barangan itu dihantar ke setiap kedai yang menjadi pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lalu.

“Seawal 7 pagi saya sudah berada di pasar ini untuk ambil dan hantar barang. Upah yang diterima bergantung kepada jumlah barangan dan jarak kedai yang dituju.

“Selepas hantar barang, saya akan bawa penumpang pula sementara menunggu jam 11 pagi untuk pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, selain itu dia turut mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan keluarga. Dalam pada itu, Jaafar bangga kerana  dapat membesarkan tujuh anaknya daripada hasil pendapatan sebagai penarik beca.

Sinar Harian
6 Sep 2013