Sunday, September 15, 2013

Hajat dimakbul, 7 tahun tunggu giliran tunai haji

MOHD HAIRI

MUAR - Penantian seorang warga emas selama tujuh tahun menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji berakhir apabila dia terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Mohd Hairi Md Kasan, 72, gembira sehingga menitiskan air mata ketika mendapat berita bakal menjadi tetamu ALLAH, setelah beberapa kali berusaha membuat rayuan di Pejabat Tabung Haji.

“Wang simpanan sudah cukup sejak tujuh tahun lalu tetapi mungkin kerana  daftar lewat menyebabkan saya terpaksa tunggu (giliran) lama.

“Alhamdulillah, rayuan kali ini diterima dan saya akan berangkat ke Mekah pada 25 September ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar di Jalan Sulaiman.

Veteran tentera itu berkata, dalam kegembiraan dia turut sedih kerana tidak dapat melaksanakan haji  bersama isteri yang meninggal dunia empat tahun lalu.

“Ini (tunai haji) juga adalah impian arwah isteri yang begitu teringin ke Mekah, tetapi umurnya tidak panjang.

“Persiapan menunaikan ibadah itu telah pun siap 80 peratus dan saya akan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Bapa tujuh anak itu berkata, walaupun tidak mempunyai sebarang penyakit, namun dia menitikberatkan penjagaan kesihatan untuk mengelakkan sakit sepanjang 48 hari berada di tanah suci.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya mendengar cerita daripada rakan yang   berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah haji, bagaimanapun  kali ini dia berpeluang merasainya sendiri.

“Saya amat teruja untuk menunaikan haji dan berharap dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna serta selamat pulang semula ke tanah air 12 November ini,” katanya.

Sinar Harian
15 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment