Ismail (kiri) mengetuai pertandingan tarik tali pada program Khidmat Komuniti PLKN di Dewan GDW Felcra Bukit Kepong, semalam.
MUAR - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dinasihatkan supaya tidak menjadikan pusat latihan itu sebagai tempat mencari musuh sebaliknya platform menimba ilmu pengetahuan dan meluaskan hubungan persahabatan.
Adun Bukit Serampang, Ismail Mohamad berkata, insiden kematian seorang pelatih lelaki di sebuah kem PLKN di Pahang, baru-baru ini, amat mengejutkan dan mungkin ia dapat dielakkan jika masing-masing bertolak ansur.
“Kita harap kejadian tersebut tidak akan berulang dan semua pelatih harus mempraktikkan sepenuhnya disiplin yang diterapkan di kem berkenaan sepanjang mengikuti latihan.
“Ada juga bekas pelatih menubuhkan Persatuan Alumni untuk memastikan hubungan mereka tidak terputus meskipun telah berpisah selepas menamatkan latihan,” katanya berucap merasmikan program Khidmat Komuniti PLKN di Dewan GDW Felcra Bukit Kepong dekat sini, semalam.
Hadir sama, Komanden Kem PLKN Nasuha Pagoh, Leftenen Kolonel Razali Basri; Pengurus Felcra Bukit Kepong, Mohd Noor Taib dan wakil Pegawai Penerangan Muar, Juraimi Ali.
Ismail berkata, beliau amat berharap tempoh tiga bulan sepanjang mengikuti latihan dapat mematangkan peserta dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, sekaligus menjadikan mereka belia berketerampilan serta mempunyai jati diri tinggi.
“Mereka boleh main peranan untuk bimbing rakan lain yang tidak berpeluang mengikuti latihan tersebut melalui ilmu yang diperoleh dalam PLKN.
“Menyumbangkan bakti kepada masyaralat juga adalah sebahagian tanggungjawab bekas pelatih sebagai menghargai jasa kerajaan memilih mereka menyertai latihan itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai program tersebut, Razali berkata, lebih 200 pelatih PLKN Kem Nasuha Pagoh siri 10 kumpulan tiga, tahun 2013 menyertai program itu adalah salah satu modul wajib yang perlu diikuti setiap pelatih.
Menurutnya, selain didedahkan dengan kehidupan masyarakat Felcra, pelatih turut terlibat dalam beberapa acara sukan rakyat seperti bola api, boling padang, tarik tali, si buta mencari anak dan tarik tali bersama penduduk.
Utusan 30 Sep 2013
0 comments:
Post a Comment