Wednesday, October 2, 2013

RISDA peruntuk RM28 juta

ISMAIL Mohamad (kanan) diiringi Mohammad Sahlan Mahnoon (dua dari kanan) melepaskan konvoi KGMR pada Majlis Pelepasan Program Kembara Kelab Generasi Miuda RISDA di Pagoh dekat Muar, Johor, semalam.

PAGOH 1 Okt. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan bantuan sebanyak RM28 juta kepada kira-kira 83,000 pekebun kecil di negeri ini untuk menjayakan program penanaman semula getah bagi tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah RISDA negeri, Mohammad Sahlan Mahnoon berkata, setiap tahun, kira-kira RM7 juta diberi yang bermula tahun ini dan setiap pekebun kecil akan memperoleh RM9,230 secara berperingkat-peringkat untuk kawasan seluas 1 hektar.

"Bantuan diberikan mengikut perkembangan pokok getah bermula dari tempoh ditanam hingga matang dalam tempoh kira-kira empat tahun setengah. Kita akan beri bantuan benih pokok, baja, racun, pisau toreh, peralatan dan wang tunai mengikut fasa.

"Daripada jumlah RM9,230 itu, bantuan paling banyak diberi ialah pada kali pertama iaitu RM5,300 untuk bayaran membersihkan kawasan kebun dan benih pokok, selebihnya diberi selepas itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Program Kembara Kelab Generasi Muda RISDA peringkat negeri 2013 di Taman Pagoh Jaya di sini hari ini.

Pelepasan program tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad Sahlan melahirkan kebimbangan terhadap anak-anak pekebun kecil tidak berminat mengusahakan kebun-kebun getah milik keluarga mereka.

Menurutnya, tanggapan menjadi pekebun kecil tidak menguntungkan perlu dibuang dan generasi muda tersebut harus menyahut seruan kerajaan bahawa pertanian adalah satu perniagaan serta menjadikannya sebagai punca pendapatan utama.

Katanya, mereka boleh menoreh getah secara sepenuh masa atau menjadikan pekerjaan tersebut sebagai kerja sampingan kerana setiap hari hanya memerlukan beberapa jam sahaja untuk menoreh.

Sementara itu, Ismail berkata, anak-anak pekebun kecil perlu mengikuti kursus yang disediakan RISDA atau pihak lain untuk meningkatkan ilmu dan mengguna teknologi moden.

Melalui cara itu, perancangan yang tersusun dapat dilakukan dan mereka juga tidak secara tiba-tiba dipaksa masuk ke kebun atau ladang getah, sebaliknya perlu diberi pendedahan untuk menyemai minat mereka dalam bidang berkenaan.

"Kerja menoreh getah yang menjadi punca pendapatan ini boleh dilakukan dalam masa tiga atau empat jam sehari dan selepas itu, buat kerja lain. Jangan anggap kerja ini tidak popular kerana sebenarnya menguntungkan," katanya.

Menurutnya, RISDA komited dalam usahanya membantu kerajaan menarik golongan muda terlibat dalam bidang pertanian kerana kesinambungan daripada mereka amat diperlukan dalam sektor tersebut pada masa depan.

Utusan 2 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment