Thursday, October 10, 2013

Beca warisan semakin terpinggir di Muar

JAAFAR Abu mengayuh beca ke pasar basah untuk membawa barangan dari pasar berkenaan setiap hari kerana semakin kurang penumpang yang mahu menggunakan khidmatnya.

MUAR 9 Okt. - Bunyi nyaring seperti sedang membuka pintu berkarat perlahan-lahan, memecah keheningan pagi hampir setiap hari di Lorong Mat Tab Abu, Jalan Sungai Abong di sini.

Biarpun 'mengganggu' telinga, namun bagi penduduk dan mereka yang lalu-lalang di lorong ini, bunyi itu umpama 'hiburan' kepada mereka.

Bunyi itu sebenarnya terhasil daripada sepasang kaki tua yang sedang mengayuh pedal beca.

Pengayuhnya adalah seorang lelaki Melayu lebih separuh abad, Jaafar Abu, 72, dan sudah biasa kelihatan dengan beca yang kini amat jarang digunakan sebagai pengangkutan awam di sini.

Beca warga emas berkenaan yang meluncur laju keluar dari lorong itu dalam keadaannya bermandi keringat, menganggap kenderaan beroda tiga itu adalah sebahagian daripada sejarah Muar.

Satu ketika dahulu beca amat popular di daerah ini tetapi sejak 1990, pengangkutan awam itu sudah mula berkurangan disebabkan peredaran zaman apabila pelanggan memilih bas dan teksi kerana lebih cepat, selesa dan selamat.

Walaupun beca kini amat jarang kelihatan, namun, masih ada penarik beca yang masih memberikan perkhidmatan tersebut.

Rata-rata golongan ini sudah berusia dan penumpang mereka pula adalah pelanggan tetap yang biasa menggunakan perkhidmatan itu.

Sekitar 1960-an, beca antara kenderaan awam utama selain bas dan teksi yang baru memulakan perkhidmatannya.

'Stesen' terbesar untuk pelanggan mendapatkan khidmat beca ketika itu adalah di hadapan Tangga Agong, Bangunan Sultan Abu Bakar, Jalan Petri.

Dahulu dikatakan terdapat kira-kira 500 beca di sini, malah menjadi simbol pengangkutan awam di Muar dengan sebuah tempat rekreasi khas dengan replika beca didirikan di Dataran Kesang kira-kira 10 kilometer dari bandar ini.

Jaafar, yang telah 53 tahun menjadi pengayuh beca, kelibatnya bukan sahaja boleh dilihat di lorong tersebut tetapi juga mencari rezeki di sekitar Pasar Awam Maharani setiap Isnin dan Jumaat, bermula pukul 7 hingga 11 pagi.

Keupayaan warga emas itu menjadi penarik beca pada usia senja amat mengagumkan, meskipun pernah terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya kira-kira lima tahun lalu.

Jaafar berkata, pada masa ini situasi di bandar ini sangat berbeza kerana permintaan terhadap perkhidmatan beca semakin berkurangan sejak hampir 22 tahun lalu akibat wujudnya banyak bas henti-henti, teksi, kereta sewa dan teksi sapu.

"Sehari nak dapat RM10 pun susah. Tak macam dulu sekitar 1970 hingga 1980-an, beca menjadi pengangkutan utama. Dulu ada lebih 300 penarik beca di Muar. Tapi sekarang tinggal beberapa penarik beca saja. Kami semakin dilupakan," katanya ketika ditemui di pasar itu baru-baru ini.

Menurut Jaafar, akibat kurang penumpang, tumpuannya lebih kepada membawa bahan basah peniaga kedai makan sekitar bandar ini dan dihantar ke setiap kedai yang menjadi pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lalu.

"Seawal pukul 7 pagi saya sudah berada di pasar ini untuk ambil dan hantar barang. Upah yang diterima bergantung kepada jumlah barangan dan jarak kedai yang dituju. Selepas hantar barang, saya bawa penumpang pula jika ada. Selepas pukul 11 pagi saya akan pulang ke rumah," katanya.

Walaupun kini pendapatan tidak seberapa tetapi dia amat sayangkan pekerjaan itu dan merasa bangga kerana dapat membesarkan tujuh anak hasil daripada usaha sebagai pengayuh beca.

Mengenang kembali kemalangan yang hampir meragut nyawanya, warga emas itu berkata, tragedi tersebut berlaku di Jalan Maharani apabila dia dilanggar oleh sebuah motosikal menyebabkannya koma selama dua minggu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jaafar yang tinggal di Sungai Abong berkata, berikutan kejadian tersebut, dia mengalami masalah kurang pendengaran, namun itu tidak pernah menjadi halangan kepadanya membawa beca setelah hampir setahun berehat.

"Saya tidak betah meninggalkan pekerjaan ini yang sudah sebati dalam diri sejak dilakukan 53 tahun lalu," katanya dan memberitahu, dia turut mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Bagi Jeep Shariff, 62, yang telah kira-kira 50 tahun mengayuh beca, penumpang utamanya kini adalah terdiri daripada murid-murid sekolah.

Dia yang tinggal bersama isteri di rumah rakyat di Taman Tun Dr. Ismail dan lebih dikenali sebagai Pak Ali Beca menjelaskan, bayaran diterima adalah secara bulanan.

"Pendapatan hanya RM400 sebulan. Rutin harian ialah pukul 6.30 pagi menghantar kanak-kanak ke sekolah tadika dan pukul 11.30 pagi menghantar mereka pulang.

"Sementara pukul 1.10 petang pula hantar murid-murid sekolah rendah pulang dan akhir sekali pukul 6.30 petang menghantar murid-murid sekolah agama pulang. Bayaran tambang adalah bulanan," katanya.

Menurutnya yang sudah dua kali bertukar beca dan kadang-kadang mengambil upah memotong pokok, dia akan terus membawa beca selagi kudratnya masih ada.

Seorang lagi penarik beca yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat, 80, dari Bakri berkata, pengangkutan beca sudah tidak lagi menjadi pilihan dan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu adalah daripada kalangan pelanggan setia.

"Pelanggan saya adalah jiran-jiran dan teman-teman lama. Mereka menggunakan perkhidmatan beca untuk jarak yang dekat sahaja. Biasanya mereka tahu di mana mahu mencari saya kerana penarik beca di bandar Muar tidak lagi punya tempat khas untuk berkumpul.

"Ditambah lagi saya tidak mempunyai telefon bimbit, jadi hanya yang pernah menggunakan beca tahu di mana mahu mencari penarik beca. Biasanya tempat kami mencari penumpang berbeza-beza dan boleh dikatakan selepas 11 pagi kami sudah pulang ke rumah," katanya.

Katanya, kini di Muar, jumlah penarik beca bukan sahaja tinggal kira-kira 10 orang, malah nasib mereka juga tidak terbela.

Pak Mat percaya bahawa beca akan pupus tidak lama lagi dan yang menyedihkan, tiada siapa akan peduli selain menjadi satu lagi bahan sejarah.

"Sekarang pun beca dah jadi satu sejarah di Muar," ujarnya penuh makna.

Utusan
10 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment