MUAR - Gaya mewah dua lelaki menaiki kereta BMW dalam keadaan mencurigakan akhirnya membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah dilakukan mereka.
Kesemua mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di laluan pintasan jambatan kedua Muar, 12 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, penahanan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan sekumpulan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ketika Operasi Tapis secara berkala bermula 12 Oktober hingga 18 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui dadah jenis heroin dan syabu yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.
“Heroin seberat 73.6 gram (g) itu dianggar bernilai RM2,200, manakala syabu seberat 50.16g pula berharga RM12,540,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, semalam.
Sahadan berkata, wang tunai berjumlah RM8,019 turut dijumpai dalam beg kecil pada pemandu berusia 41 tahun itu yang bekerja sebagai penjual buah-buahan.
“Kita percaya wang tersebut hasil jualan bahan terlarang itu dan tidak menolak suspek dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggannya.
“Rakan suspek berusia 34 tahun pula bekerja sebagai juruwayar. Kedua-duanya berasal dari Ledang didapati positif dadah jenis syabu menerusi ujian air kencing ke atas mereka,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 41 tahun itu mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama kerana memasukan dadah dalam badan.
Jelas beliau, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut bagi mengetahui sumber dadah diperoleh juga menjejaki kemungkinan ada rakan mereka yang masih bebas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Sinar Harian
20 Okt 2013
0 comments:
Post a Comment