Saturday, September 21, 2013

Wanita maut rempuh belakang lori

Man Yee

JASIN - Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ, Sungai Rambai-Parit Putat, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi, Lee Man Yee, 27, dari Taman Mawar Muar, Johor dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari bandar Melaka.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa dipercayai merempuh belakang lori yang sedang bergerak di susur keluar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai.

“Lori berkenaan yang bergerak secara perlahan dari R&R itu terhenti apabila dikejutkan dengan dentuman di bahagian belakang.

“Akibat rempuhan, kereta jenis Honda dipandu mangsa remuk dan mangsa yang parah tersepit di tempat duduk sebelum disahkan meninggal di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
21 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment