Sunday, September 8, 2013

9 rumah musnah terbakar di Muar

MUAR - Kira-kira 50 penduduk di Lorong Serkam 1, Jalan Dato' Hj Hassan, dekat sini, hilang tempat tinggal selepas sembilan rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Kejadian jam 2 petang itu membabitkan sederet 10 rumah teres dua tingkat di lorong berkenaan, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Saksi kejadian, Goh Chia Yuen, 21, berkata, kejadian itu disedarinya selepas terdengar bunyi letupan seakan mercun sebelum melihat api membakar sebuah rumah terlibat.

“Saya bersama penduduk cuba padam api dengan alat pemadam api dengan sumber air yang ada, tetapi tidak berjaya kerana api membakar dengan cepat.

“Penduduk segera menghubungi pihak bomba untuk bantuan kecemasan apabila api mula merebak ke bahagian rumah lain,” katanya.

Mangsa kebakaran, Tan Mui Kiaw, 61, berkata, dia cuma menyedari kejadian apabila mendengar bunyi bising dari rumah jiran kerana tiga rumah di bahagian depan deretan berkenaan sudah terbakar.

“Api marak terlalu cepat dan kesemua barangan berharga gagal diselamatkan. Nasib baik sebahagian besar rumah lain tidak berpenghuni kerana ramai yang keluar bekerja,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 petang dan menghantar tiga jentera bersama 17 anggota bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

“Kita mengambil masa lebih satu jam untuk mengawal dan seterusnya berjaya padam kebakaran pada jam 4.30 petang.

“Nilai kerugian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan kebakaran merebak dengan pantas berikutan rumah berkenaan banyak menyimpan barangan kitar semula seperti akhbar lama dan perabot,” katanya.

Sinar Harian
8 Sep 2013


0 comments:

Post a Comment