Friday, September 27, 2013

PBTM bina 350 rumah


MUAR 26 Sept. - Sebuah perkampungan bekas tentera akan diwujudkan di Batu 11, Pagoh dekat sini bagi menyediakan kediaman kepada 350 golongan berkenaan yang masih belum mempunyai rumah sendiri.

Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar, Shamsudin Rais (gambar) berkata, cadangan itu dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bagi membantu pesara yang tidak berpencen di daerah ini.

"Rumah bekas tentera itu akan dibangunkan di kawasan tanah seluas 54 hektar oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan akan dijual dengan harga berpatutan bagi membantu ahli PBTM memiliki kediaman.

"Usaha ini dibuat kerana seramai 350 pesara itu masih tidak mempunyai kediaman sendiri dan ketika ini mereka menumpang di rumah keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Bagaimanapun, ahli PBTM tersebut yang terpilih perlu membuat aku janji untuk terus menyokong kerajaan sebelum layak mendapat rumah tersebut kerana tidak mahu golongan yang tidak mengenang budi mendapat kelebihan berkenaan kerana kerajaan sentiasa menjaga kebajikan serta membantu mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pejabat PBTM di Jalan Sulaiman kini sudah berubah wajah selepas dinaik taraf dengan kos RM60,000 yang disumbangkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman Jun lalu.

Shamsudin berkata, kerja-kerja menaik taraf dilakukan selepas persatuan itu berjaya mendapatkan status hak milik tanah tersebut daripada Pejabat Tanah Daerah, September lalu.

Kerja menaik taraf itu melibatkan penggantian dinding papan kepada batu, lantai jubin, membina tembok, mengganti papan tanda persatuan, membaiki sistem perparitan, mengecat bangunan dan menggantikan bumbung yang bocor.

"Bangunan asal pejabat ini ialah kuarters Jabatan Kerja Raya yang sudah lama terbiar. Ruang bangunan baharu pejabat ini boleh menampung 300 ahli dan jauh lebih selesa," katanya.

Shamsudin memberitahu, pihaknya juga merancang untuk membina sebuah stor bagi menempatkan peralatan.

Setakat ini persatuan itu mempunyai seramai 3,383 ahli termasuk dari Bakri, Ledang dan Pagoh.

Utusan 27 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment