Thursday, September 12, 2013

Tong gas meletup, 4 melecur disambar api

Sebanyak 15 tong gas meletup dipercayai disambar percikan api ketika kerja-kerja pemindahan gas dilakukan.

Mangsa yang tercedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke HPSF.

MUAR – Empat pekerja warga Myanmar melecur pada bahagian anggota badan akibat disambar api selepas tong gas di tempat mereka bekerja meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di sebuah kilang di Parit Bakar Darat di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.52 malam itu berlaku ketika enam pekerja kilang berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pemindahan gas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada percikan api ke gas berkenaan lalu meletup sebelum api menyambar ke arah empat daripada enam pekerja terbabit sehingga melecur.

Menurutnya, sebanyak 15 daripada kira-kira 300 tong gas stor berkenaan dipercayai meletup mengakibatkan kerosakan teruk di dua bangunan kilang tersebut.

“Enam pekerja terbabit bertindak melarikan diri ke kebun berhampiran tempat kejadian, sebelum dua daripada mereka yang terselamat menghubungi pihak polis dan bomba," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihak bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 18 anggota tiba di lokasi pada jam 9.12 malam, dan berjaya memadam keseluruhan kebakaran dua jam kemudiannya.

“Pihak polis turut membantu mencari enam pekerja berkenaan di dalam kebun itu dan mendapati empat daripada mereka mengalami kecederaan, lalu di hantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Siasatan awal mendapati kerugian dianggarkan RM300,000 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa berusia antara 20an hingga 30an mengalami kecederaan melecur lebih 50 peratus pada bahagian anggota badan.

“Keadaan mereka kritikal dan ditempatkan  dalam unit rawatan rapi (ICU).

“Kita masih tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar mereka kerana tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa,” katanya.

Sinar Harian
12 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment