Balqis bersama ibunya, Zuleha di rumahnya di Lorong Hj Jabbar, Parit Tiram, di sini.
MUAR – Ibu kepada kanak-kanak mengidap penyakit jantung berlubang dan saluran injap jantung sempit memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung perbelanjaan rawatan susulan di Institut Jantung Negera (IJN), April ini.
Zuleha Yahya, 45, dari Parit Tiram berkata, anaknya Nur Farah Athirah Balqis Razak ,6, masih lagi memerlukan rawatan susulan di IJN dan dijangka menjalani pembedahan ketiga sekiranya keadaan jantung masih belum pulih.
“Ia bergantung kepada keputusan pemeriksaan di pusat berkenaan April depan. Namun untuk ke sana melakukan rawatan susulan tetap melibatkan perbelanjaan besar kerana perlu menyewa teksi setiap kali menghantar Balqis membuat pemeriksaan di IJN.
“Buat masa ini, saya hanya bergantung dengan wang bantuan diterima Balqis dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), masing-masing sebanyak RM200,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Hj Jabbar di sini, semalam.
Zuleha berkata, tahap kesihatan semakin baik selepas menjalani pembedahan pertama walaupun penderitaan kanak-kanak malang yang juga dikategorikan orang kurang upaya (OKU) sebelum ini pernah disiarkan akhbar ini pada Jun 2012.
“Saya amat bersyukur pembedahan pertama berjaya walaupun Balqis mengalami komplikasi jangkitan kuman pada jantung sehingga memaksa pembedahan kedua dilakukan segera iaitu kira-kira beberapa jam selepas selesai pembedahan pertama.
“Balqis koma selama empat hari selepas pembedahan dan memanggil saya emak sebaik saja sedar pada hari kelima. Saya sangat lega apabila Balqis panggil saya kerana dalam tempoh sebelum dibedah, keadaanya sangat kritikal dengan keseluruhan tubuh badannya sudah menjadi kebiruan,” katanya.
Menurutnya, perkembangan kesihatan positif Balqis kini turut mengembirakan dirinya dan suami, Razak Manap, 56, kerana anaknya semakin aktif dan boleh bermain seperti kanak-kanak seusia dengannya.
“Cuma kadang kala jika Balqis terlalu penat kerana aktif terdapat lingkaran hitam di bawah matanya tetapi keadaan itu tidak seteruk seperti sebelum pembedahan.
“Percakapannya juga semakin baik walaupun pelat dan agak sensitif jika sesuatu kemahuannya dihalang,” katanya.
Zuleha berkata, dia turut menghantar Balqis ke pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Abong bagi memastikan anaknya itu dapat mengikuti latihan seperti kanak-kanak istimewa yang lain mulai tahun ini.
“Saya yakin dia akan semakin sihat jika diberi rawatan susulan. Namun saya tidak mempunyai wang yang cukup bagi menampung kos perbelanjaan dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi meringan beban untuk rawatan Balqis, April ini.
“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik saya, 04106-29- 00047268-5 atau hubungi ditalian 012-7786432,” katanya.
Sinar Harian
25 Mac 2015