Friday, May 13, 2016

Rahsia Kopi 434 masih bertahan

Kafe Kopi Gajah yang terletak di Jalan Bentayan.

Kopi 434 mengeluarkan pelbagai jenis rasa kopi bagi menepati selera masyarakat pada masa kini.

Cher Yong bersama salah seorang pekerjanya, Norfatin Mohamad, 23, menunjukkan dua jenis kopi keluaran Kopi 434 yang laris di pasaran.

Kopi 434 antara kopi yang terlaris di pasaran.

MUAR - Lambakan pelbagai produk baharu pada masa kini pastinya menggerunkan sesetengah pengusahanya, namun tidak bagi perniagaan Sai Kee Kopi Serbok Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Kopi 434.

Pengurus pentadbiran yang juga pewaris perniagaan itu, Kiar Cher Yong, 31, mengakui, kopi yang dihasilkan datuknya, Kiar An Sai sejak tahun 1953 masih diminati ramai walaupun terdapat banyak jenama kopi lain berada di pasaran pada masa kini.

“Untuk menghasilkan serbuk kopi sememangnya mudah, namun untuk mencipta rasa yang enak memerlukan ketelitian dalam penghasilannya.

“Sejak dulu lagi, kami akan pastikan hanya biji kopi yang baik dan berkualiti dihasilkan untuk diproses menjadi serbuk,” katanya.

Tiada ramuan rahsia

Menurutnya, tiada ramuan rahsia digunakan untuk menghasilkan serbuk Kopi 434, selain bahan tambahan yang digunakan datuknya sejak dari dahulu.

“Ramuan yang kami gunakan adalah sama seperti cara penghasilan serbuk kopi yang lain, iaitu biji kopi, marjerin dan gula hangus.

“Namun kebiasaannya, pencipta kopi pada masa kini lebih gemar memilih cara mudah dan jimat iaitu dengan mencampurkan pelbagai jenis kopi import serta bahan tambahan yang tidak betul. Ia menyebabkan keenakan rasa kopi hilang,” katanya.

Jelasnya, Kopi 434 dihasilkan menggunakan sukatan tepat iaitu 70 peratus biji kopi dan 15 peratus campuran marjerin serta gula hangus.

“Walaupun ia adalah biji kopi import, namun kami elakkan penggunaan pelbagai jenis kopi kerana ia boleh menjejaskan rasa asal minuman tersebut.

“Selain itu, saya kekalkan ramuan yang diajar oleh datuk, dengan memegang prinsip beliau supaya menghasilkan serbuk kopi yang baik tanpa memikirkan kepayahan dalam menghasilkannya.

“Walaupun proses yang kami lakukan dengan kos bahan tambahan agak tinggi, namun kami ketepikan semua itu bagi memelihara rasa kopi turun-temurun ini,” katanya.

Pasaran belum meluas

Cher Yong mengakui, walaupun Kopi 434 adalah jenama yang dikenali dan diminati ramai, namun pemasaran produk itu masih belum meluas ke serata Malaysia.

“Pesanan datuk supaya tidak mementingkan keuntungan dan mengekalkan ramuan kopi membuatkan kami tak bercadang untuk meluaskan perniagaan ke negeri lain.

“Jika lebih banyak cawangan, maka lebih banyak pemantauan yang saya perlu lakukan supaya jenama kopi sentiasa terpelihara. Dengan kekangan masa, saya bimbang rasa asal kopi boleh terjejas kerana kurang pemerhatian,” katanya.

Menurut Cher Yong, walaupun terdapat banyak persaingan jenama kopi pada masa kini, dia percaya Kopi 434 mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.

“Walaupun tidak menembusi pasaran luar, jenama kopi kami tetap dikenali dan digemari ramai.

“Malah, pelanggan dari negara luar seperti China dan Jepun juga menyedari kewujudan Kopi 434. Justeru, kami tidak menganggap persaingan sebagai perkara yang membimbangkan kerana setiap penggemar kopi mempunyai selera masing-masing,” katanya.

Walaupun begitu, Cher Yong menyedari, seiring peredaran zaman, penerimaan generasi kini terhadap kopi tersebut boleh berubah.

“Kami sedar, rasa kopi yang sama boleh membuatkan orang jemu. Maka kami ambil inisiatif menghasilkan satu lagi jenis yang 100 peratus dihasilkan Sai Kee Kopi iaitu Kopi Gajah pada 2000.

“Namun hingga kini, saya lihat Kopi 434 tetap mendapat pasaran tinggi terutama dalam kalangan bangsa Melayu. Saya bersyukur hingga kini, kopi turun-temurun yang dihasilkan datuk saya masih diminati ramai,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment