MUAR – Seorang peniaga berdepan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang anggota polis pada bulan lalu.
Tertuduh, R. M. Azrull Hisyam Hussin, 32, yang berpakaian lokap berwarna jingga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Bagaimanapun, tiada pengakuan daripada tertuduh direkodkan oleh mahkamah.
Mengikut pertuduhan, R. M. Azrull Hisyam didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin yang mayatnya ditemui di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini antara pukul 7.45 hingga 8.30 pagi 30 April lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Kosmo
13 Mei 2016
Didakwa bunuh anggota polis
Muar: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di Sungai Abong, hujung bulan lalu.
Tertuduh, RM Azrull Hisyam Hussin, 32, lengkap berpakaian lokap polis bewarna oren dituduh melakukan perbuatan itu di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, 30 April lalu.
RM Azrull Hisyam kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin di lokasi itu antara 7.45 pagi hingga 8.30 pagi pada 30 April lalu dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham yang memohon tarikh sebutan semula kes.
Suzana kemudiannya menetapkan 14 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
12 Mei 2016
Arwah kerap hubungi tanya khabar
Kota Kinabalu: Suasana hiba menyelubungi pekarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam, sejurus ketibaan jenazah Koperal Roydin Jamaludin, 32, yang ditemui maut dipercayai dibunuh di Sungai Abong, Muar, Sabtu lalu.
Jenazah Allahyarham diiringi isterinya, Viani Lukin, 30-an, dua anak lelaki mereka yang berusia 5 dan 8 tahun, dua adik lelaki Roydin, Khairudin, 21, dan Alidin Jamaludin, 30, serta Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum tiba di sini pada jam 11.45 pagi semalam.
Bapa Allahyarham, Jamaludin Abd Hamid, 58, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan Roydin pada 24 April lalu sempena hari lahirnya.
“Ketika itu, dia mengucapkan selamat hari lahir kepada saya dan mahu saya menjaga kesihatan seperti biasa.
“Selain sering menghubungi ibunya setiap dua kali sehari, menjadi keutamaan Roydin untuk menghubungi kami sekeluarga setiap kali menjelang sambutan hari lahir,” katanya.
Turut kelihatan, ibu Roydin, Rabaya Asan, 55, dan beberapa ahli keluarga lain.
Menurut Jamaludin, mereka sekeluarga bertolak dari Kampung Telaga, Pitas seawal jam 7.30 pagi, semalam, dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut bertindak menguruskan pengebumian Roydin.
“Insya-Allah, Allahyarham akan dikebumikan sebaik tiba di kampung halaman kami sebelum jam 6 petang ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, ketibaan jenazah disambut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Senior Asisten Komisioner Omar Mammah bersama beberapa pegawai dan anggota polis.
myMetro
2 Mei 2016
Jenazah Koperal Roydin selamat tiba
Kota Kinabalu: Jenazah Koperal Roydin Jamaludin, 32, anggota polis yang maut dipercayai dibunuh di Sungai Abong, Muar, selamat tiba di MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pagi tadi.
Jenazah selamat tiba kira-kira jam 11.40 pagi tadi diiringi isterinya Viani Lukin, 30-an, dua anak mereka yang berusia 5 dan 8 tahun, serta dua adik lelaki allahyarham.
Turut mengiringi jenazah Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob.
Bapa allahyarham Jamaludin Abd Hamid, 58, berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halaman mereka di Kampung Telaga, Pitas dan dijangka dikebumikan sebelum jam 6 petang ini.
Turut kelihatan ibu Roydin, Rabaya Asan, 55, dan beberapa ahli keluarga lain.
Ketibaan jenazah disambut Ketua Jabatan Siasatan Negeri Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman.
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
myMetro
1 Mei 2016
Enam lelaki, dua wanita dicekup
Muar: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis di Sungai Abong, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata lapan individu itu termasuk enam lelaki dan dua wanita ditahan di sekitar Batu Pahat.
"Mereka berusia antara 20 hingga 32 tahun dan ditahan pada 12.45 tengah hari.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Polis masih menyiasat punca kejadian dan menunggu laporan bedah siasat," katanya.
Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
30 April 2016
Ditemui mati dalam parit
Muar: Polis menemui mayat seorang anggotanya di dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, kira-kira 9 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Roydin Jamaludin ditemui berpakaian lengkap dan memiliki kesan luka di tubuh.
Ketua Polis Daerah Muar,Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pihaknya menjalankan siasatan.
"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat dan kami masih mencari punya kematian.
"Kami berharap saksi kejadian tampil memberi maklumat dan meminta kerjasama orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sah," katanya ketika dihubungi.
Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
30 April 2016
Baru dua minggu lepas jumpa arwah
MUAR - Alidin Jamaludin, adik kepada anggota polis yang ditemui mati dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, di sini hari ini, terkilan kerana hanya dapat bertemu abangnya seketika dua minggu lepas.
Alidin, 30, berkata dia hanya dapat menemui Allahyarham abangnya, Roydin, 32, untuk masa yang singkat ketika Allahyarham mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di bandar ini kerana sakit kaki.
"Tidak banyak perkara yang sempat kami bualkan kerana saya tahu dia sering sibuk dengan urusan kerja," katanya.
Beliau ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini hari ini.
Alidin yang bekerja di sebuah kilang papan di sini berkata, dia mengetahui berita kematian abangnya pada pukul 10.20 pagi tadi daripada kakaknya lalu terus bergegas ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti jenazah.
"Ketika sampai, saya lihat mayat abang saya telah dibawa naik dari parit dan terdapat kesan luka pada badannya," katanya.
Katanya, Allahyarham Roydin meninggalkan seorang isteri, Viani Lukin dan dua anak lelaki masing-masing berumur lapan dan enam tahun.
Jenazah abangnya mungkin akan diterbangkan ke Sabah esok dan akan dikebumikan di Telaga Pitas, Kudat.
"Ibu bapa saya akan menunggu di kampung dan saya dimaklumkan urusan penghantaran jenazah akan diuruskan polis," katanya.
Terdahulu, mayat Roydin yang berpakaian biasa ditemui di dalam parit berkenaan kira-kira 9 pagi tadi dengan terdapat kesan luka pada tubuhnya. - Bernama
Sinar Harian
30 April 2016
Anggota polis ditemui mati dalam parit
JOHOR BAHRU – Seorang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditemui maut dalam sebuah parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, Muar dekat sini kira-kira jam 9 pagi tadi.
Mangsa dikatakan berusia 32 tahun, dan berasal daripada Sabah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisiner Azman Ayob berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam dengan kesan kecederaan di kepala pada bahagian atas kening kiri.
“Kami menerima maklumat dari orang awam kira-kira jam 9 pagi tadi dan menghala ke lokasi tetapi pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Hasil semakan mendapati, mangsa merupakan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Muar dan sedang dalam tugasan ‘on call’ 24 jam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
SHAFIQ TINO
Sinar Harian
30 April 2016
0 comments:
Post a Comment