MUAR 20 Nov. - Seorang pemandu dan lapan penumpang terselamat daripada maut apabila sempat keluar dari sebuah bas ekspres yang secara tiba-tiba terbakar di Parit Penyengat, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru tersebut sedang berhenti di tepi jalan selepas pemandunya terdengar bunyi yang mencurigakan dari bahagian enjin bas.
Difahamkan, pemandu bas berkenaan terdengar satu bunyi kuat semasa sedang memandu menyebabkan dia berhenti dan turun untuk memeriksa kenderaannya itu.
Bagaimanapun, tiba-tiba, berlaku kebakaran di bahagian depan bas tersebut yang kemudian merebak ke seluruh bahagian kenderaan.
Menurut jurucakap bomba dan penyelamat, pemandu bas dan kesemua penumpang sempat keluar dari kenderaan itu sebelum api marak dan membakar hampir keseluruhan bas.
"Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 6.54 pagi mengenai kebakaran itu. Dua buah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Operasi yang diketuai Pegawai Kanan Bomba, Nordin Nazir berjaya memadam sepenuhnya kebakaran bas tersebut pada pukul 8.10 minit pagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, pihak bomba dan penyelamat masih menyiasat punca sebenar kebakaran bas itu.
Utusan
21 Nov 2010
0 comments:
Post a Comment