Thursday, December 30, 2010

2 remaja konvoi basikal maut dirempuh van

BEGINILAH keadaan basikal yang dinaiki Mohd. Sufi dan lapan rakannya selepas dirempuh sebuah van hingga menyebabkan remaja itu maut dalam kejadian di Muar semalam.

MUAR - Hasrat sekumpulan sembilan remaja untuk pergi ke Wet World Batu Pahat yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sini dengan mengayuh basikal musnah apabila dua daripada mereka maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah van semalam.

Kejadian pukul 4.30 pagi di Jalan Muar-Batu Pahat berhampiran Kompleks Penghulu Sungai Balang, di sini itu mengakibatkan Mohd. Sufi Johari, 15, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd. Amirul Nizam Awang Nudin, 17, meninggal dunia semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Seorang lagi rakan mereka yang masih belum dikenal pasti identitinya kini sedang bertarung nyawa di ICU hospital tersebut. Enam lagi rakan mereka hanya cedera ringan.

Difahamkan, kesemua mangsa menaiki basikal masing-masing dari Kampung Simpang Baba, Jalan Salleh di sini untuk mandi-manda di Wet World Batu Pahat.

Kosmo
28 Dis 2010


Dua maut dirempuh van

MUAR: Keseronokan sembilan sahabat berkonvoi dengan berbasikal ke taman tema air di Batu Pahat berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh van dari arah belakang, di Jalan Sungai Gersik, Parit Jawa di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Nasri Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, seorang daripada mangsa mati di tempat kejadian manakala seorang lagi dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Mohd Supi Johari, 15, dikatakan tercampak beberapa meter selepas dirempuh dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

“Seorang lagi mangsa, Mohd Hairulnizam Awang Nordin, 17, meninggal dunia kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi mangsa kini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) manakala enam lagi hanya cedera ringan.

Beliau berkata, konvoi berkenaan disertai sembilan remaja berusia 15 hingga 17 tahun dan mereka memulakan perjalanan dari Kampung Simpang Baba dan Temiang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah van tiba-tiba merempuh kumpulan berkenaan. Setakat ini, pemandu van terbabit sudah ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

myMetro
28 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment