Wednesday, January 26, 2011

Tertembak diri sendiri ketika bersih senapang patah

MUAR: Seorang warga emas cedera di bahu kanan akibat tertembak diri sendiri ketika membersihkan senapang patah yang hendak digunakan bagi memburu tupai, semalam.

Dalam kejadian di belakang rumahnya di kampung Muda Jaya, Pagoh kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikatakan ingin membunuh tupai yang sering merosakkan tanaman di dusun berdekatan rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, senapang patah digunakan peneroka Felda berusia 62 tahun itu dipercayai buatan sendiri.

“Menurut keterangan anak mangsa yang ketika itu berada di dalam rumah, dia terdengar bunyi letupan dari belakang rumah lalu meluru ke tempat kejadian.

“Anak mangsa mendapati bapanya terbaring cedera dengan senapang di sisi mangsa lalu menghubungi ambulans,” katanya.

Menurut Nasir, akibat tembakan itu mangsa cedera di bahu kanannya dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dirawat di HPSF untuk mengeluarkan peluru jenis penabur yang masih berada di dalam tubuhnya,” katanya.

Menurutnya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya kerana memiliki senjata api tanpa lesen.

myMetro
26 Jan 2011

0 comments:

Post a Comment