Saturday, March 26, 2011

Pelajar diragut lepas ambil keputusan SPM

MUAR – Kegembiraan seorang pelajar selepas mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berpanjangan apabila dia menjadi mangsa ragut semasa dalam perjalanan pulang ke rumah pada Rabu, lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa yang bersendirian menunggang motosikal ditendang dari arah belakang oleh suspek menyebabkannya terjatuh.

Setelah terjatuh, suspek bertindak merampas telefon bimbit mangsa dan melarikan diri ke arah pusat bandar.

:Akibat ketakutan, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran dan turut membantu polis dengan memberitahu nombor pendaftaran motosikal suspek.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, atas maklumat yang diberikan mangsa, polis segera membuat gerakan memburu suspek di sekitar daerah ini.

“Hasil daripada maklumat yang diberikan oleh mangsa, polis berjaya memberkas suspek bersama motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah ragut.

“Suspek berusia 15 tahun ditahan polis kira-kira jam 5.30 petang keesokan harinya di Jalan Kim Kee di Jalan Salleh di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, suspek juga cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya memberkas suspek selain turut berjaya merampas telefon bimbit milik mangsa yang diragut tempoh hari.

“Suspek yang tidak bersekolah itu akan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya

Nasir berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat jatuh dari motosikal yang ditungganginya.

Sinar Harian
26 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment