REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, October 24, 2011

Waris mahu pembelaan

MUAR - Seorang daripada 16 waris anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Bukit Kepong, di sini, mendakwa agar tidak membuat sebarang tuntutan selepas siapnya sebuah filem yang memaparkan kisah sebenar peristiwa tersebut.

Jamilah Abu Bakar, 63, mendakwa, dia diminta untuk menurunkan tandatangan dalam satu dokumen sebelum pembikinan filem tersebut dilakukan sekitar 1970-an.

“Ketika itu saya tidak mengerti perkara sebenar dan kini baru saya sedar bahawa kami sebagai waris polis Bukit Kepong wajar diberikan royalti yang selayaknya.

:“Ini kerana bapa saya antara salah seorang daripada pejuang negara yang terdapat dalam filem tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa Perhimpunan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Muzium Bukit Kepong, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pelbagai janji menarik sering diperkatakan pihak berkaitan, tetapi malangnya tiada satu pun yang ditunaikan.

“Saya bukan mahu mengungkit, tetapi merasakan perkara ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Sekurang-kurangnya kami diberikan penghargaan dalam bentuk pampasan seperti pencen sebagai ganjaran membalas jasa serta pengorbanan oleh arwah ayah,” katanya.

:Peristiwa itu tidak mungkin dapat Jamilah lupakan kerana dia menyaksikan sendiri bagaimana ibu dan adiknya mati ditembak komunis.

Manakala bapanya PC 37, Abu Bakar Daud juga terkena tembakan komunis, namun terselamat dan meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

Walaupun peristiwa hitam itu sudah berakhir 60 tahun lalu, tetapi buat julung kalinya waris-waris berkenaan dirai dan diberikan penghargaan yang lebih bermakna sempena Perhimpunan Khas PDRM Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Muzium Bukit Kepong dan turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Jamilah berkata, dia mengakui pernah menerima set pinggan mangkuk dan juga surat penghargaan sebelum ini.

Selain itu katanya, setinggi ucapan terima kasih diberikan kepada PDRM kerana menganjurkan program tersebut untuk menyampaikan penghargaan kepada pejuang Bukit Kepong.

Bagaimanapun, katanya, timbul sedikit terkilan dan meminta pejuang negara itu juga wajar mendapat pengiktirafan sama seperti jurukamera yang terbunuh dalam misi bantuan di Somalia, baru-baru ini.

Ibu kepada enam anak itu berkata, walaupun nasib malang telah menimpa arwah bapanya itu, tetapi dia tidak pernah menghalang anak-anak juga cucunya untuk menyertai pasukan beruniform berkenaan sebagai kerjaya.

“Sekurang-kurangnya legasi arwah bapa sebagai wira negara akan berterusan apabila ada ahli keluarga yang mengikut jejak langkahnya,” katanya.

Sinar Harian
24 Okt 2011

Saturday, October 22, 2011

Harap belas kasih isteri

MUAR – Seorang warga emas tidak menyangka kelibat empat burung terbang yang melintasi pandangannya semasa menunggang motosikal menjadi punca dia kehilangan penglihatan buat selama-lamanya.

Sejurus tiba di rumah, penglihatannya menjadi kabur dan pada awalnya, dia menyangka hanya rabun biasa saja.

Bagaimanapun, keadaan itu terus berlarutan selama sebulan dan dia hanya mampu memakai cermin mata untuk menghilangkan ketidakselesaan itu.

Malangnya, penglihatan warga emas itu bertambah teruk dan dia menjadi buta pada usia 27 tahun.

Itu nasib yang terpaksa dihadapi oleh Ibrahim Ahad, 63, dan kini menghabiskan sia usia emasnya bersama isteri, Urib Abu, 63, di Kampung Parit Haji Ali Darat, Parit Bakar, di sini.

Kehilangan penglihatan itu, nyata telah mengubah kehidupan Ibrahim secara total sehingga memaksanya bergantung dengan tongkat untuk bergerak.

Bukan itu sahaja, dia juga telah kehilangan punca pendapatan kerana pergerakannya terbatas sehingga menghalang niatnya untuk bekerja.

Ibrahim berkata, selepas tragedi itu, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah sambil ditemani isterinya.

Menurutnya, kekurangan diri tidak menjadi penghalang kepadanya untuk berusaha mencari pendapatan keluarga.

Ekoran desakan masalah kewangan mendorongnya mengusahakan tanaman pokok cili padi secara kecil-kecilan di tepi rumah.

“Benih cili Sarawak yang diperoleh daripada anak saudaranya itu banyak membantunya meneruskan kehidupan bersama isteri.

“Lebih membanggakan apabila tanaman yang diusahakan itu berjaya mencapai sehingga 700 pokok cili,” katanya kepada Sinar Harian.

Pendapatan RM15 sehari hasil jualan cili itu digunakan oleh Ibrahim untuk menampung perbelanjaan dia dan isteri.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka melihat tanaman cili menjadi tidak berpanjangan apabila tanaman itu diserang penyakit yang akhirnya memusnahkan banyak pokok cilinya.

“Keadaan ini menyebabkan kehidupan kami dihimpit kemiskinan dan hanya mengharapkan bantuan daripada anak-anak.

“Anak-anak membantu sekadar yang mampu kerana mereka sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen lain,” katanya.

Katanya, kehidupan mereka seakan mendapat sinar baru apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, sejak awal tahun ini.

Selain itu, rumah usang yang menjadi tempat berteduh bagi pasangan warga emas itu merupakan hasil tangan Ibrahim sendiri.

Walaupun buta, Ibrahim mampu membina rumah sendiri menggunakan papan terpakai dengan dibantu beberapa rakannya.

Rumah yang didiami Ibrahim sejak 16 tahun lalu semakin dimamah usia dan terdapat banyak kerosakan terutamanya di bahagian bumbung rumah.

“Usaha kami menggunakan baldi untuk menadah air hujan tidak berkesan kerana banyak bumbung bocor terutamanya di ruang bahagian hadapan dan dapur akan dipenuhi dengan air hujan,” katanya.

Ibrahim berkata, dia mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana pihak untuk membaik pulih rumahnya itu.

Selain itu, Ibrahim berkata, dia dan isteri terpaksa tinggal di rumah berkenaan kerana tiada rumah lain, selain biasa dengan keadaan itu.

Walaupun rasa kurang selesa, itu yang mampu dilakukan kerana ini saja tempat yang ada selagi masih hidup.

“Apa yang lebih penting, saya dapat tinggal bersama isteri yang banyak berjasa membantunya sejak menjadi buta.

“Saya tidak pernah berasa kesal dengan nasib malang yang menimpanya dan menganggap ia sebagai ujian dari ALLAH, ”katanya.

Sementara itu, Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, pihaknya telah membantu Ibrahim untuk mendapatkan rumah baru melalui permohonan ke Baitulmal.

Menurutnya, bantuan berupa barangan keperluan dan wang perbelanjaan juga turut diberikan semasa menziarahi warga emas itu, baru-baru ini.

“Ibrahim juga disenaraikan sebagai penerima bantuan beras bulanan dari Pas kawasan Muar dengan kadar segera,” katanya.

Sinar Harian
21 Okt 2011

Saturday, October 8, 2011

Mayat terlentang dalam parit


MUAR – Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tetakan objek tajam di anggota badan dijumpai dalam sebuah parit berhampiran kawasan semak oleh sekumpulan kanak-kanak di Parit Amal Jalan Seri Tanjung Bakri di sini, kira-kira jam 2.45 petang, kelmarin.

Lelaki terbabit dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam parit di kampung berkenaan.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika ditemui berkata, pihak polis tidak menolak mangsa dibunuh dengan kejam kerana bermotifkan dendam.

Menurutnya, sekumpulan kanak-kanak terbabit menjumpai mayat lelaki itu ketika melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumahnya selepas pulang daripada kedai runcit.

“Kanak-kanak itu dikatakan menaiki basikal melalui jalan berhampiran sebelum melihat seorang lelaki terlentang dalam parit tersebut seperti orang sedang tidur.

“Kerana terkejut, kanak-kanak itu segera pulang ke rumah dan memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya sebelum membuat laporan di balai polis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Nasir berkata, bertindak laporan yang diterima, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa berumur dalam lingkungan 20an dijumpai dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar pendek.

“Mangsa berambut pendek, kurus, tinggi 5 kaki 7 inci dan dipercayai telah dibunuh kurang daripada 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik sebelum dijumpai di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai beragama Islam dan besar kemungkinan adalah warganegara asing, namun siasatan terperinci masih dilakukan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa dan sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa.

Menurutnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta segera membuat laporan polis.

Pihak polis juga mohon kerjasama daripada orang ramai atau saksi yang mengetahui kejadian itu untuk segera tampil memberikan maklumat bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sinar Harian
4 Okt 2011


Bapa bunuh anak tampil cam mayat

Polis tahan suspek jumpa kesan darah mangsa dalam rumah, MPV

MUAR: Seorang pengurus bank dipercayai bukan saja memukul anak lelakinya berusia 20 tahun sehingga mati dan mencampakkan mayatnya ke parit di Parit Amat, Jalan Sri Tanjung, dekat sini, awal pagi Sabtu lalu, malah membuat pengecaman mayat apabila diminta polis berbuat demikian.

Lelaki berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah bank di bandar ini ditahan di rumahnya di Jalan Temenggong Ahmad, dekat sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin susulan daripada siasatan polis di rumahnya yang dikatakan turut menemui kesan darah mangsa selain dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi Muar sebelum Pendaftar Mahkamah, Nor'iza Muhammad membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga 11 Oktober bagi siasatan lanjut.

Sebelum ini suspek dikatakan turut membuat pengecaman mayat anak lelaki sulungnya sebelum polis mengesyaki sesuatu apabila mendapati kereta milik suspek sama seperti kereta yang digambarkan dilihat di tempat penemuan mayat berkenaan pada awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu, sekumpulan kanak-kanak menemui mayat seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dengan kesan tetakan di leher, bahu dan tangan selain beberapa kesan lebam di badannya, di dalam parit di Parit Amal, Jalan Sri Tanjung, dekat sini.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya dijumpai dan polis juga masih menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan di parit itu atau dibunuh di tempat berkenaan.

Polis pada mulanya mengesyaki mangsa adalah warga asing berdasarkan rupa dan kulitnya, namun selepas proses pemeriksaan cap jari dijalankan, identiti sebenar mangsa dikenal pasti, malah keluarga mangsa turut membuat pengecaman.

Sementara itu jurucakap polis mengesahkan pihaknya membuat siasatan di rumah mangsa sebelum bertindak menahan bapa mangsa bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Berita Harian
6 Sep 2011