Monday, October 24, 2011

Waris mahu pembelaan

MUAR - Seorang daripada 16 waris anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Bukit Kepong, di sini, mendakwa agar tidak membuat sebarang tuntutan selepas siapnya sebuah filem yang memaparkan kisah sebenar peristiwa tersebut.

Jamilah Abu Bakar, 63, mendakwa, dia diminta untuk menurunkan tandatangan dalam satu dokumen sebelum pembikinan filem tersebut dilakukan sekitar 1970-an.

“Ketika itu saya tidak mengerti perkara sebenar dan kini baru saya sedar bahawa kami sebagai waris polis Bukit Kepong wajar diberikan royalti yang selayaknya.

:“Ini kerana bapa saya antara salah seorang daripada pejuang negara yang terdapat dalam filem tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa Perhimpunan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Muzium Bukit Kepong, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pelbagai janji menarik sering diperkatakan pihak berkaitan, tetapi malangnya tiada satu pun yang ditunaikan.

“Saya bukan mahu mengungkit, tetapi merasakan perkara ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Sekurang-kurangnya kami diberikan penghargaan dalam bentuk pampasan seperti pencen sebagai ganjaran membalas jasa serta pengorbanan oleh arwah ayah,” katanya.

:Peristiwa itu tidak mungkin dapat Jamilah lupakan kerana dia menyaksikan sendiri bagaimana ibu dan adiknya mati ditembak komunis.

Manakala bapanya PC 37, Abu Bakar Daud juga terkena tembakan komunis, namun terselamat dan meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

Walaupun peristiwa hitam itu sudah berakhir 60 tahun lalu, tetapi buat julung kalinya waris-waris berkenaan dirai dan diberikan penghargaan yang lebih bermakna sempena Perhimpunan Khas PDRM Memperingati Pejuang-pejuang Bukit Kepong di Muzium Bukit Kepong dan turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Jamilah berkata, dia mengakui pernah menerima set pinggan mangkuk dan juga surat penghargaan sebelum ini.

Selain itu katanya, setinggi ucapan terima kasih diberikan kepada PDRM kerana menganjurkan program tersebut untuk menyampaikan penghargaan kepada pejuang Bukit Kepong.

Bagaimanapun, katanya, timbul sedikit terkilan dan meminta pejuang negara itu juga wajar mendapat pengiktirafan sama seperti jurukamera yang terbunuh dalam misi bantuan di Somalia, baru-baru ini.

Ibu kepada enam anak itu berkata, walaupun nasib malang telah menimpa arwah bapanya itu, tetapi dia tidak pernah menghalang anak-anak juga cucunya untuk menyertai pasukan beruniform berkenaan sebagai kerjaya.

“Sekurang-kurangnya legasi arwah bapa sebagai wira negara akan berterusan apabila ada ahli keluarga yang mengikut jejak langkahnya,” katanya.

Sinar Harian
24 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment