PAGOH 15 April – Kegembiraan tiga remaja bergurau berakhir duka apabila seorang daripadanya tergelincir ke dalam sungai dan seorang lagi yang cuba membantu turut hilang di Jeti Kampung Jorak, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, pada mulanya Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib dan Elis Norfairusnizam Sidek yang kedua-duanya berusia 15 tahun bersiar-siar bersama seorang lagi rakannya di kawasan itu.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seorang daripadanya dipercayai tergelincir dan rakannya cuba membantu tetapi turut tenggelam.
“Selepas melihat Muhammad Afiq Asyraf dan Elis Norfairusnizam tidak timbul-timbul, rakannya berlari mendapatkan bantuan dan orang kampung yang datang untuk memberi bantuan gagal mengesan kedua-dua sahabat itu.
“Kemudian pukul 6.50 petang, 11 anggota bomba Muar dengan satu jentera, satu bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba memulakan kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, usaha bomba sukar kerana hujan lebat dan air pasang namun gerakan mengesan kedua-duanya terus dilakukan dengan bantuan unit penyelam serta anggota bomba dari Segamat, Bukit Gambir dan Ledang.
Sementara itu, ibu kepada Elis Norfairusnizam, Zabida Dirin, 55, dari Kampung Parit Kemang berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Pasir bersahabat baik dengan Muhammad Afiq Asyraf sejak darjah satu.
Katanya, Elis Norfairusnizam yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik keluar menghadiri kelas tambahan dan berjalan-jalan di jeti tersebut sebelum seorang rakannya memberitahu kejadian itu pukul 6.30 petang.
Bapa Muhammad Afiq Asyraf pula, Mohamad Najib Atan, 48, dari Kampung Sungai Terap berkata, anaknya tidak sihat hari ini namun tetap hadir di Sekolah Menengah Tun Perak dan tidak mengetahui anaknya ke jeti petang ini.
Dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah pusat beli belah di bandar Muar mengetahui nasib yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu semasa sedang bekerja pada pukul 6.45 petang.
ZULHISHAM ISAHAK
Utusan
16 Apr 2015
Dua sahabat lemas terjatuh dari jeti
MUAR - Dua sahabat karib hilang dipercayai lemas selepas terjatuh dari Jeti Kampung Jorak, di sini, petang semalam.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib dan Elis
Norfairusnizam Sidek, kedua-duanya berusia 15 tahun, yang hilang dihanyut arus dalam kejadian pada 6.30 petang itu.
"Mereka berdua bersama seorang lagi rakan datang bersiar-siar di jeti ini sebelum dikatakan bergurau sehingga seorang daripada mereka terjatuh dari jeti.
"Seorang lagi kemudian cuba menyelamatkan rakannya itu, namun kedua-duanya hilang dihanyutkan arus Sungai Jorak. Ketika kejadian, hujan lebat dan air pasang," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Ismail berkata seorang lagi rakan mereka cuba mendapatkan bantuan penduduk kampung berhampiran, namun gagal menemui kedua-dua mangsa.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 6.50 petang dan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.
"Kita akan minta bantuan unit scuba dan operasi menyelamat akan diteruskan malam ini," katanya.
Sementara itu, ibu kepad Elis Norfairusnizam, Zabida Dirin, 55, dari Kampung Parit Kemang, berkata anaknya itu yang bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Pasir, bersahabat baik dengan Muhammad Afiq Asyraf sejak dari darjah satu.
Zabida yang mendapat tahu mengenai kejadian itu pada 6.30 petang, berkata Elis Norfairusnizam yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, keluar menghadiri kelas tambahan dan dikatakan bersiar-siar di jeti tersebut.
Bapa Muhammad Afiq Asyraf, Mohamad Najib Atan, 48, dari Kampung SungaiTerap, berkata anaknya tidak sihat hari ini namun tetap hadir ke Sekolah Menengah Tun Perak dan tidak mengetahui anaknya ke jeti itu.
Turut melawat lokasi kejadian ialah Adun Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. - Bernama
Sinar Harian 16 Apr 2015
Tenggelam bantu rakan
AHLI keluarga mangsa sebak menunggu anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
AKSI anggota penyelamat ketika mencari mangsa.
ANGGOTA bomba dan penyelamat masih bertungkus-lumus mencari dua sahabat dipercayai mati lemas selepas terjatuh di jeti Kampung Jorak, Bukit Pasir, Muar.
Muar: “Pada hari kejadian dia beritahu mahu ke jeti dengan Afiq selepas kelas tambahan dan tak sangka pula begini jadinya,” kata Zabida Dirin, 54, ibu Elis Norfairusnizam Sidek, 15, yang hilang bersama rakan sebayanya, Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib, selepas tergelincir dari jeti Kampung Jorak, Bukit Pasir di sini, kelmarin.
Menurut Zabida, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersahabat baik dengan Muhammad Afiq Asyraf sejak mereka sekolah rendah dan sering bermain bersama.
“Petang semalam (kelmarin) dia beritahu mahu ke kelas tambahan sebelum ke jeti dengan Afiq dan beberapa rakan.
“Dia sering ke jeti itu dan saya sentiasa mengingatkannya supaya hati-hati. Namun, jam 6.30 petang dia masih belum pulang dan saya terkejut apabila diberitahu dia dan Afiq terjatuh ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Mohamad Najib Atan, 48, berkata anaknya, Muhammad Afiq Asyraf ada memberitahu berasa tidak sedap badan sebelum pergi ke sekolah pada pagi kejadian.
myMetro
17 Apr 2015
Dua sahabat lemas ditemui
Muar: Dua sahabat yang hilang selepas tergelincir di jeti Kampung Sungai Jorak, Bukit Pasir di sini, Rabu lalu ditemui lemas berasingan malam kelmarin dan pagi semalam tidak jauh dari kawasan berkenaan.
Mayat Elis Norfairusnizam Sidek, 15, dari Kampung Parit Kemang, Jalan Raja ditemui pada jam 10.11 malam kelmarin kira-kira 150 meter dari jeti kampung terbabit.
Mangsa kedua, Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib, 15, ditemui terapung pada jam 3.49 pagi semalam kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Marzuki Ismail berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui orang ramai ketika melalui jeti berkenaan sebelum dibawa keluar oleh anggota bomba menggunakan bot.
Menurutnya, mayat mereka kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, pihaknya menamatkan operasi mencari itu pada jam 4.47 pagi selepas 28 jam menjalankan gerakan mencari mangsa yang hilang.
“Operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Bukit Gambir, Kluang, Bandar Putra Segamat, Rengit dan Johor Bahru.
“Kami memulakan operasi mencari dan menyelamat sejak Rabu lalu pada jam 6.50 petang dan membabitkan 70 anggota termasuk unit menyelam,” katanya.
myMetro
18 Apr 2015