Thursday, April 2, 2015

Jurulatih Maktab PDRM maut dalam kemalangan

MUAR - Seorang jurulatih Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tingginya yang bertembung dengan sebuah kereta ketika mangsa dipercayai mengetuai konvoi bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika mengesahkan kejadian itu berkata, Sarjan Ishak Fudzil, 48, maut ditempat kejadian selepas motosikalnya merempuh sebuah Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Simpang Jeram Masjid di sini kira-kira pukul 4 petang tadi.

Beliau berkata, konvoi yang dikawal mangsa membabitkan lebih 10 buah motosikal berkuasa tinggi PDRM yang dalam perjalanan dari maktab berkenaan ke Segamat bagi menjalani latihan amali.

"Di lampu isyarat itu mangsa cuba mengawal aliran trafik sebelum mangsa merempuh kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang secara tiba-tiba membelok masuk ke sebuah kilang perabot berhampiran," katanya.

Beliau berkata, akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Azman meminta saksi kejadian agar tampil membantu siasatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang turut diziarah lebih 30 anggota polis untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Anak mangsa Mohd Zulikram, 16, berkata, jenazah bapanya akan dibawa pulang ke Kedah malam ini untuk dikebumikan.

"Arwah bapa selalu berpesan untuk saya belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun hadapan," katanya apabila ditanya tentang pesanan bapanya kepadanya sebelum meninggal. - Bernama

2 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment