Sunday, March 13, 2016

Kejar syurga hakiki

RAMLEE memandu jengkaut merasmikan majlis pecah tanah madrasah tahfiz itu, baru-baru ini.

Muar: Nilai hartanah ditawarkan mencecah jutaan ringgit namun kemewahan dunia gagal membeli hati seorang pesara kerajaan apabila menyimpan impian membina tahfiz maritim di tanah milik keluarganya berhampiran Parit Tiram di sini.

Bayangkan dengan keluasan tanah 0.8 hektar, Hashim Hussain, 62, ditawarkan pemaju jutaan ringgit namun ditolak bulat-bulat demi mengejar saham akhirat, sekali gus memanfaatkan anak tempatan menuntut ilmu di kompleks dakwah yang dibangunkannya.

Pengasas Madrasah Tahfiz Al-Ikhsan itu berkata, kedudukan tanah keluarganya di lokasi strategik iaitu di tengah bandar menyebabkan ia menjadi perhatian pemaju perumahan untuk membangunkan unit kediaman di kawasan terbabit.

“Kira-kira lima tahun lalu, tanah ini ‘diburu’ pencari tanah termasuk pemaju untuk membangunkan perumahan mewah dengan harga ditawarkan mencecah jutaan ringgit.

“Jika dilihat jumlah besar yang ditawarkan itu pasti buat sesiapa saja rambang mata, tetapi pada saya semua itu tidak kekal sebaliknya lebih membawa makna jika dijadikan modal saham akhirat,” katanya.

Majlis pecah tanah Madrasah Tahfiz di Lot 874, Lorong Mansor, Jalan Sakeh, di sini, dilakukan, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Kadi Daerah Muar Dzulkifli Mohamed.

Beliau berkata, tindakannya menolak ‘bulat-bulat’ tawaran itu untuk mengusahakan tanah berkenaan atas nama keluarganya merealisasikan pembinaan bangunan akademik dan agama, selain bakal menyediakan kursus Diploma Tahfiz dalam maritim.

“Saya adalah pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan saya selalu mengkaji mengenai lokasi di sini yang menjadi tumpuan ulama terdahulu menyebarkan syiar Islam.

“Lokasi ini pernah menjadi pendaratan golongan berkenaan pada 1880, malah sejarah lampau menyebabkan lokasi ini strategik dijadikan pusat pembelajaran ilmu maritim kepada pelajar tahfiz yang mengikuti pengajian di sini,” katanya.

Katanya, dalam merealisasikan hasrat itu, kerjasama bersama Kolej Pengajian Islam Johor dibuat untuk memastikan ilmu dunia dan akhirat disepadukan kepada penuntutnya sebaik menamatkan pengajian kelak.

“Ini kerana kita selaraskan pengajian al-Quran, kemahiran (maritim) dan akademik dalam satu bumbung, malah pelajar juga memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama seperti sekolah harian biasa selepas empat tahun menuntut di sini,” katanya.

Katanya, tiga anaknya yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah dan dua lagi di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menjadi penggerak utama kepada perjalanan madrasah yang beroperasi pada Ogos 2014.

“Kini, kami mempunyai 41 murid berusia 10 hingga 17 tahun, selain menggunakan khidmat tiga ustaz dalam pengajian mereka yang kini beroperasi sementara di bangunan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Parit Sakai Darat, di sini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tahfiz itu, Zaiton Ismail berkata, jarang pelajar tahfiz mengambil bahagian dalam pertandingan terbuka taekwondo, namun berbeza dengan pendekatan yang dilaksanakan di tahfiz itu.

“Di madrasah ini, kaedah pembelajarannya berbeza dan mereka membuktikan kepada saya yang mereka mempunyai proses pembelajaran formal seperti pelajar lain.

“Ia mengubah proses pembelajaran tahfiz yang dulunya fokus untuk mempelajari ilmu kerohanian semata-mata, tetapi pendekatan diambil membuka ruang luas kepada mereka mempelajari ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

myMetro
11 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment