REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, May 13, 2016

Rahsia Kopi 434 masih bertahan

Kafe Kopi Gajah yang terletak di Jalan Bentayan.

Kopi 434 mengeluarkan pelbagai jenis rasa kopi bagi menepati selera masyarakat pada masa kini.

Cher Yong bersama salah seorang pekerjanya, Norfatin Mohamad, 23, menunjukkan dua jenis kopi keluaran Kopi 434 yang laris di pasaran.

Kopi 434 antara kopi yang terlaris di pasaran.

MUAR - Lambakan pelbagai produk baharu pada masa kini pastinya menggerunkan sesetengah pengusahanya, namun tidak bagi perniagaan Sai Kee Kopi Serbok Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Kopi 434.

Pengurus pentadbiran yang juga pewaris perniagaan itu, Kiar Cher Yong, 31, mengakui, kopi yang dihasilkan datuknya, Kiar An Sai sejak tahun 1953 masih diminati ramai walaupun terdapat banyak jenama kopi lain berada di pasaran pada masa kini.

“Untuk menghasilkan serbuk kopi sememangnya mudah, namun untuk mencipta rasa yang enak memerlukan ketelitian dalam penghasilannya.

“Sejak dulu lagi, kami akan pastikan hanya biji kopi yang baik dan berkualiti dihasilkan untuk diproses menjadi serbuk,” katanya.

Tiada ramuan rahsia

Menurutnya, tiada ramuan rahsia digunakan untuk menghasilkan serbuk Kopi 434, selain bahan tambahan yang digunakan datuknya sejak dari dahulu.

“Ramuan yang kami gunakan adalah sama seperti cara penghasilan serbuk kopi yang lain, iaitu biji kopi, marjerin dan gula hangus.

“Namun kebiasaannya, pencipta kopi pada masa kini lebih gemar memilih cara mudah dan jimat iaitu dengan mencampurkan pelbagai jenis kopi import serta bahan tambahan yang tidak betul. Ia menyebabkan keenakan rasa kopi hilang,” katanya.

Jelasnya, Kopi 434 dihasilkan menggunakan sukatan tepat iaitu 70 peratus biji kopi dan 15 peratus campuran marjerin serta gula hangus.

“Walaupun ia adalah biji kopi import, namun kami elakkan penggunaan pelbagai jenis kopi kerana ia boleh menjejaskan rasa asal minuman tersebut.

“Selain itu, saya kekalkan ramuan yang diajar oleh datuk, dengan memegang prinsip beliau supaya menghasilkan serbuk kopi yang baik tanpa memikirkan kepayahan dalam menghasilkannya.

“Walaupun proses yang kami lakukan dengan kos bahan tambahan agak tinggi, namun kami ketepikan semua itu bagi memelihara rasa kopi turun-temurun ini,” katanya.

Pasaran belum meluas

Cher Yong mengakui, walaupun Kopi 434 adalah jenama yang dikenali dan diminati ramai, namun pemasaran produk itu masih belum meluas ke serata Malaysia.

“Pesanan datuk supaya tidak mementingkan keuntungan dan mengekalkan ramuan kopi membuatkan kami tak bercadang untuk meluaskan perniagaan ke negeri lain.

“Jika lebih banyak cawangan, maka lebih banyak pemantauan yang saya perlu lakukan supaya jenama kopi sentiasa terpelihara. Dengan kekangan masa, saya bimbang rasa asal kopi boleh terjejas kerana kurang pemerhatian,” katanya.

Menurut Cher Yong, walaupun terdapat banyak persaingan jenama kopi pada masa kini, dia percaya Kopi 434 mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.

“Walaupun tidak menembusi pasaran luar, jenama kopi kami tetap dikenali dan digemari ramai.

“Malah, pelanggan dari negara luar seperti China dan Jepun juga menyedari kewujudan Kopi 434. Justeru, kami tidak menganggap persaingan sebagai perkara yang membimbangkan kerana setiap penggemar kopi mempunyai selera masing-masing,” katanya.

Walaupun begitu, Cher Yong menyedari, seiring peredaran zaman, penerimaan generasi kini terhadap kopi tersebut boleh berubah.

“Kami sedar, rasa kopi yang sama boleh membuatkan orang jemu. Maka kami ambil inisiatif menghasilkan satu lagi jenis yang 100 peratus dihasilkan Sai Kee Kopi iaitu Kopi Gajah pada 2000.

“Namun hingga kini, saya lihat Kopi 434 tetap mendapat pasaran tinggi terutama dalam kalangan bangsa Melayu. Saya bersyukur hingga kini, kopi turun-temurun yang dihasilkan datuk saya masih diminati ramai,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


Peniaga dituduh bunuh koperal

MUAR – Seorang peniaga berdepan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang anggota polis pada bulan lalu.

Tertuduh, R. M. Azrull Hisyam­ Hussin, 32, yang berpakaian lokap berwarna jingga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun, tiada pe­ngakuan daripada tertuduh direkodkan oleh mahkamah.

Mengikut pertuduhan, R. M. Azrull Hisyam didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin yang mayatnya ditemui di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini antara pukul 7.45 hingga 8.30 pagi 30 April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kosmo
13 Mei 2016


Didakwa bunuh anggota polis

Muar: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di Sungai Abong, hujung bulan lalu.

Tertuduh, RM Azrull Hisyam Hussin, 32, lengkap berpakaian lokap polis bewarna oren dituduh melakukan perbuatan itu di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, 30 April lalu.

RM Azrull Hisyam kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin di lokasi itu antara 7.45 pagi hingga 8.30 pagi pada 30 April lalu dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham yang memohon tarikh sebutan semula kes.

Suzana kemudiannya menetapkan 14 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
12 Mei 2016


Arwah kerap hubungi tanya khabar

ANGGOTA polis mengangkat jenazah Roydin yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.

Kota Kinabalu: Suasana hiba menyelubungi pekarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam, sejurus ketibaan jenazah Koperal Roydin Jamaludin, 32, yang ditemui maut dipercayai dibunuh di Sungai Abong, Muar, Sabtu lalu.

Jenazah Allahyarham diiringi isterinya, Viani Lukin, 30-an, dua anak lelaki mereka yang berusia 5 dan 8 tahun, dua adik lelaki Roydin, Khairudin, 21, dan Alidin Jamaludin, 30, serta Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum tiba di sini pada jam 11.45 pagi semalam.

Bapa Allahyarham, Jamaludin Abd Hamid, 58, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan Roydin pada 24 April lalu sempena hari lahirnya.

“Ketika itu, dia mengucapkan selamat hari lahir kepada saya dan mahu saya menjaga kesihatan seperti biasa.

“Selain sering menghubungi ibunya setiap dua kali sehari, menjadi keutamaan Roydin untuk menghubungi kami sekeluarga setiap kali menjelang sambutan hari lahir,” katanya.

Turut kelihatan, ibu Roydin, Rabaya Asan, 55, dan beberapa ahli keluarga lain.

Menurut Jamaludin, mereka sekeluarga bertolak dari Kampung Telaga, Pitas seawal jam 7.30 pagi, semalam, dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut bertindak menguruskan pengebumian Roydin.

“Insya-Allah, Allahyarham akan dikebumikan sebaik tiba di kampung halaman kami sebelum jam 6 petang ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, ketibaan jenazah disambut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Senior Asisten Komisioner Omar Mammah bersama beberapa pegawai dan anggota polis.

myMetro
2 Mei 2016


Jenazah Koperal Roydin selamat tiba


BALU Allahyarham Koperal Roydin Jamaludin, Viani Lukin (kiri) bersama anak serta ahli keluarga mengiringi jenazah setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). FOTO Adam Arinin

Kota Kinabalu: Jenazah Koperal Roydin Jamaludin, 32, anggota polis yang maut dipercayai dibunuh di Sungai Abong, Muar, selamat tiba di MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pagi tadi.

Jenazah selamat tiba kira-kira jam 11.40 pagi tadi diiringi isterinya Viani Lukin, 30-an, dua anak mereka yang berusia 5 dan 8 tahun, serta dua adik lelaki allahyarham.

Turut mengiringi jenazah Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob.

Bapa allahyarham Jamaludin Abd Hamid, 58, berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halaman mereka di Kampung Telaga, Pitas dan dijangka dikebumikan sebelum jam 6 petang ini.

Turut kelihatan ibu Roydin, Rabaya Asan, 55, dan beberapa ahli keluarga lain.

Ketibaan jenazah disambut Ketua Jabatan Siasatan Negeri Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman.

Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
myMetro
1 Mei 2016


Enam lelaki, dua wanita dicekup

Muar: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis di Sungai Abong, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata lapan individu itu termasuk enam lelaki dan dua wanita ditahan di sekitar Batu Pahat.

"Mereka berusia antara 20 hingga 32 tahun dan ditahan pada 12.45 tengah hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Polis masih menyiasat punca kejadian dan menunggu laporan bedah siasat," katanya.

Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
30 April 2016


Ditemui mati dalam parit


FOTO Shaifulazhar Misri

Muar: Polis menemui mayat seorang anggotanya di dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, kira-kira 9 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Roydin Jamaludin ditemui berpakaian lengkap dan memiliki kesan luka di tubuh.

Ketua Polis Daerah Muar,Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pihaknya menjalankan siasatan.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat dan kami masih mencari punya kematian.

"Kami berharap saksi kejadian tampil memberi maklumat dan meminta kerjasama orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sah," katanya ketika dihubungi.

Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
30 April 2016


Baru dua minggu lepas jumpa arwah


Mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira 9 pagi tadi.

MUAR - Alidin Jamaludin, adik kepada anggota polis yang ditemui mati dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, di sini hari ini, terkilan kerana hanya dapat bertemu abangnya seketika dua minggu lepas.

Alidin, 30, berkata dia hanya dapat menemui Allahyarham abangnya, Roydin, 32, untuk masa yang singkat ketika Allahyarham mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di bandar ini kerana sakit kaki.

"Tidak banyak perkara yang sempat kami bualkan kerana saya tahu dia sering sibuk dengan urusan kerja," katanya.

Beliau ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini hari ini.

Alidin yang bekerja di sebuah kilang papan di sini berkata, dia mengetahui berita kematian abangnya pada pukul 10.20 pagi tadi daripada kakaknya lalu terus bergegas ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti jenazah.

"Ketika sampai, saya lihat mayat abang saya telah dibawa naik dari parit dan terdapat kesan luka pada badannya," katanya.

Katanya, Allahyarham Roydin meninggalkan seorang isteri, Viani Lukin dan dua anak lelaki masing-masing berumur lapan dan enam tahun.

Jenazah abangnya mungkin akan diterbangkan ke Sabah esok dan akan dikebumikan di Telaga Pitas, Kudat.

"Ibu bapa saya akan menunggu di kampung dan saya dimaklumkan urusan penghantaran jenazah akan diuruskan polis," katanya.

Terdahulu, mayat Roydin yang berpakaian biasa ditemui di dalam parit berkenaan kira-kira 9 pagi tadi dengan terdapat kesan luka pada tubuhnya. - Bernama

Sinar Harian
30 April 2016


Anggota polis ditemui mati dalam parit

JOHOR BAHRU – Seorang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditemui maut dalam sebuah parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, Muar dekat sini kira-kira jam 9 pagi tadi.

Mangsa dikatakan berusia 32 tahun, dan berasal daripada Sabah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisiner Azman Ayob berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam dengan kesan kecederaan di kepala pada bahagian atas kening kiri.

“Kami menerima maklumat dari orang awam kira-kira jam 9 pagi tadi dan menghala ke lokasi tetapi pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil semakan mendapati, mangsa merupakan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Muar dan sedang dalam tugasan ‘on call’ 24 jam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

SHAFIQ TINO
Sinar Harian
30 April 2016



Thursday, May 12, 2016

Bukan misteri

KEJADIAN ayam hutan mati yang diviralkan di laman sosial.

Muar: Kejadian 10 ayam hutan ditemui mati di kilang di Tangkak, kelmarin, yang viral di laman sosial dikatakan berlaku setiap tahun dan bukan perkara pelik kepada pekerja kilang berkenaan.

Jurucakap kilang yang enggan dikenali berkata, kejadian seumpama itu berlaku satu atau dua kali setahun sejak beberapa tahun lalu disebabkan kilang berkenaan terletak berhampiran kawasan hutan paya bakau.

“Dalam kejadian berkenaan, saya difahamkan ayam hutan berkenaan mati akibat merempuh pintu kaca.

“Tiada kemalangan lain berlaku kecuali kematian 10 ayam hutan berkenaan, namun kebanyakan pekerja kilang menganggapnya perkara biasa dan sedar mengenainya.

“Ramai pekerja kilang yang pernah melihat ayam hutan mati dilanggar kereta atau motosikal di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kejadian sama berlaku setiap tahun, kebanyakan pekerja terutama kakitangan pejabat tidak mengendahkannya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada waktu pagi atau petang, namun kebanyakan mereka tidak mengetahui punca kejadian sebenar.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Veterinar Ledang ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menghantar pegawai ke kilang berkenaan bagi menjalankan siasatan.

“Kami memandang serius kejadian ini dan akan mengambil sampel untuk mengetahui punca kematian 10 ayam hutan berkenaan.

“Sampel itu dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Veterinar untuk mengesan sama ada ayam itu berpenyakit atau tidak.

“Ia hanya langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini, tiada sebarang penyakit berkaitan haiwan itu dikesan di daerah ini,” katanya.

Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

myMetro
12 Mei 2016