REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, April 24, 2011

Pagar makan padi

MUAR – Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah perumpamaan yang layak diberikan kepada enam warga Indonesia yang sanggup mencuri buah sawit milik majikannya sendiri.

Kegiatan mereka selama ini terbongkar apabila ditahan polis ketika sedang leka mencuri buah sawit di ladang Sungai Pulai berhampiran Jalan Batu Pahat di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kesemua suspek yang ditahan adalah pekerja tetap di ladang milik majikannya.

Menurutnya, kesemua suspek menjadikan waktu selepas bekerja sekitar jam 5 hingga 7 petang untuk melakukan operasi itu untuk mengelakkan kegiatannya dikesan majikan.

“Malahan, suspek turut dikenal pasti aktif melakukan jenayah mencuri buah sawit di beberapa ladang sekitar Parit Jawa.

“Hasil maklumat daripada ramai pekerja ladang di sekitar kawasan ini, pihak polis menjalankan gerakan mengesan dan berjaya memberkas mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran ladang berkenaan namun gagal.

Polis turut merampas kelengkapan untuk mencuri buah sawit seperti lima sabit, sebuah kereta sorong, empat besi cucuk dan sebuah trak yang dianggarkan bernilai RM5,000.

“Suspek yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun itu didapati mempunyai permit yang sah untuk bekerja di negara ini.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kira-kira lima kes yang dilaporkan mengenai kecurian buah sawit di daerah Muar,” katanya.

Kumpulan tersebut bergiat aktif sejak Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sinar Harian
24 Apr 2011

Friday, April 22, 2011

Lelaki mabuk bakar kereta

MUAR - Gara-gara tidak berpuas hati, seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila tergamak membakar sebuah kenderaan jenis Proton Gen2 milik rakannya dekat Jalan Sakeh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai baru pulang dari sebuah kelab malam yang terletak di sekitar bandar di daerah ini.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit yang berada di bawah pengaruh alkohol sudah memulakan pertengkaran mulut di salah sebuah kelab yang mereka kunjungi.

Bagaimanapun, pertengkaran itu berlarutan sehingga di luar kelab tersebut apabila salah seorang daripada lelaki berkenaan cuba melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Gen2 miliknya.

Suspek yang tidak berpuas hati bertindak mengejar rakannya dengan menggunakan kenderaan lain.

Rakan suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bahu Jalan Sakeh dan cuba menyelesaikan perbalahan tersebut.

Namun suspek bertindak ganas dengan membakar kereta rakannya itu sebelum kedua-duanya bertindak melarikan diri.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 47, berkata, dia terkejut apabila terlihat kepulan asap serta api yang marak dari sebuah kereta ketika melalui jalan berkenaan pada awal pagi kelmarin.

“Saya segera menelefon bomba kerana bimbang masih ada penumpang dalam kenderaan terbabit.

“Kira-kira 10 minit kemudian, bomba sampi di tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan namun kenderaan terbabit sudah rentung,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke hadapan untuk memberikan keterangan untuk membantu polis bagi memburu suspek yang terlibat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan bencana menggunakan api yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian
22 Apr 2011

Sunday, April 17, 2011

Padah lori undur

MUAR: Tindakan seorang lelaki menaikkan lori tanah ke atas sebuah treler secara bersendirian membawa padah apabila lori itu dipercayai mengundur, menyebabkan mukanya hancur apabila tersepit di antara belakang lori dan kepala treler dalam kejadian di tapak pembinaan rumah kedai berhampiran Laluan Pintas Muar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Yeo Chuan Kuan, 32, dari Jalan Bakariah, di sini, ditemui rakan sekerja yang juga pekerja jengkaut bagi meratakan tanah di situ dalam keadaan tersepit sebelum melaporkannya kepada polis.

Difahamkan, pasukan bomba dan perubatan yang datang kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

myMetro
17 Apr 2011

Tuesday, April 5, 2011

Amukkan ganas ribut

MUAR – Kira-kira 200 penduduk di empat kampung di Lenga terpaksa berhadapan dengan detik yang menakutkan hampir 10 minit apabila angin kencang tiba-tiba mengganas merosakkan kira-kira 40 rumah dalam kejadian ribut pada awal malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku pada 7.15 malam itu bermula dengan tiupan angin kuat sebelum hujan lebat selama satu jam dan merosakkan rumah sebahagian penduduk di Kampung Tulang Gajah, Kampung Baru, Felda Lenga dan Kampung Renchong.

Salah seorang penduduk yang menyaksikan kejadian tersebut mendakwa terlihat satu kepulan angin yang berpusing-pusing di udara sebelum merosakkan rumah penduduk, kebun dan enam kandang kambing di Padang Ragut Kampung Tulang Gajah.

Mereka mendakwa peristiwa tersebut mengejutkan sebahagian besar penduduk dan beranggapan ia antara bencana terburuk yang melanda kerana disertai hujan batu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan rumah penduduk rosak seperti bumbung rumah tercabut dan dihempap pokok akibat angin kencang.

Sinar harian
5 Apr 2011

Benci lihat muka anak


MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.

“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.

Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.

“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.

“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.

Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.

Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.

KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.

Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.

“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.

“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.

Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.

“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.

myMetro
2 Apr 2011


‘Sedia maaf jika dia lupakan ayah’

MUAR: “Saya bencikan dia dunia dan akhirat. Bagaimanapun, saya sedia maafkan jika dia sanggup lupakan ayah kandungnya,” kata Salmah, 54, ibu kandung Azli ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Salmah, tindakannya itu berpunca daripada perceraiannya dengan suami kira-kira 16 tahun lalu.

“Saya ditinggalkan sebatang kara, malah dibiarkan tanpa nafkah untuk menyara anak sedangkan dia (suami) lari bersama perempuan lain.

“Tanpa sebarang sebab atau pertikaian, saya diceraikan melalui surat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Salmah, sejak itu, dia tertekan dan terpaksa bekerja keras untuk menyara kelima-lima anak termasuk Azli.

Bagaimanapun, Salmah yang berpenat lelah membesar dan menyara anaknya itu tersentak apabila Azli menemui bekas suaminya semula lima tahun lalu dan mempelawa lelaki berkenaan tinggal bersama.

“Tindakannya membuatkan saya jauh hati kerana pengorbanan selama ini langsung tidak dihargai Azli. Tergamak dia membawa lelaki yang pernah menghancurkan hati saya tinggal bersamanya.

“Sejak itu saya sengaja buat cerita supaya Azli tertekan, seterusnya menghalau ayahnya daripada tinggal bersamanya,” katanya.

Azli tinggal bersama bekas suami Salmah di rumah lain menyebabkan ibu tunggal itu tidak mahu ke rumah Azli kerana terlalu benci untuk melihat wajah bekas suaminya.

“Hati saya pedih kerana dia melupakan saya selepas bertemu bapanya, malah bertambah pedih apabila kedua-duanya datang sekali,” katanya.

myMetro
2 Apr 2011


‘Ibu usah begitu’

KUALA LUMPUR: “Jangan hantar anak ke neraka dan maafkan semua perbuatan anak sebelum terlambat,” nasihat pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah mengulas isu perselisihan faham antara anak dan ibu yang berlaku di Sungai Abong, Muar, baru-baru ini.

Katanya, ibu jangan kecil hati dan perlu memaafkan anak kerana syurga anak lelaki terletak di bawah tapak kaki ibu.

“Ibu jangan sesekali mendoakan yang tidak baik untuk anak kerana ia menentukan kehidupan anak di dunia dan akhirat. “Jangan biarkan anak derhaka dan menjadi ahli neraka.

“Maafkan anak jika perbuatannya menyinggung perasaan dan tarik balik setiap doa yang tidak baik pernah diucapkan,” katanya.

Dia berkata, ibu bapa perlu sedar bahawa hubungan antara mereka dan anak tidak pernah putus, walaupun mereka telah berpisah.

Justeru itu, pasangan yang sudah bercerai jangan saling memburukkan, sebaliknya bercerita mengenai kebaikan pasangan masing-masing.

“Jika pasangan terus bercerita buruk, anak akan hidup dalam keadaan tidak normal dan tertekan,” katanya.

Muka depan Harian Metro kelmarin melaporkan, pengakuan anak yang disisihkan ibunya kerana masih berhubung dengan ayah kandung (bekas suami) yang sudah lama bercerai.

Difahamkan, ibunya tersinggung dengan perbuatan anak dan merasakan pengorbanannya tidak dihargai.

Fadzillah berkata, perbuatan anak lelaki yang mencari bapa kandungnya itu adalah baik dan sememangnya tugas anak menjaga kedua-dua ibu bapa.

“Ibu perlu bangga kerana mendapat anak yang soleh, ingat kepada ibu bapa dan tanggungjawabnya.

“Saya menasihatkan ibu tersebut supaya memaafkan anak lelakinya dan bekas suami serta berbaik semula.

“Maafkan orang lain, supaya orang dapat memaafkan kita dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, hubungan anak dan ayah tidak dapat dipisahkan sampai bila-bila.

Pada masa yang sama, hubungan dengan ibu perlu dipelihara supaya kekal menjadi anak yang soleh dan disenangi ibu bapa.

“Dalam kes ini, anak seharusnya bertindak sebagai orang tengah mendamaikan ibu bapa yang sudah berpisah dan hidup bermusuhan.

“Anak perlu menggunakan akal untuk mengeratkan kembali hubungan ibu bapa, tanpa mengguris perasaan mana-mana pihak. Gunakan bahasa dan perbuatan yang baik untuk menjaga perasaan kedua-duanya,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu ingat bahawa perpisahan mereka sudah ditakdirkan, tetapi jangan babitkan anak-anak dalam permusuhan mereka.

myMetro
4 Apr 2011


‘Azli...mak minta maaf’

MUAR: Bagaikan mendapat hidayah, hubungan yang keruh antara anak dan ibu sejak belasan tahun lalu kini jernih apabila Salmah, 54, (bukan nama sebenar) sedia memaafkan anaknya, Azli, dan menerima kehadiran menantunya yang tidak direstui sebelum ini.

Ketika ditemui Harian Metro semalam, Salmah sambil mengalirkan air mata merayu anaknya kembali ke pangkuan keluarga yang sudah lama ditinggalkan.

“Azli...mak minta maaf... pulanglah dan kita lupakan apa yang berlaku sebelum ini. Mak tahu mak salah, mak dah tua, sebelum apa-apa berlaku biarlah kita bina semula keluarga ini.

“Mak teringin sangat nak cium cucu (anak Azli berusia sebulan), jadi pulanglah semula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan disebabkan wajah seiras bapa dan hubungan akrabnya dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibunya, seorang lelaki mendakwa hidupnya penuh kesukaran akibat dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.

“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat,” antara ungkapan yang dihamburkan ibu (Salmah) kepada Azli, 28, dari Sungai Abong, di sini.

Azli mendakwa dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras bapa yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.

Salmah berkata, sejak kisah dia sekeluarga disiarkan akhbar ini, pada mulanya marah namun apabila membaca pendapat ahli agama (yang disiarkan semalam) hatinya tersentuh lalu menangis sendiri.

Lebih memeritkan lagi, katanya, dia cuba menghubungi Azli namun panggilannya tidak berjawab.

“Justeru saya menghubungi awak (wartawan) untuk membantu saya mencari Azli semula. Saya merayu dia pulang semula ke pangkuan keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai wajah seiras Azli dan bekas suaminya, Salmah berkata dia menyesal kerana persamaan fizikal dijadikan punca membenci anaknya itu.

Menurutnya, biarlah kisah duka satu masa dulu dijadikan sempadan dan apa yang penting dia mahu membaiki semula hubungannya bersama anak dan menantu.

“Saya tidak mahu mati dalam keadaan bergelumang dosa dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Azli ketika dihubungi berkata, dia akan menemui ibu kandungnya itu dalam masa terdekat dan mempelawa wartawan merakam detik gembira itu nanti.

myMetro
5 Apr 2011