Sunday, April 24, 2011

Pagar makan padi

MUAR – Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah perumpamaan yang layak diberikan kepada enam warga Indonesia yang sanggup mencuri buah sawit milik majikannya sendiri.

Kegiatan mereka selama ini terbongkar apabila ditahan polis ketika sedang leka mencuri buah sawit di ladang Sungai Pulai berhampiran Jalan Batu Pahat di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kesemua suspek yang ditahan adalah pekerja tetap di ladang milik majikannya.

Menurutnya, kesemua suspek menjadikan waktu selepas bekerja sekitar jam 5 hingga 7 petang untuk melakukan operasi itu untuk mengelakkan kegiatannya dikesan majikan.

“Malahan, suspek turut dikenal pasti aktif melakukan jenayah mencuri buah sawit di beberapa ladang sekitar Parit Jawa.

“Hasil maklumat daripada ramai pekerja ladang di sekitar kawasan ini, pihak polis menjalankan gerakan mengesan dan berjaya memberkas mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran ladang berkenaan namun gagal.

Polis turut merampas kelengkapan untuk mencuri buah sawit seperti lima sabit, sebuah kereta sorong, empat besi cucuk dan sebuah trak yang dianggarkan bernilai RM5,000.

“Suspek yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun itu didapati mempunyai permit yang sah untuk bekerja di negara ini.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kira-kira lima kes yang dilaporkan mengenai kecurian buah sawit di daerah Muar,” katanya.

Kumpulan tersebut bergiat aktif sejak Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sinar Harian
24 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment