Friday, April 22, 2011

Lelaki mabuk bakar kereta

MUAR - Gara-gara tidak berpuas hati, seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila tergamak membakar sebuah kenderaan jenis Proton Gen2 milik rakannya dekat Jalan Sakeh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai baru pulang dari sebuah kelab malam yang terletak di sekitar bandar di daerah ini.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit yang berada di bawah pengaruh alkohol sudah memulakan pertengkaran mulut di salah sebuah kelab yang mereka kunjungi.

Bagaimanapun, pertengkaran itu berlarutan sehingga di luar kelab tersebut apabila salah seorang daripada lelaki berkenaan cuba melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Gen2 miliknya.

Suspek yang tidak berpuas hati bertindak mengejar rakannya dengan menggunakan kenderaan lain.

Rakan suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bahu Jalan Sakeh dan cuba menyelesaikan perbalahan tersebut.

Namun suspek bertindak ganas dengan membakar kereta rakannya itu sebelum kedua-duanya bertindak melarikan diri.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 47, berkata, dia terkejut apabila terlihat kepulan asap serta api yang marak dari sebuah kereta ketika melalui jalan berkenaan pada awal pagi kelmarin.

“Saya segera menelefon bomba kerana bimbang masih ada penumpang dalam kenderaan terbabit.

“Kira-kira 10 minit kemudian, bomba sampi di tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan namun kenderaan terbabit sudah rentung,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke hadapan untuk memberikan keterangan untuk membantu polis bagi memburu suspek yang terlibat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan bencana menggunakan api yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian
22 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment