REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Wednesday, July 27, 2011

Dua kereta bertembung

MUAR - Seorang lelaki dan wanita maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dalam kejadian kemalangan ngeri di Jalan Salleh awal pagi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi, mangsa yang terbunuh ialah Chow Sow Kew, 41, dan Koh Saw Meng, 41.

Sow Kew yang berasal dari Yong Peng, Batu Pahat datang ke Muar dengan menaiki kereta Proton Wira bersama seorang rakannya.

Dipercayai kenderaan Sow Kew dari arah Muar menghala ke Jalan Pintasan Muar telah bertembung dari arah bertentangan dengan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Saw Meng.

Manakala, Saw Meng dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Abong selepas makan malam bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran Taman Putera Indah, Jalan Salleh, di sini.

Akibat pertembungan tersebut, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Sementara itu, rakan Sow Kew yang tidak dikenal pasti identitinya kini dirawat di HPSF berikutan kecederaan yang dialaminya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
26 Jul 2011

Monday, July 25, 2011

Utamakan keselamatan

MUAR - Mangsa ribut di Bakri dinasihatkan supaya peka terhadap tahap keselamatan di persekitaran rumah termasuk menebang pokok uzur supaya insiden pokok tumbang menghempap rumah tidak berulang lagi.

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib berkata, dalam kejadian ribut yang melanda Bakri baru-baru ini mendapati banyak rumah mengalami kerosakan disebabkan dihempap pokok.

Menurutnya, meskipun bencana ribut tidak dapat dielakkan, tetapi jumlah kerosakan boleh dikurangkan dengan menebang pokok-pokok besar dan uzur berdekatan rumah.

“Kebanyakan penduduk kampung gemar menanam pokok buah-buahan dalam kawasan rumah.

“Namun memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, maka pokok-pokok ini perlu ditebang segara sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika berucap sebelum menyampaikan cek bantuan ribut kepada 35 penerima di Dewan Komuniti UMNO Bakri, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut meminta penerima supaya tidak membangkitkan isu pemberian sumbangan tersebut hanya kerana jumlah yang diterima oleh mereka tidak sama.

“Ini kerana bantuan yang mereka terima adalah berdasarkan jumlah kerugian yang ditanggung akibat kerosakan yang berlaku.

“Tiada istilah diskriminasi dalam pengagihan ini dan kerajaan bertindak adil membantu rakyat menerusi bantuan-bantuan yang disalurkan,” katanya.

Menurutnya, bantuan tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendahulukan rakyat terutamanya yang membabitkan kebajikan.

“Melalui cara ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan rakyat bahawa hanya kerajaan BN mampu membela nasib rakyat.

“Setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukkan yang besar untuk projek pembangunan demi memastikan rakyat menikmati kesenangan secara adil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peranan wakil rakyat hanya untuk membela rakyat.

“Sebagai negara yang terdiri daripada berbilang kaum, perkara yang boleh menyentuh sensitiviti rakyat perlu dielakkan supaya keharmonian dan perpaduan dapat dikekalkan,” katanya.

Justeru, rakyat diminta supaya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan agar negara ini terus diperintah oleh BN.

Sinar Harian
25 Jul 2011

Kelantan hormati kehebatan MP Muar

KOTA BHARU – Dilabelkan pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kali ini, Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail ternyata tampak kurang selesa dengan gelaran tersebut, sebaliknya mengambil pendekatan merendah diri menjelang perlawanan akhir Piala Presiden menentang Majlis Perbandaran (MP) Muar, malam esok.

Biarpun bahang tekanan semakin terasa, Zahasmi bagaimanapun mengakui beliau lebih gemar mengambil sikap berhati-hati, sambil menghormati keupayaan pasukan MP Muar yang berjaya mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir edisi musim ini.

“Ini merupakan perlawanan akhir dan saya bersetuju dengan pendapat mengatakan bahawa kedua-dua pasukan yang beraksi dalam final musim ini sebenarnya layak digelar pasukan terbaik.

“Bagi saya, kedua-dua sebenarnya mempunyai peluang yang seimbang untuk bergelar juara. Hanya pasukan yang meminimumkan kesilapan, dan memanfaatkan setiap peluang terhidang, maka pasukan itulah layak dinobatkan sebagai juara.

“Dalam bola sepak apa-apa pun boleh terjadi, apatah lagi dalam kemuncak perlawanan akhir seperti ini. Jurulatih mana yang tidak mahu menjulang piala, apatah lagi bukannya mudah bagi kita menempatkan diri dalam perlawanan akhir kali ini. Sudah pasti saya mengimpikan kejuaraan untuk pasukan Kelantan,” katanya.

Tidak mahu bermain psikologi, Zahasmi mengakui beliau sebenarnya tidak mengetahui kekuatan pasukan MP Muar yang dibimbing bekas pemain Negeri Sembilan, Rosli Omar dan secara jujur, tidak berminat untuk mencari kelemahan pasukan berstatus kelab dari negeri selatan tanah air itu.

“Kita perlu menghormati keupayaan pasukan MP Muar. Apabila mereka layak ke perlawanan akhir ini, bermakna mereka bukan calang-calang pasukan sebenarnya. Soal kekuatan atau kelemahan mereka itu kita ketepikan.

“Kita hanya memberi fokus terhadap persiapan kita, dan saya berjanji akan buat yang terbaik. Kita akan menggunakan segala kelebihan yang ada pada pasukan kita. Bagi saya, tidak ada percaturan khas terhadap pertemuan ini sebaliknya kita tetap menganggap ianya sama seperti perlawanan yang lain cuma bezanya ini perlawanan akhir.

“Peluang beraksi dalam perlawanan akhir di hadapan penyokong sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sehubungan itu, saya berharap para penyokong setia Kelantan hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pemain kita malam esok,” katanya.

Kelantan dan MP Muar akan berentap bagi memburu kejuaraan dengan pasukan bergelar juara bakal menjulang trofi kejuaraan dan wang tunai RM100,000 sementara naib juara bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Sinar Harian
25 Jul 2011

Thursday, July 21, 2011

Ibu rayu anak gadis pulang

MUAR - Seorang ibu, Tan Poh Kee, 49, merayu anak gadisnya, Lim Wee Bun, 15, yang meninggalkan rumah sejak seminggu lalu, supaya pulang segera ke pangkuan keluarga.

Poh Kee berkata, dia sangat terkejut dengan tindakan drastik anaknya itu kerana sebelum kejadian tiada sebarang konflik berlaku antara mereka.

Menurutnya, pada 12 Julai lalu, kira-kira jam 7 pagi, Wee Bun didapati keluar rumah untuk pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Batu Pahat.

“Namun, Wee Bun tidak berpakaian sekolah sebaliknya hanya memakai baju dan berseluar pendek warna hitam serta berselipar.

“Melihat cara berpakaiannya pada pagi itu membuatkan saya berasa tidak sedap hati dan nekad mengekori van sekolah yang dinaikinya,” katanya ketika di temui di Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, semalam.

Poh Kee berkata, bagaimanapun, setibanya di kawasan sekolah dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa anaknya tidak hadir ke sekolah.

“Saya jadi buntu dan berusaha bertanya kepada rakan Wee Bun di sekolah tetapi kebanyakan mereka tidak tahu ke mana dia menghilangkan diri,” katanya.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi tiada sebarang jawapan,” katanya.

Menurutnya, dia juga menghubungi saudara mara untuk bertanya perihal Wee Bun tetapi tidak berhasil.

“Setelah tiga hari Wee Bun masih tidak pulang ke rumah, saya membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa.

“Saya tidak menolak kemungkinan Wee Bun mengikut teman lelakinya,” katanya.

Poh Kee berkata, dia merayu Wee Bun supaya segera pulang ke pangkuan keluarga kerana bimbang dengan keselamatannya dan mahu anaknya menghabiskan persekolahannya.

“Saya mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat anak berkaitan anak saya supaya segera hubungi talian 0162431567,” katanya.

Sinar Harian
21 Jul 2011

Friday, July 15, 2011

Anak cari bapa kandung

MUAR – Seorang wanita terpaksa menunda majlis pernikahannya berikutan gagal mengesan bapa kandungnya, Ngadiman Dollah, 50.

Aishah Ngadiman, 23, berkata, majlis :pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan Julai ini tidak dapat dilaksanakan sebagaimana perancangan asal.

“Kini, saya menetap bersama keluarga angkat di Kampung Teluk Kemang, Sungai Terap, Muar.

“Manakala, keluarga kandung tinggal di Jalan Pantai Emas Klebang berhampiran Klebang Besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak lagi tinggal sebumbung bersama keluarganya sejak Januari lalu, kerana bekerja di daerah ini.

“Pada 28 Jun lalu, saya bersama bakal suami, Kasim Yahya, 31, ke Melaka untuk mencari keluarga kandung.

“Namun, saya terkejut setelah mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni selain ditumbuhi lalang dan semak,” katanya.

Aishah berkata, dia menjadi bingung apabila keluarga menghilang secara tiba-tiba, tambahan pula tarikh pernikahannya semakin hampir.

“Kami turut berusaha bertanya kepada jiran terdekat bagi mendapatkan alamat terbaru keluarga, namun mereka juga tidak mengetahui keluarga saya sudah berpindah dari kampung berkenaan.

“Kasim pernah menelefon keluarga saya untuk meminta sijil akuan nikah ibu bapa saya dan mereka turut berjanji akan menghantar dokumen berkenaan melalui pos, namun sehingga kini saya masih belum menerimanya,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, dia tidak berputus asa menjejaki keluarganya dengan melakukan pelbagai usaha.

“Ini termasuk mengupah saudara terdekat untuk menjejaki keluarganya tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan positif,” katanya.

Walaupun begitu katanya, dia berharap bapanya dapat tampil bagi melancarkan proses pernikahan dan dia turut merindui keluarganya yang terpisah hampir lima bulan lalu.

“Saya mohon kerjasama daripada ayah agar dapat menghubungi saya di talian 0176099571 atau datang ke Pejabat Agama Islam Daerah Muar dengan segera bagi memudahkan urusan pernikahan kami,” katanya.

Sementara itu, Kasim berkata, dia turut tidak ketinggalan membantu Aishah menjejaki keluarganya dengan mencari di sekitar Johor dan Melaka dan pernah beberapa kali membuat panggilan telefon kepada bakal mentua tetapi tidak dijawab.

Sinar Harian
15 Jul 2011

Monday, July 11, 2011

Kecewa suami curang


MUAR: “Panggil suami aku datang sini, kalau tidak aku bunuh diri,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Suriani, 30, ketika cuba terjun dari Jambatan Kedua Muar di sini, kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Tindakan nekad wanita berkenaan mendapat perhatian orang awam yang selepas itu melaporkan kejadian kepada polis.
Kira-kira lima minit kemudian, polis tiba di lokasi lalu cuba memujuk wanita berkenaan supaya tidak meneruskan hajatnya.

Bagaimanapun, wanita bersenjatakan sebilah pisau itu beberapa kali meminta suaminya datang ke tempat kejadian.

Katanya, jika permintaan itu tidak dipenuhi, dia akan terjun dari jambatan selain mengelar lehernya menggunakan pisau di tangannya.

Difahamkan, wanita terbabit bertindak sedemikian selepas mengetahui hubungan sulit suaminya bersama seorang wanita lain.

Berikutan itu, dia yang tidak berpuas hati melarikan diri dari rumahnya di Tanjong Agas dekat sini, sebelum menuju ke jambatan berkenaan.

Kakaknya, yang dipanggil polis bagi memujuknya terlebih dulu tiba di lokasi, bagaimanapun wanita itu gagal ditenteramkan, malah tetap mahu suaminya datang untuk menyelesaikan masalah.

Selepas beberapa kali mengugut mahu membunuh diri, akhirnya polis akur dengan permintaan Suriani dan mencari suaminya.

Kira-kira 10 minit kemudian, suaminya berusia sekitar 30-an tiba di lokasi dan berjaya memujuk isterinya bertenang serta menyelesaikan masalah melalui perbincangan.

PUJUK...Suriani dipujuk suaminya selepas cubaan membunuh diri di Jambatan Kedua Muar, petang semalam.

“Kita selesaikan perkara ini cara baik,” teriak lelaki itu dengan jarak kira-kira 50 meter dari isterinya.

Suriani yang berpuas hati dengan pujukan suaminya, kelihatan tenang sebelum turun dari palang jambatan dan menyerah diri kepada polis.

Suami isteri berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar mengapa wanita terbabit mahu membunuh diri.

Pada masa sama, katanya, polis merampas sebilah pisau digunakan wanita itu.

“Kami percaya kejadian berpunca masalah peribadi dirinya dan suami,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sekyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh diri di mana jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

myMetro
11 Jul 2011

Friday, July 8, 2011

Polis Serbu Taska, Nasib Tebusan Belum Diketahui

MUAR: Sepasukan polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman bertindak menyerbu pusat asuhan kanak-kanak yang menjadi tempat seorang lelaki menahan kira-kira 30 kanak-kanak dan empat guru kira-kira 3.45 petang Khamis.

Wartawan Bernama yang berada di lokasi turut mendengar bunyi tembakan, namun sehingga pukul 4.20 petang ini nasib lelaki tersebut dan mereka yang menjadi tebusan belum diketahui.

Bagaimanapun wartawan Bernama dapat mendengar suara nyanyian kanak-kanak dari dalam rumah banglo dua tingkat itu.

Drama tebusan itu bermula pukul 9.30 pagi Khamis apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul menceroboh ke pusat asuhan Serikids di Taman Sungai Abong, Jalan Sakeh di sini.-BERNAMA

7 Jul 2011


Lelaki tahan murid tadika minta pistol

MUAR: Sehingga jam 3 petang tadi, polis masih berusaha memujuk seorang lelaki bersenjata parang yang menjadikan empat guru dan kira-kira 30 murid Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini sebagai tebusan sejak pagi tadi.

Dua wanita dipercayai saudara suspek turut berada di tempat kejadian bagi memujuk beliau melepaskan mangsa dan menyerah diri.

Difahamkan antara tuntutan lelaki berusia 30-an itu ialah supaya diberikan sepucuk pistol automatik.

Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berada di tempat kejadian sejak jam 1.18 petang.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, turut berada di situ.

Berita Harian
7 Jul 2011


Drama Tebusan: 30 Kanak-kanak, Empat Guru Berjaya Diselamatkan


30 Kanak-kanak dan empat guru yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul besi di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Serikids di Sungai Abong, Muar berjaya diselamatkan oleh pasukan Unit Tindakan Khas pada petang Khamis.

MUAR: Drama tebusan yang mendebarkan penduduk sekitar Sungai Abong di sini berakhir apabila polis berjaya menyelamatkan 30 kanak-kanak tadika yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul besi, awal pagi Khamis setelah melepaskan gas pemedih mata ke kawasan itu sebelum menyerbu masuk ke banglo itu.

Polis mengesahkan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu ditembak.

Kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Turut diselamatkan ialah empat guru tadika terbabit.

Terdahulu, seorang lelaki bersenjatakan tukul besi dilaporkan menahan 30 kanak-kanak tadika sebagai tebusan di Sungai Abong di sini.

Lelaki itu mendesak polis menyerahkan pistol atau kanak-kanak terbabit dibunuh.

Bagaimanapun selepas seorang pakar psikiatri, Dr Lau Keen Lee bercakap dengan suspek dari luar banglo dua tingkat tersebut, lelaki itu kembali tenang.

“Dia sekarang lapar dan mahukan makanan," katanya pada Khamis sambil menambah bahawa mereka berada di aras atas banglo berkenaan.

Semasa makanan diambil, dua trak Unit Tindakan Khas (UTK) memasuki kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Muar, Asisten Supritendan Suhaimi Ahmad memberitahu kaum keluarga dan media supaya menunggu di luar kawasan banglo.

Katanya, suspek mungkin akan takut jika terlalu ramai yang berhimpun dekat kawasan berkenaan.

Pasukan UTK menutup laluan menghala ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Serikids itu pada pukul 2 petang.

Orang ramai kelihatan berkumpul di sekeliling jalan itu dan suspek dilaporkan mengunci semua pintu di banglo tersebut.

Dua buah ambulans turut berada dalam keadaan siap sedia di luar perkarangan tadika itu.

Pegawai polis masih lagi berbincang dengan suspek tetapi sehingga kini, masih belum ada laporan mengenai kanak-kanak yang cedera.

Polis masih lagi mengepung kawasan itu.

Pada pukul 3.45 petang, polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan itu dan memasuki banglo tersebut.

mStar
7 Jul 2011


Dia ugut bunuh kami: Guru tadika

MUAR: "Cikgu bunuh saya, sebelum saya bunuh cikgu dan semua kanak-kanak ini."

Itu antara ugutan lelaki, berusia 30 tahun yang menahan 30 orang kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dan empat orang guru wanita dalam satu drama tebusan selama lima jam di Taman Asuhan Kanak-kanak Serikids, Taman Cemerlang, Sungai Abong di sini hari ini.

Lelaki yang dipercayai seorang penagih dadah itu membuat ugutan tersebut ketika pengetua taman asuhan itu, Tee Sew Tuan cuba memujuknya menyerah diri kepada polis.

"Dia meminta pengetua membunuhnya, kalau tidak dia akan membunuh kami semua," cerita Norazah Mohd Shah, 23, seorang daripada empat orang guru wanita yang turut dijadikan tebusan lelaki terbabit.

Beliau yang masih dalam ketakutan ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini lewat petang ini, berkata lelaki itu yang bersenjatakan sebilah parang dan penukul, pada mulanya kelihatan tidak begitu agresif.

"Dia benarkan kanak-kanak pergi buang air ke tandas dan minum air," katanya yang kelihatan letih lesu dan masih trauma dengan tragedi itu.

Norazah berkata, beliau dan tiga guru lain, membawa 30 kanak-kanak itu naik ke tingkat atas, masuk ke sebuah bilik dan menguncikan pintu untuk mengelak daripada dihampiri lelaki berkenaan.

"Kami menahan pintu bilik dengan kerusi untuk menghalang lelaki itu masuk dan mengancam keselamatan kami," katanya.

Sebelum itu, katanya, beliau nampak lelaki terbabit sudah berada dalam bangunan taman asuhan itu pada kira-kira 9.30 pagi dengan memegang sebilah parang panjang dan penukul.

Katanya, beliau tidak tahu bagaimana lelaki itu masuk ke premis berkenaan.

Beliau bersyukur kerana mereka semua selamat manakala lelaki terbabit berjaya diberkas selepas terkena sedas tembakan di dahi ketika menyembur alat pemadam api ke arah pasukan Unit Tindakan Khas polis yang merempuh masuk ke premis berkenaan pada 3.45 petang. - BERNAMA

7 Jul 2011


Semua tebusan di tadika selamat

MUAR: Semua guru dan murid Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini berjaya diselamatkan polis dalam serbuan pada jam 3.41 petang tadi.

Lelaki bersenjata parang yang menjadikan mereka sebagai tebusan sejak pagi tadi dilaporkan parah akibat ditembak di kepala.

Guru dan murid terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman Jalaluddin, berkata lelaki terbabit pula berada dalam keadaan kritikal selepas terkena sedas tembakan di kepala dan dia juga dihantar ke sama untuk rawatan.

Terdahulu, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman bertindak menyerbu banglo dua tingkat itu selepas usaha memujuk lelaki terbabit membebaskan tebusan dan menyerah diri gagal.

Drama tebusan itu bermula 9.30 pagi tadi apabila lelaki yang bersenjatakan parang menceroboh tadika berkenaan.

Berita Harian
7 Jul 2011


Suspek nampak baik tapi sering berubah laku

MUAR 7 Julai - "Lelaki itu nampak macam baik. Dia boleh dukung kanak-kanak, tetapi tiba-tiba dia boleh arahkan seorang guru memukul kepalanya dengan tukul besi. Jika tidak, murid-murid tadika akan dicederakan."

Detik-detik mencemaskan itu antara pengalaman yang dilalui oleh Pengetua Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids, Khoo Chon Den, 50, serta tiga guru dan 30 kanak-kanak lain yang menjadi tebusan seorang lelaki kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.

Katanya, disebabkan semua guru takut untuk memukul suspek dengan tukul itu, kesemua yang berada di dalam rumah itu dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat atas tadika.

Menurut Chon Den, kesempatan berada dalam bilik itu digunakan untuk dia mengunci pintu itu dari dalam dan suspek hanya mampu berlegar-legar di luar bilik tersebut tanpa dapat mencederakan sesiapa.

Dia memberitahu, suspek yang berusia 40 tahun itu menceroboh masuk pukul 9.15 pagi melalui salah satu pintu belakang tadika tersebut.

"Dengan membawa tukul, dia meminta kami mengikut arahannya dan mengugut akan mencederakan kanak-kanak jika tidak memberi kerjasama," katanya.

Dia bersyukur kesemua selamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada polis yang menjalankan tugas dengan sempurna.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk, Soh Yoke Chong, dia terpinga-pinga apabila dihalau pergi oleh guru tadika semasa mahu menghantar anaknya ke tadika itu.

"Tiap-tiap hari apabila saya menghantar anak, cikgu akan datang membuka pintu pagar, tetapi hari ini tiada. Apabila dia keluar, guru itu memberitahu kunci tiada dan tadika ditutup sambil memberi isyarat mata.

"Sebab tidak berpuas hati, saya telefon cikgu itu dan kali ini lelaki itu keluar dan menyuruh anak saya ditukarkan ke tadika lain," katanya.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, wanita itu menghubungi suaminya yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Utusan
7 Jul 2011


Drama tebusan tadika Sungai Abong

MUAR 7 Julai - Nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan dalam kejadian tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan parang di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai kurang siuman dan seorang penagih dadah itu menceroboh masuk tadika yang terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat itu kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum mengurung semua penghuninya.

Pihak polis dan ahli keluarga lelaki tersebut yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10 pagi cuba berunding dengan suspek meminta supaya semua tebusan dibebaskan, namun gagal.

Setelah rundingan gagal, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menyerbu masuk ke dalam tadika itu pukul 3.40 petang dan suspek telah ditembak di bahagian kepala mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam ini.

Insiden tebusan tersebut berakhir pada pukul 4 petang dengan kesemua tebusan iaitu empat guru wanita dan 30 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.

Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.

Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu.

"Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.

"Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik," katanya.

Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.

Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, banyak kerusi telah diselerakkan di bahagian tangga oleh suspek dan dia yang berada di tingkat atas juga bertindak menghalang kemaraan pihak polis dengan menyembur alat pemadam api.

Katanya, suspek cuba bertindak agresif dengan menggunakan tukul sebagai senjata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai bahagian kepalanya menyebabkan dia mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Suspek disahkan meninggal dunia di hospital pukul 9.15 malam ini.

"Mengenai seorang kanak-kanak yang dikatakan telah dicederakan, suspek telah berbohong mengenainya semasa rundingan dilakukan dan kesemua tebusan adalah selamat tanpa kecederaan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Utusan
8 Jul 2011


Ibu bapa lega murid selamat

MUAR 7 Julai - Ibu bapa kanak-kanak yang menjadi tebusan dalam kejadian di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini hari ini, melahirkan rasa lega dan syukur apabila semua mangsa selamat tanpa kecederaan.

Kesemua 30 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun serta empat orang guru itu berjaya diselamatkan kira-kira pukul 4 petang selepas sepasukan polis menyerbu masuk ke dalam tadika itu.

Salah seorang bapa kepada kanak-kanak yang menjadi tebusan, Tan Cheak Tan, 40, berkata, dia bimbang mengenai keselamatan anaknya, Tan Ying Lee, 4, sepanjang insiden tebusan selama lebih lima jam itu.

"Bila semua orang sudah dibawa keluar, pada masa itu, saya baru dapat rasa lega kerana anak saya dan semua orang selamat," katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11 pagi.

Seorang lagi bapa kanak-kanak tebusan, Low Mei Tang, 32, dia tidak tentu arah sepanjang drama tebusan tersebut dan hanya mampu berdoa untuk keselamatan anaknya, Goh Jie Seng, 3.

"Pihak polis datang begitu ramai dan keadaan begitu mencemaskan, namun saya lega kerana semuanya berjaya diselesaikan dan semua orang selamat," katanya.

Kebimbangan sama turut dikongsi sama oleh bapa kepada salah seorang guru tadika itu, Mohd. Sah Abdul Karim, 58, yang tidak menyangka kejadian tersebut boleh berlaku di tempat anaknya mengajar.

"Anak saya, Nor Azah, 22, baru mengajar di tadika itu beberapa bulan lalu dan saya terkejut apabila diberitahu ada orang kurang siuman mengurung semua orang di dalam tadika itu," katanya.

Katanya, setelah menunggu berjam-jam dengan penuh debaran, dia bersyukur anaknya berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

Utusan
8 Jul 2011


Tawan tadika

ANGGOTA polis membawa keluar sebahagian daripada 30 murid Tadika Serikids, di Taman Sungai Abong Cemerlang Muar yang menjadi tebusan selama tujuh jam. - Foto AP

30 murid, empat guru hadapi episod ngeri 7 jam jadi tebusan penagih dadah

MUAR: Isyarat dan aksi mencurigakan yang ditunjukkan empat guru yang ketika itu ditawan seorang lelaki bersenjata parang dan tukul bersama 30 murid tadika Serikids di sini, pagi semalam, menyelamatkan mereka apabila ibu bapa yang menyedari isyarat itu menghubungi polis.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan selama enam jam bagi menyelamatkan mereka dan berjaya menembak lelaki yang dipercayai penagih dadah itu.

Lelaki terbabit yang cedera parah di kepala dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk menerima rawatan dan mati pada jam 9.15 malam tadi.

Kejadian di Taman Sungai Abong Cemerlang kira-kira jam 9.45 pagi itu, berakhir tepat jam 3.41 petang, selepas sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis menyerbu masuk tadika terbabit selepas lelaki itu enggan menyerah diri.

Lelaki itu disyaki orang yang sama dalam serangan dua tadika di bandar ini, menggunakan tukul besi pada Mac tahun lalu dan Januari 2009, menyebabkan tiga murid cedera parah berikutan modus operandinya sama.

Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai menceroboh tadika itu dengan memanjat pagar sebelum mengugut dan mengurung semua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas banglo tadika berkenaan. Suspek kemudian mengunci semua pintu rumah menggunakan mangga yang dibawanya sendiri.

Kejadian itu disedari ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke tadika itu, sebaliknya disuruh membawa anak mereka pulang selain memberi isyarat dan menunjukkan aksi mencurigakan dan memberi alasan semua pintu tadika berkunci.

Curiga dengan alasan itu kerana biasanya semua guru di situ mesra, ibu bapa berkenaan menghubungi polis. Sepasukan anggota polis dihantar membuat pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, mendapati 34 mangsa menjadi tebusan seorang lelaki di dalam banglo berkenaan.

Polis cuba berbincang dan memujuk suspek supaya membebaskan semua mangsa tetapi tidak berhasil, menyebabkan anggota UTK dihantar ke tempat kejadian bagi membantu usaha membebaskan semua tebusan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata usaha memujuk yang turut disertai dua saudara lelaki itu supaya membebaskan semua mangsa tidak berhasil, menyebabkan serbuan terpaksa dilakukan.

"Polis mengambil masa lama untuk menyerbu tadika itu kerana perlu memastikan semua mangsa selamat. Serbuan hanya dibuat selepas mereka dikesan dikumpul dalam sebuah bilik di tingkat atas," katanya.

Katanya, polis terpaksa mengalihkan kira-kira 30 kerusi yang diletakkan suspek pada tangga tadika sebelum disedari lelaki itu yang kemudian menyembur alat pemadam api dan menyerang dengan penukul.

"Berikutan itu, polis melepaskan tembakan menyebabkan suspek terkulai dan segera dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan kritikal," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengucapkan syabas kepada polis kerana tindakan pantas memberkas penjenayah dan menyelamatkan semua murid dan guru tadika berkenaan.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan polis melepaskan tembakan dilakukan demi kepentingan dan keselamatan kanak-kanak itu.

"Dalam tindakan itu (tembakan), suspek telah menyerang polis yang cuba menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum berlaku pergelutan dan tembakan," katanya.

Berita Harian
8 Jul 2011


Halusinasi akibat ketagih syabu

MUAR: Pengambilan dadah terlalu banyak dipercayai jenis ice dan syabu disyaki menyebabkan lelaki yang menyerang dan menawan 30 kanak-kanak dan empat guru di Pusat Asuhan dan Didikan Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini, mengalami Bipolar Disorder atau gangguan mental berhalusinasi hingga tidak boleh berfikir dengan waras.

Pakar Psikiatri yang membantu polis ketika cuba memujuk lelaki berkenaan dalam kejadian itu, Dr Lau Keen Lee berkata berdasarkan pertemuan dan rekod lampau lelaki itu, dia tidak menolak dakwaan suspek mengalami gangguan berkenaan akibat ketagihan dadah dialaminya.

Menurutnya, berdasarkan rekod lampau suspek ketagihan dadah dan punca lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana otaknya dirangsang kimia dadah dalam jangka masa panjang.

Katanya, penyakit dialami suspek dikategorikan sebagai mengamuk namun ia masih dalam kawalan berikutan lelaki itu tidak bertindak ganas serta agresif kepada mangsanya.

Menceritakan semula kejadian, Lau berkata dia menerima panggilan jam 10.30 daripada seorang rakan mengenai kes di pusat berkenaan lalu bergegas ke lokasi dan bertemu polis sebelum dibenarkan bersemuka dengan suspek bagi menenangkannya.

myMetro
9 Jul 2011


‘Maafkan adik saya’

MUAR: “Saya minta maaf,” kata Loi Hui Yen, 43, kakak kepada suspek lelaki yang menawan 30 kanak-kanak bersama empat guru di Pusat Penjagaan SeriKids di Taman Cemerlang dekat Sungai Abong di sini, Khamis lalu.

Loi memohon maaf kepada lima guru pusat jagaan berkenaan sambil menyifatkan tindakan adiknya, Loi Hui Chong, 40, disebabkan tekanan akibat dihina masyarakat setempat.

Sambil mengalirkan air mata, wanita berkenaan mengaku adiknya berusia 40 tahun selalu tertekan selepas keluar penjara sekitar tahun 2000 akibat penyalahgunaan dadah.

“Tujuan saya datang berjumpa cikgu hari ini untuk meminta maaf kepada mereka atas kesalahan yang dilakukan adik tempoh hari.

“Walaupun adik sudah tiada lagi, menjadi tanggungjawab kami meminta maaf bagi pihaknya kerana kalau dia masih hidup, saya percaya dia akan melakukan perkara sama,” katanya ketika ditemui di pusat penjagaan itu, pagi semalam.

myMetro
13 Jul 2011

Friday, July 1, 2011

Polis buru wanita bawa dadah bernilai RM766,450

JOHOR BAHRU 29 Jun – Polis memburu seorang wanita yang melarikan diri setelah dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM766,450 dibawanya bertaburan di atas jalan selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Muar-Pagoh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya yang mengenal pasti suspek kini turut mengesan pemilik kenderaan Toyota Vios itu yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki.

Katanya, heroin dirampas itu seberat 22.22 kilogram dengan nilai RM666,450 manakala syabu pula seberat 500 gram bernilai RM100,000.

“Heroin itu boleh digunakan untuk seramai 74,050 penagih manakala syabu tersebut untuk 1,700 penagih.
“Kita percaya dapat menahan suspek dalam masa terdekat kerana identitinya dikenal pasti walaupun berjaya melarikan diri pada hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kereta membawa dadah berkenaan terbabas selepas hilang kawalan kira-kira 100 meter dari tol Lebuh Raya Pagoh, Muar.

Suspek yang dikatakan tidak sempat mengutip dadah tersebut dan bimbang perbuatannya itu terbongkar bertindak melarikan diri.

Mohd. Mokhtar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988.

Dalam perkembangan berlainan, pihaknya menahan seramai 10 pekerja warga Bangladesh dan Vietnam kerana terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah rumah di Tanjung Agas, Sungai Mati, Muar, Ahad lalu.

Menurut beliau, pihaknya merampas dua bilah pisau pemotong daging yang digunakan dalam pergaduhan tersebut.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda.

Utusan
30 Jun 2011


Orang upahan lesap

JOHOR BAHRU: Misteri kereta Toyota Vios yang tersadai di tepi Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh di sini, pada 24 Jun lalu terungkai selepas polis menemui dadah jenis heroin dan syabu seberat 22.7 kilogram (kg) bernilai lebih RM700,000 di dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penemuan pada jam 11 pagi itu juga a menghalang perancangan sindiket berkenaan untuk membekalkan dadah kepada lebih 75,000 penagih.

“Dadah itu ditemui di dalam kereta Toyota Vios yang dibiarkan di tepi jalan kira-kira 100 meter dari Plaza Tol Pagoh.

“Pasukan peronda lebuh raya melakukan rondaan rutin apabila terlihat Toyota Vios yang dalam keadaan mencurigakan itu sebelum melakukan pemeriksaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Menurut beliau, kenderaan berkenaan dipercayai terbabas dan rosak sebelum pemandunya iaitu seorang wanita, melarikan diri dan dia kini sedang diburu.

Mokhtar berkata, pihaknya percaya wanita terbabit adalah orang upahan sindiket yang ditugaskan untuk membawa bekalan itu dari utara ke negeri ini.

“Heroin ditemui seberat 22.2 kg dan ia bernilai kira-kira RM666,450, syabu itu pula seberat 500 gram dan harga pasarannya mencecah RM100,000.

“Kenderaan itu turut disita bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi 07-2212999 bagi membantu siasatan.

myMetro
30 Jun 2011

Sorok barang tiruan dalam banglo




MOHD BASHA ABIDIN (kiri) bersama pegawai penguat kuasa memeriksa pelbagai beg tangan wanita berjenama yang didapati tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Salleh.


MUAR: Sebuah banglo di taman perumahan dekat Jalan Salleh di sini, dikesan menjadi stor transit beribu-ribu barangan tiruan bernilai lebih RM100,000 untuk diedarkan pasaran seluruh Johor dan sebahagian Pahang.

Kegiatan di banglo milik sebuah keluarga yang dipercayai beroperasi sejak kira-kira setahun lalu itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Muar diketuai Pegawai Penguat kuasa, Wan Asrol Wan Mahmud dan 10 anggota, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu penguat kuasa KPDNKK menemui pelbagai jenis barangan tiruan termasuk beg silang, beg pakaian, beg sandang, beg tangan, beg sekolah, beg duit dan topi menggunakan pelbagai jenama terkenal termasuk Levi's, Nike, Adidas, Diadora, Polo, Lotto, Luis Vitton, Manchester United, Chelsea dan Liverpool.

Ketua Cawangan PPDNKK Muar, Mohd Basha Abidin Ali, berkata susulan serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 70-an dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 30-an yang mempunyai hubungan keluarga dan dipercayai bekerja menguruskan barangan di banglo berkenaan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik banglo berkenaan dan dua lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan serta pengedaran barangan tiruan.

“Kumpulan itu dipercayai turut bertindak sebagai pengimport barangan tiruan dengan menjadikan banglo itu sebagai stor transit sebelum diedarkan kepada peniaga lain termasuk peniaga pasar malam sekitar Johor dan Pahang," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu turut membuat penghantaran terus kepada pembeli melalui perkhidmatan pos, selain ada juga pembeli yang datang sendiri ke banglo berkenaan untuk mendapatkan bekalan.

Mohd Basha Abidin berkata, kes itu adalah hasil daripada intipan kira-kira dua bulan sempena operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) yang dijalankan pasukannya di sekitar Muar.

Berita Harian
1 Jul 2011