MUAR: Sepasukan polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman bertindak menyerbu pusat asuhan kanak-kanak yang menjadi tempat seorang lelaki menahan kira-kira 30 kanak-kanak dan empat guru kira-kira 3.45 petang Khamis.
Wartawan Bernama yang berada di lokasi turut mendengar bunyi tembakan, namun sehingga pukul 4.20 petang ini nasib lelaki tersebut dan mereka yang menjadi tebusan belum diketahui.
Bagaimanapun wartawan Bernama dapat mendengar suara nyanyian kanak-kanak dari dalam rumah banglo dua tingkat itu.
Drama tebusan itu bermula pukul 9.30 pagi Khamis apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul menceroboh ke pusat asuhan Serikids di Taman Sungai Abong, Jalan Sakeh di sini.-BERNAMA
7 Jul 2011
Lelaki tahan murid tadika minta pistol
MUAR: Sehingga jam 3 petang tadi, polis masih berusaha memujuk seorang lelaki bersenjata parang yang menjadikan empat guru dan kira-kira 30 murid Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini sebagai tebusan sejak pagi tadi.
Dua wanita dipercayai saudara suspek turut berada di tempat kejadian bagi memujuk beliau melepaskan mangsa dan menyerah diri.
Difahamkan antara tuntutan lelaki berusia 30-an itu ialah supaya diberikan sepucuk pistol automatik.
Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berada di tempat kejadian sejak jam 1.18 petang.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, turut berada di situ.
Berita Harian
7 Jul 2011
Drama Tebusan: 30 Kanak-kanak, Empat Guru Berjaya Diselamatkan
MUAR: Drama tebusan yang mendebarkan penduduk sekitar Sungai Abong di sini berakhir apabila polis berjaya menyelamatkan 30 kanak-kanak tadika yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul besi, awal pagi Khamis setelah melepaskan gas pemedih mata ke kawasan itu sebelum menyerbu masuk ke banglo itu.
Polis mengesahkan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu ditembak.
Kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Turut diselamatkan ialah empat guru tadika terbabit.
Terdahulu, seorang lelaki bersenjatakan tukul besi dilaporkan menahan 30 kanak-kanak tadika sebagai tebusan di Sungai Abong di sini.
Lelaki itu mendesak polis menyerahkan pistol atau kanak-kanak terbabit dibunuh.
Bagaimanapun selepas seorang pakar psikiatri, Dr Lau Keen Lee bercakap dengan suspek dari luar banglo dua tingkat tersebut, lelaki itu kembali tenang.
“Dia sekarang lapar dan mahukan makanan," katanya pada Khamis sambil menambah bahawa mereka berada di aras atas banglo berkenaan.
Semasa makanan diambil, dua trak Unit Tindakan Khas (UTK) memasuki kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Muar, Asisten Supritendan Suhaimi Ahmad memberitahu kaum keluarga dan media supaya menunggu di luar kawasan banglo.
Katanya, suspek mungkin akan takut jika terlalu ramai yang berhimpun dekat kawasan berkenaan.
Pasukan UTK menutup laluan menghala ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Serikids itu pada pukul 2 petang.
Orang ramai kelihatan berkumpul di sekeliling jalan itu dan suspek dilaporkan mengunci semua pintu di banglo tersebut.
Dua buah ambulans turut berada dalam keadaan siap sedia di luar perkarangan tadika itu.
Pegawai polis masih lagi berbincang dengan suspek tetapi sehingga kini, masih belum ada laporan mengenai kanak-kanak yang cedera.
Polis masih lagi mengepung kawasan itu.
Pada pukul 3.45 petang, polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan itu dan memasuki banglo tersebut.
mStar
7 Jul 2011
Dia ugut bunuh kami: Guru tadika
MUAR: "Cikgu bunuh saya, sebelum saya bunuh cikgu dan semua kanak-kanak ini."
Itu antara ugutan lelaki, berusia 30 tahun yang menahan 30 orang kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dan empat orang guru wanita dalam satu drama tebusan selama lima jam di Taman Asuhan Kanak-kanak Serikids, Taman Cemerlang, Sungai Abong di sini hari ini.
Lelaki yang dipercayai seorang penagih dadah itu membuat ugutan tersebut ketika pengetua taman asuhan itu, Tee Sew Tuan cuba memujuknya menyerah diri kepada polis.
"Dia meminta pengetua membunuhnya, kalau tidak dia akan membunuh kami semua," cerita Norazah Mohd Shah, 23, seorang daripada empat orang guru wanita yang turut dijadikan tebusan lelaki terbabit.
Beliau yang masih dalam ketakutan ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini lewat petang ini, berkata lelaki itu yang bersenjatakan sebilah parang dan penukul, pada mulanya kelihatan tidak begitu agresif.
"Dia benarkan kanak-kanak pergi buang air ke tandas dan minum air," katanya yang kelihatan letih lesu dan masih trauma dengan tragedi itu.
Norazah berkata, beliau dan tiga guru lain, membawa 30 kanak-kanak itu naik ke tingkat atas, masuk ke sebuah bilik dan menguncikan pintu untuk mengelak daripada dihampiri lelaki berkenaan.
"Kami menahan pintu bilik dengan kerusi untuk menghalang lelaki itu masuk dan mengancam keselamatan kami," katanya.
Sebelum itu, katanya, beliau nampak lelaki terbabit sudah berada dalam bangunan taman asuhan itu pada kira-kira 9.30 pagi dengan memegang sebilah parang panjang dan penukul.
Katanya, beliau tidak tahu bagaimana lelaki itu masuk ke premis berkenaan.
Beliau bersyukur kerana mereka semua selamat manakala lelaki terbabit berjaya diberkas selepas terkena sedas tembakan di dahi ketika menyembur alat pemadam api ke arah pasukan Unit Tindakan Khas polis yang merempuh masuk ke premis berkenaan pada 3.45 petang. - BERNAMA
7 Jul 2011
Semua tebusan di tadika selamat
MUAR: Semua guru dan murid Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini berjaya diselamatkan polis dalam serbuan pada jam 3.41 petang tadi.
Lelaki bersenjata parang yang menjadikan mereka sebagai tebusan sejak pagi tadi dilaporkan parah akibat ditembak di kepala.
Guru dan murid terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan pulang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman Jalaluddin, berkata lelaki terbabit pula berada dalam keadaan kritikal selepas terkena sedas tembakan di kepala dan dia juga dihantar ke sama untuk rawatan.
Terdahulu, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman bertindak menyerbu banglo dua tingkat itu selepas usaha memujuk lelaki terbabit membebaskan tebusan dan menyerah diri gagal.
Drama tebusan itu bermula 9.30 pagi tadi apabila lelaki yang bersenjatakan parang menceroboh tadika berkenaan.
Berita Harian
7 Jul 2011
Suspek nampak baik tapi sering berubah laku
MUAR 7 Julai - "Lelaki itu nampak macam baik. Dia boleh dukung kanak-kanak, tetapi tiba-tiba dia boleh arahkan seorang guru memukul kepalanya dengan tukul besi. Jika tidak, murid-murid tadika akan dicederakan."
Detik-detik mencemaskan itu antara pengalaman yang dilalui oleh Pengetua Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids, Khoo Chon Den, 50, serta tiga guru dan 30 kanak-kanak lain yang menjadi tebusan seorang lelaki kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan semua guru takut untuk memukul suspek dengan tukul itu, kesemua yang berada di dalam rumah itu dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat atas tadika.
Menurut Chon Den, kesempatan berada dalam bilik itu digunakan untuk dia mengunci pintu itu dari dalam dan suspek hanya mampu berlegar-legar di luar bilik tersebut tanpa dapat mencederakan sesiapa.
Dia memberitahu, suspek yang berusia 40 tahun itu menceroboh masuk pukul 9.15 pagi melalui salah satu pintu belakang tadika tersebut.
"Dengan membawa tukul, dia meminta kami mengikut arahannya dan mengugut akan mencederakan kanak-kanak jika tidak memberi kerjasama," katanya.
Dia bersyukur kesemua selamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada polis yang menjalankan tugas dengan sempurna.
Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk, Soh Yoke Chong, dia terpinga-pinga apabila dihalau pergi oleh guru tadika semasa mahu menghantar anaknya ke tadika itu.
"Tiap-tiap hari apabila saya menghantar anak, cikgu akan datang membuka pintu pagar, tetapi hari ini tiada. Apabila dia keluar, guru itu memberitahu kunci tiada dan tadika ditutup sambil memberi isyarat mata.
"Sebab tidak berpuas hati, saya telefon cikgu itu dan kali ini lelaki itu keluar dan menyuruh anak saya ditukarkan ke tadika lain," katanya.
Mengesyaki sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, wanita itu menghubungi suaminya yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Utusan
7 Jul 2011
Drama tebusan tadika Sungai Abong
MUAR 7 Julai - Nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan dalam kejadian tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan parang di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.
Lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai kurang siuman dan seorang penagih dadah itu menceroboh masuk tadika yang terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat itu kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum mengurung semua penghuninya.
Pihak polis dan ahli keluarga lelaki tersebut yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10 pagi cuba berunding dengan suspek meminta supaya semua tebusan dibebaskan, namun gagal.
Setelah rundingan gagal, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menyerbu masuk ke dalam tadika itu pukul 3.40 petang dan suspek telah ditembak di bahagian kepala mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam ini.
Insiden tebusan tersebut berakhir pada pukul 4 petang dengan kesemua tebusan iaitu empat guru wanita dan 30 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.
Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.
Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu.
"Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.
"Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik," katanya.
Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.
Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, banyak kerusi telah diselerakkan di bahagian tangga oleh suspek dan dia yang berada di tingkat atas juga bertindak menghalang kemaraan pihak polis dengan menyembur alat pemadam api.
Katanya, suspek cuba bertindak agresif dengan menggunakan tukul sebagai senjata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai bahagian kepalanya menyebabkan dia mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Suspek disahkan meninggal dunia di hospital pukul 9.15 malam ini.
"Mengenai seorang kanak-kanak yang dikatakan telah dicederakan, suspek telah berbohong mengenainya semasa rundingan dilakukan dan kesemua tebusan adalah selamat tanpa kecederaan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Utusan
8 Jul 2011
Ibu bapa lega murid selamat
MUAR 7 Julai - Ibu bapa kanak-kanak yang menjadi tebusan dalam kejadian di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini hari ini, melahirkan rasa lega dan syukur apabila semua mangsa selamat tanpa kecederaan.
Kesemua 30 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun serta empat orang guru itu berjaya diselamatkan kira-kira pukul 4 petang selepas sepasukan polis menyerbu masuk ke dalam tadika itu.
Salah seorang bapa kepada kanak-kanak yang menjadi tebusan, Tan Cheak Tan, 40, berkata, dia bimbang mengenai keselamatan anaknya, Tan Ying Lee, 4, sepanjang insiden tebusan selama lebih lima jam itu.
"Bila semua orang sudah dibawa keluar, pada masa itu, saya baru dapat rasa lega kerana anak saya dan semua orang selamat," katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11 pagi.
Seorang lagi bapa kanak-kanak tebusan, Low Mei Tang, 32, dia tidak tentu arah sepanjang drama tebusan tersebut dan hanya mampu berdoa untuk keselamatan anaknya, Goh Jie Seng, 3.
"Pihak polis datang begitu ramai dan keadaan begitu mencemaskan, namun saya lega kerana semuanya berjaya diselesaikan dan semua orang selamat," katanya.
Kebimbangan sama turut dikongsi sama oleh bapa kepada salah seorang guru tadika itu, Mohd. Sah Abdul Karim, 58, yang tidak menyangka kejadian tersebut boleh berlaku di tempat anaknya mengajar.
"Anak saya, Nor Azah, 22, baru mengajar di tadika itu beberapa bulan lalu dan saya terkejut apabila diberitahu ada orang kurang siuman mengurung semua orang di dalam tadika itu," katanya.
Katanya, setelah menunggu berjam-jam dengan penuh debaran, dia bersyukur anaknya berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Utusan
8 Jul 2011
Tawan tadika
30 murid, empat guru hadapi episod ngeri 7 jam jadi tebusan penagih dadah
MUAR: Isyarat dan aksi mencurigakan yang ditunjukkan empat guru yang ketika itu ditawan seorang lelaki bersenjata parang dan tukul bersama 30 murid tadika Serikids di sini, pagi semalam, menyelamatkan mereka apabila ibu bapa yang menyedari isyarat itu menghubungi polis.
Berikutan itu, polis melancarkan gerakan selama enam jam bagi menyelamatkan mereka dan berjaya menembak lelaki yang dipercayai penagih dadah itu.
Lelaki terbabit yang cedera parah di kepala dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk menerima rawatan dan mati pada jam 9.15 malam tadi.
Kejadian di Taman Sungai Abong Cemerlang kira-kira jam 9.45 pagi itu, berakhir tepat jam 3.41 petang, selepas sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis menyerbu masuk tadika terbabit selepas lelaki itu enggan menyerah diri.
Lelaki itu disyaki orang yang sama dalam serangan dua tadika di bandar ini, menggunakan tukul besi pada Mac tahun lalu dan Januari 2009, menyebabkan tiga murid cedera parah berikutan modus operandinya sama.
Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai menceroboh tadika itu dengan memanjat pagar sebelum mengugut dan mengurung semua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas banglo tadika berkenaan. Suspek kemudian mengunci semua pintu rumah menggunakan mangga yang dibawanya sendiri.
Kejadian itu disedari ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke tadika itu, sebaliknya disuruh membawa anak mereka pulang selain memberi isyarat dan menunjukkan aksi mencurigakan dan memberi alasan semua pintu tadika berkunci.
Curiga dengan alasan itu kerana biasanya semua guru di situ mesra, ibu bapa berkenaan menghubungi polis. Sepasukan anggota polis dihantar membuat pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, mendapati 34 mangsa menjadi tebusan seorang lelaki di dalam banglo berkenaan.
Polis cuba berbincang dan memujuk suspek supaya membebaskan semua mangsa tetapi tidak berhasil, menyebabkan anggota UTK dihantar ke tempat kejadian bagi membantu usaha membebaskan semua tebusan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata usaha memujuk yang turut disertai dua saudara lelaki itu supaya membebaskan semua mangsa tidak berhasil, menyebabkan serbuan terpaksa dilakukan.
"Polis mengambil masa lama untuk menyerbu tadika itu kerana perlu memastikan semua mangsa selamat. Serbuan hanya dibuat selepas mereka dikesan dikumpul dalam sebuah bilik di tingkat atas," katanya.
Katanya, polis terpaksa mengalihkan kira-kira 30 kerusi yang diletakkan suspek pada tangga tadika sebelum disedari lelaki itu yang kemudian menyembur alat pemadam api dan menyerang dengan penukul.
"Berikutan itu, polis melepaskan tembakan menyebabkan suspek terkulai dan segera dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan kritikal," katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengucapkan syabas kepada polis kerana tindakan pantas memberkas penjenayah dan menyelamatkan semua murid dan guru tadika berkenaan.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan polis melepaskan tembakan dilakukan demi kepentingan dan keselamatan kanak-kanak itu.
"Dalam tindakan itu (tembakan), suspek telah menyerang polis yang cuba menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum berlaku pergelutan dan tembakan," katanya.
Berita Harian
8 Jul 2011
Halusinasi akibat ketagih syabu
MUAR: Pengambilan dadah terlalu banyak dipercayai jenis ice dan syabu disyaki menyebabkan lelaki yang menyerang dan menawan 30 kanak-kanak dan empat guru di Pusat Asuhan dan Didikan Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini, mengalami Bipolar Disorder atau gangguan mental berhalusinasi hingga tidak boleh berfikir dengan waras.
Pakar Psikiatri yang membantu polis ketika cuba memujuk lelaki berkenaan dalam kejadian itu, Dr Lau Keen Lee berkata berdasarkan pertemuan dan rekod lampau lelaki itu, dia tidak menolak dakwaan suspek mengalami gangguan berkenaan akibat ketagihan dadah dialaminya.
Menurutnya, berdasarkan rekod lampau suspek ketagihan dadah dan punca lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana otaknya dirangsang kimia dadah dalam jangka masa panjang.
Katanya, penyakit dialami suspek dikategorikan sebagai mengamuk namun ia masih dalam kawalan berikutan lelaki itu tidak bertindak ganas serta agresif kepada mangsanya.
Menceritakan semula kejadian, Lau berkata dia menerima panggilan jam 10.30 daripada seorang rakan mengenai kes di pusat berkenaan lalu bergegas ke lokasi dan bertemu polis sebelum dibenarkan bersemuka dengan suspek bagi menenangkannya.
myMetro
9 Jul 2011
‘Maafkan adik saya’
MUAR: “Saya minta maaf,” kata Loi Hui Yen, 43, kakak kepada suspek lelaki yang menawan 30 kanak-kanak bersama empat guru di Pusat Penjagaan SeriKids di Taman Cemerlang dekat Sungai Abong di sini, Khamis lalu.
Loi memohon maaf kepada lima guru pusat jagaan berkenaan sambil menyifatkan tindakan adiknya, Loi Hui Chong, 40, disebabkan tekanan akibat dihina masyarakat setempat.
Sambil mengalirkan air mata, wanita berkenaan mengaku adiknya berusia 40 tahun selalu tertekan selepas keluar penjara sekitar tahun 2000 akibat penyalahgunaan dadah.
“Tujuan saya datang berjumpa cikgu hari ini untuk meminta maaf kepada mereka atas kesalahan yang dilakukan adik tempoh hari.
“Walaupun adik sudah tiada lagi, menjadi tanggungjawab kami meminta maaf bagi pihaknya kerana kalau dia masih hidup, saya percaya dia akan melakukan perkara sama,” katanya ketika ditemui di pusat penjagaan itu, pagi semalam.
myMetro
13 Jul 2011
0 comments:
Post a Comment