Monday, July 25, 2011

Utamakan keselamatan

MUAR - Mangsa ribut di Bakri dinasihatkan supaya peka terhadap tahap keselamatan di persekitaran rumah termasuk menebang pokok uzur supaya insiden pokok tumbang menghempap rumah tidak berulang lagi.

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib berkata, dalam kejadian ribut yang melanda Bakri baru-baru ini mendapati banyak rumah mengalami kerosakan disebabkan dihempap pokok.

Menurutnya, meskipun bencana ribut tidak dapat dielakkan, tetapi jumlah kerosakan boleh dikurangkan dengan menebang pokok-pokok besar dan uzur berdekatan rumah.

“Kebanyakan penduduk kampung gemar menanam pokok buah-buahan dalam kawasan rumah.

“Namun memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, maka pokok-pokok ini perlu ditebang segara sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika berucap sebelum menyampaikan cek bantuan ribut kepada 35 penerima di Dewan Komuniti UMNO Bakri, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut meminta penerima supaya tidak membangkitkan isu pemberian sumbangan tersebut hanya kerana jumlah yang diterima oleh mereka tidak sama.

“Ini kerana bantuan yang mereka terima adalah berdasarkan jumlah kerugian yang ditanggung akibat kerosakan yang berlaku.

“Tiada istilah diskriminasi dalam pengagihan ini dan kerajaan bertindak adil membantu rakyat menerusi bantuan-bantuan yang disalurkan,” katanya.

Menurutnya, bantuan tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendahulukan rakyat terutamanya yang membabitkan kebajikan.

“Melalui cara ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan rakyat bahawa hanya kerajaan BN mampu membela nasib rakyat.

“Setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukkan yang besar untuk projek pembangunan demi memastikan rakyat menikmati kesenangan secara adil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peranan wakil rakyat hanya untuk membela rakyat.

“Sebagai negara yang terdiri daripada berbilang kaum, perkara yang boleh menyentuh sensitiviti rakyat perlu dielakkan supaya keharmonian dan perpaduan dapat dikekalkan,” katanya.

Justeru, rakyat diminta supaya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan agar negara ini terus diperintah oleh BN.

Sinar Harian
25 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment